Politik Imagologi: Kerusi Parlimen tentukan Anwar jadi PM?

 

Jika benarlah apa yang disebutkan dan dimaksudkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad  bahawa peralihan kuasa ditentukan oleh keputusan muktamad di Dewan Rakyat ini bermakna senario peralihan kuasa akan menjadi lebih mencabar.

Dalam wawancara bersama laman The Malaya Post  Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menegaskan bahawa beliau akan menunaikan janji untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar, tetapi menambah keputusan muktamad terletak pada Dewan Rakyat.

Mahathir juga berkata, jika seorang calon itu daripada parti yang memiliki majoriti tetapi dia sendiri tidak mendapat sokongan majoriti, maka dia tidak akan dapat menjadi perdana menteri.

“Kita berjanji, kita berpegang kepada janji. Saya cuma jadi perdana menteri kerana dapat sokongan dari parti (gabungan PH) saya, terutama dari majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Kalau saya tidak hendak letak jawatan tetapi majoriti dalam Dewan Rakyat tolak saya, saya jatuh. Yang berkuasa sebenarnya Dewan Rakyat dan ahli-ahlinya,” katanya ketika wawancara bersama laman The Malaya Post.

Justeru, Mahathir berkata Dewan Rakyat yang menentukan nasibnya dan juga nasib mana-mana calon perdana menteri.

Kenyataan Dr Mahathir ini disokong oleh wartawan veteran A Kadir Jasin yang berkata keputusan majoriti Ahli Parlimen di Dewan Rakyat akan menjadi penentu kepada siapa yang menjadi PM.

Adakah ini bermakna undian di Dewan Rakyat? Majlis Presiden harus bermesyuarat dan menyatakan pendirian mereka dan satu usul harus diutarakan di Parlimen.

Mungkin cadangan Dr Mahathir itu hendak mewujudkan suatu legitimasi peralihan kuasa dengan undian di  Dewan Rakyat.

Bagi saya jika berlaku undian di Dewan Rakyat diandaikan boleh mengundang pepecahan, keretakan atau keadaan serba salah dalam kalangan parti-parti PH. Ia kerana mereka akan dipaksa membuat pilihan, PKR akan dilihat pecah dua jika diandaikan kumpulan Datuk Seri Azmin Ali berpihak mengundi Dr Mahathir untuk kekal sebagai Perdana Menteri sehingga tamat penggal untuk pilihan raya ke-15. Bagi Parti Amanah dan Bersatu adakah akan menyokong Dr Mahathir untuk kekal sebagai PM atau Anwar jadi PM ke-8. Hanya DAP dilihat stabil tetapi berpihak ke manakah mereka.

Rakyat akan melihat secara terbuka undian dan sokongan Ahli Parlimen yang juga terikat kepada parti masing-masing atau bertindak menyokong kerana tokoh.

Namun sekiranya majoriti Ahli Parlimen enggan mengundi dan berpendirian proses peralihan kuasa tidak dilakukan secara undian tetapi seperti menurut perjanjian sebelum pilihan raya dan dalam Majlis Presiden adakah ia akan dipersetujui kelak?

Pas adalah parti pembangkang yang begitu istiqamah dalam menidakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi PM secara automatik melalui proses peralihan kuasa. Tidaklah dipastikan apakah trauma yang dialami kepimpinan PAS sehingga bersikap sedemikian. Bagi mereka Anwar adalah “bad news”. Sehingga kini tiada pula suara akar umbi Pas yang bersuara tidak bersetuju.

Umno pula baru-baru ini telah membuat keputusan untuk tidak menyertai Pas dalam membentuk Pakatan Nasional. Ini juga adalah politik imagogi Pas dan mungkin beberapa kerat pemimpin Umno mengwajah atau mencitrakan pembentukan kerajaan bernama Pakatan Nasional. Namun adalah semua Ahi Parlimen Pas, Umno, MCA dan MIC menyokong Dr Mahatir untuk kekal berkuasa?

Perkembangan akan meninggalkan impak tertentu,  ada pihak yang menangguh di air yang keruh.

Bagi saya jika diteliti dengan lebih mendalam dalam penujuan ke arah tarikh peralihan kuasa adalah strategi politik pihak tertentu menggunakan teknologi pencitraan atau “imagologi” (imagology – politik citra, imej atau pengwajahan) yang mengutarakan pengwajahan tentang seseorang tokoh dan parti-parti yang dirancang dalam rangka mempengaruhi persepsi, emosi, perasaan, kesedaran, dan pandangan awam sehingga mereka dapat digiring ke sebuah kecenderungan, pilihan dan keputusan politik tertentu (the imagology of politics).

Namun, adalah dibimbangi jika berlaku undian di Dewan Rakyat proses imagologi politik di negara ini sedang menuju ke arah diskontinuiti (memutuskan)  antara citra politik (political image) dan realiti politik (real politics) sehingga citra (akan “terputus” dari realiti) membangun semacam realiti kedua (second reality) yang di dalamnya kebenaran (truth) dimanipulasi.

Dalam proses ini Dr Mahathir dan Anwar akan dicitrakan dengan pelbagai pengawajahan sama ada negatif atau politik, Inilah dinamakan politik imagologi, politik pencitraan atau pengwajahan dengan teknologi media baharu.

Walaupun banyak artikel dan berita disiarkan bahawa peralihan kuasa akan berlaku apabila Dr Mahathir menyerahkan  kuasa secara automatik pada 10 Mei depan dengan proses persiapannya (Anwar sebagai PM Ke-8)  selepas mesyuarat Apec pada Disember nanti namun suatu citra politik telah muncul bagi memutuskannya dengan realiti iaitu peralihan kuasa secara automatik.

Oleh itu Ahli Parlimen dan rakyat didedahkan dengan realiti kedua iaitu peralihan kuasa akan berlaku tetapi dengan keputusan Dewan Rakyat. Ini adalah citra politik yang akan ditanam supaya Ahli Parlimen, Majlis Presiden, parti-parti politik juga rakyat menerimanya, realiti kedua.

Imagologi politik akan menuju ke arah wacana politik terutamanya dalam media sosial dengan bicara dan kandungan teks ke arah penyimpangan, pergeseran antara realiti pertama dan kedua, bahkan akan terputus sama sekali dari realiti politik (peralihan kuasa tanpa undian di Dewan Rakyat kerana sebelum ini perkara ini tidak disebut) yang sebenarnya, tetapi sekarang inilah citra yang didakwa  sebagai suatu “realiti” dan “kebenaran”.

Saya khuatir pandangan Dr Mahathir ini akan memetamorposiskan (proses ulat bulu jadi rama-rama) media sosial sebagai mesin semburan segala kepalsuan, penyimpanan, kekaburan yang menciptakan topeng-topeng (mask), mainan belakang tabir, penyamaran, atau fatamorgana oleh gerila virtual jahanam maklumat.

Apa yang muncul nanti ialah ciri binari iaitu bercampur aduk antara yang asli/tiruan, realiti/fantasi, kenyataan/fatamorgana, citra/realiti, yang menggiring dunia politik ke arah “penopengan realiti” (masquerade of reality).

Apa  yang asli adalah proses peralihan kuasa yang jelas tetapi menjadi kabur, tiruan; realitinya adalah peralihan kuasa di samping fantasi iaitu dengan undian di dewan rakyat, kenyataannya Anwar PM ke-8 di samping citranya kekalkan Dr Mahathir sehingga tamat penggal, dan dari sinilah akan tumbuh pelbagai spekulasi, fitnah, manipulasi yang lebih kencang dari 2019 nCoV.

Bauran atau Campur aduk ini adalah mainan politik era pasca realiti, di mana realiti tidak dapat dipisahkan daripada kepalsuan.

 

*Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)