Politik citra dalam era Malaysia Baharu

Entah kenapa saya amat berminat untuk mengulas dakwaan isu komplot belakang tabir penubuhan kerajaan Baharu, semacam ada ‘thrill’ dalam arus gelombang politik negara.

Dan kebanyakannya berlaku secara virtual yang mencetuskan arus kecil, di sebalik realiti, yang menciptakan watak politik di ruang maya. Ada kalangan ahli politik yang tidak mempunyai jawatan di dunia realiti politik tetapi memainkan citra tertentu di alam siber.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa percaturan politik dalam era Malaysia Baharu sekarang tidak lagi didominasi oleh kekuatan fizik tetapi `kekuatan citra’. Inilah politik yang menjadi imej sebagai suatu ideologi dengan konsep imagologis sebagai tunggak kekuasaan. Ia bukan kekuatan individu yang bijak bermain politik dan kelompok tetapi kekuatan imej dan pengwajahannya.

Namun harus difahami bahwa strategi dan mainan politik di medan media sosial penuh dengan belantara fitnah, manipulasi, berita palsu dan penipuan, campuran antara yang benar dan palsu dalam menghasilkan citra atau pengwajahan yang pada awalnya sekadar `medium; untuk penyampain `pesan’ atau `mesej’, tetapi sekarang medium menjadi pesan itu sendiri.
Pengwajahan atau citra politik seakan-akan menjadi bahagian utama dari `tubuh politik’ nasional, yang tanpanya tidak ada yang dinamakan kekuasaan politik.

Perhatikan kenyataan bekas Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang berkata beliau tidak memiliki pengaruh politik untuk merancang plot mengekalkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, sekaligus menghalang Presiden PKR Anwar Ibrahim daripada menggantinya.
“Siapa saya untuk tentukan Anwar jadi perdana menteri atau tidak? Saya bukan pemimpin kerajaan. Malah jawatan tertinggi dalam Umno dan BN pun tiada.

“Mereka kata saya pengaruhi 30 ahli parlimen pembangkang untuk masuk Pakatan Harapan (PH) demi mempertahankan Mahathir sebagai perdana menteri…Siapalah saya untuk pengaruhi ahli parlimen…Mereka wakil rakyat dan pemimpin. Ini penghinaan terhadap kami semua.

“Kalau ya pun terdesak sebab masalah dalaman anda sudah huru-hara sangat, takkan dengan saya yang tiada apa-apa jawatan pun rasa tergugat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Walaupun Hishamuddin menafikan tetapi tanggapan di media sosial memperlihatkan seolah-olah suatu gelombang sedang berlaku di belakang tabir politik negara.

Malah pencitraan ini semakin bertiup kencang di medan media sosial FB apabila laporan daripada The Malaysia Insight mendakwa Melaka akan menjadi negeri medan ujian pertama untuk membentuk “kerajaan pintu belakang” antara sesetengah pihak dalam PH denga Umni di peringkat pusat.

Menurut TMI rancangan itu akan dilaksanakan semasa sidang Dewan Undangan Negeri Melaka antara 18 hingga 26 November ini dengan menolak belanjawan negeri untuk tahun depan.

Dalam pilihan raya umum lalu, PH menang dengan 15 kerusi sementara BN menang dengan 13 kerusi.

Daripada 15 kerusi PH, Amanah mempunyai 2, Bersatu 2, PKR 3 dan DAP 8. Keadaan yang agak genting juga di Melaka ini jika suatu perubahan kerusi berlaku. Inilah kekuatan citra yang dibayangkan.

Kekuatan citra dibina di dalam media sosial menampakkan dunia politik negara yang didominasi oleh kekuatan citra dan pengwajahan.

Tokoh pasca moden,dari Peranchis, Jean Braudrillard dalam bukunya `In the Shadow of the Silent Majorities (1981) mengenali dunia pencitraan sebagai patafizika, bukan fizik, metafizik tetapi `patafizik’ di mana kekuatan fizikal menjadi lemah dan metafisik telah meruap di udara kerana yang menjadi realiti ialah realiti citra, sebagai mesin penggerak utama politik.
Patafizika adalah sains imaginasi yang melihat imej di dunia siber. Ia berkisar di sekitar dunia imej dan objek di alam virtual.

Dalam hal ini segala objek dan perkara yang dibicarakan adalah berkisar di sekitar virtualiti dan alam siber yang dikaitkan dengan pencitraan.
Citra-citra politik tidak mengutamakan moral atau adabnya tetapi sarat dengan penafian, manipulasi, pemujukan, ilusi dan fitnah.

Citra-citra ini melakonkan diri seakan lukisan realiti dalam pentas kehidupan, padahal hanya topeng untuk menutupi ketiadaan realiti atau sekadar realiti palsu.

Oleh itu penyelewangan realiti melalui pengwajahan itu mengucar kacir realiti politik semasa di negara ini yang akan membawa `derealisasi politik’ di mana kekuatan politik negara tidak dibangun oleh hubungan-hubungan akrab antara ahli parti dan hubungan antara pemimpin dan ahli parti-parti politik dalam PH bagi membina persepaduan tetapi oleh elemen pepecahan yang dibina oleh kekuatan citra (belum tahu apakah kebenarannya) yang manipulatif dan pada tahap virtual, di mana politik virtual telah mengambih alih sosiologi politik iaitu kemasyarakatan politik.

Oleh itu politik yang dibangun oleh kekuatan citra melalui politik patafizika (politik virtual) akhirnya akan menjadi `fastasmagoria’ iaitu ilusi-ilusi politik yang sekadar meletup-letupkan ruang-ruang kesedaran masyarakat dan perhatian masyarakat politik melalu media sosial yang gempak-gempita itu. Persoalan di manakah realiti dan apakah realiti itu sekarang?

Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)