Politik Islam bukan mengajar rakyat bohong, kata Khalid

Politik Islam bukan mengajar rakyat bohong, kata Khalid

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad menegaskan politik Islam bertujuan untuk menjadikan rakyat berakhlak mulia demi kejayaan dunia dan akhirat.

Tanpa menyebut nama Pas, beliau berkata, sikap mempertahankan tindakan berbohong malah mendakwa perkara itu “wajib” dibimbangi akan mengelirukan masyarakat bukan Islam.

“Kata bohong wajib, saya tepuk dahi. Kita tahu apa yang dia cakap tidak betul tetapi yang bukan Islam, bagaimana? Awak jemaah dan parti Islam (Pas) patut bawa imej Islam yang mulia.

“Ini awak (Pas) isytihar bohong itu wajib. Kalau bohong mahu elak orang dizalimi, itu satu hal. Katakan di UK pelarian Rohingya hendak sembunyi kalau tidak kena tangkap. Kalau ada orang tanya, jawab tiada sebab mahu melindungi dia yang tidak bersalah.

“Tapi ini awak ambil duit daripada Umno. Orang tanya, awak nafi kemudian kata bohong itu wajib, apa pandangan masyarakat bukan Islam? ‘Teruknya agama Islam ini’,” katanya dalam ceramah di Bukit Mahkota sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Semenyih, malam tadi.

Untuk rekod, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika ditemui media di Alor Limbat, Terengganu pada 15 Februari lalu berkata, terdapat keadaan seseorang itu wajib berbohong bagi menjaga kemaslahatan contohnya jika bertujuan menyelamatkan nyawa individu daripada penjahat.

Ahli Parlimen Marang itu berkata demikian ketika diminta mengulas isu audio rakaman Ahli Jawatankuasa Pas Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang mempertahankan tindakan menafikan kesahihan suaranya dalam audio Pas menerima dana daripada Umno.

Bahkan, Nik Abduh turut mengheret nama ayahnya, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat apabila memberitahu pembohongan juga pernah diamalkan oleh bekas Menteri Besar Kelantan itu dalam soal menjaga kerahsiaan parti.

Mengulas lanjut, Khalid yang juga merupakan Menteri Wilayah berpendapat imej Islam rosak apabila pembohongan dikaitkan dengan perjuangan Islam.

“Kamu buat jahat, kamu boleh bohong. Lepas itu, kamu kata pembohongan ini demi perjuangan Islamlah, rosak imej.

“Maka, kita AMANAH bersama-sama parti yang lain dalam Pakatan Harapan (PH) yang terpenting bagi kita adalah kita mahu kerajaan yang bersih dan telus serta mendidik rakyat untuk memperbaiki akhlak mereka.

“Politik Islam bukan mengajar rakyat bohong atau merompak tapi nak jadikan rakyat berakhlak mulia kerana melalui akhlak itu kita akan mendapat kejayaan dunia dan akhirat.

“Inilah perjuangan kita. Itu sebab kita masuk Pakatan Harapan walaupun dalam PH bukan semua parti Islam tapi matlamat kita satu dan setuju iaitu mahukan pemerintahan yang bersih, bebas rasuah dan tiada satu sen yang kita rompak,” tambahnya lagi.