Politik kasih sayang lawan politik benci

 

Saya doakan adik saya menang di Bachok, saya harap dia doakan kemenangan untuk saya juga, kata Nik Omar.

Pertembungan kempen pilihan raya umum ke 14 kini membentuk dua pendekatan, politik benci melawan politik kasih sayang.

Tokoh baru Pakatan Harapan, Nik Omar Nik Abdul Aziz kini juara politik kasih sayang manakala Pas seolah-olah terikat dengan politik benci.

Apabila Nik Omar menjadi calon, beliau berkata, tujuan beliau menyertai pilihan raya ini adalah atas dasar berlumba-lumba untuk membuat kebajikan atau fastabikul khairat.

Beliau juga berdoa agar adiknya Nik Mohamad Abduh Nik Aziz yang bertanding di parlimen Bachok boleh menang dan “saya berharap dia juga doakan untuk kemenangan saya.”

Katanya, apabila Nik Abduh menang dia boleh menyumbang bakti di peringkat negara manakala beliau sendiri kalau menang boleh menyumbang di peringkat negeri.

Tetapi penyertaan Nik Omar telah dilawan dengan politik kebencian di kalangan pemimpin Pas, dari presiden, setiausaha agung sehinggalah adik kepada Nik Omar sendiri, Nik Abduh serta para penyokong Pas.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika mengulas penyertaan Nik Omar sebagai calon telah menyifatkan Nik Omar umpama anak Nabi Noh yang enggan naik bantera beliau.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyudin Hassan telah memaklumkan Pas memecat Nik Omar sebagai ahli parti itu serta merta.

Manakala Nik Abduh pula membangkit soal air mani sehingga melahirkan Nik Omar.

Politik benci ini tidak berhenti di situ sahaja.

Seorang penyokong Pas, PU Syed telah mendoakan kematian untuk Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Ya Allah matikanlah dia…kerana sangat banyak kedustaan datang darinya!!.” tulis Syed atau nama penuhnya Syed Mohd Bakri Syed Ishak dalam Instagramnya.

Ia telah dirujuk oleh seorang pengikut beliau yang menggunakan nama Nasrulll, “Maaf ustaz nak tanya ckit. X boleh ke kita doakan dia agar dpt hidayah instead ofb doakan dia mati?”.

Ia telah dijawab oleh Syed, “Boleh..terpulang..bagi saya baik doakan kematian shj.”

Tuan Ibrahim menegur politik benci.

Politik benci ini dikesan oleh timbalan presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sehingga beliau secara bertulis menegur pendekatan ini.

Tuan Ibrahim menyifatkan kenyataan dibuat oleh Nik Abduh hanya mewakili pandangan keluarga terbabit bukan pendirian parti.

Timbalan Presiden Pas itu juga berkata, sesuatu kenyataan mengenai pendirian parti, hanya diiktiraf jika keluar daripada pimpinan utama, oleh itu tidak perlu ada kenyataan lain di pihak parti dikeluarkan.

“Tindakan beliau (Nik Omar) bertanding atas tiket Pakatan Harapan adalah urusan dan pilihan beliau sendiri yang tidak perlu diperbesarkan.

“Pas menganggap sebarang kenyataan melampau yang menyerang beliau (Nik Omar) adalah tindakan yang keterlaluan,” katanya dalam satu kenyataan.

Nik Omar sejak dari ucapan pertama beliau lagi mengajak orang ramai menyebarkan kasih sayang dalam berpolitik.

“Pilihan raya ini untuk memilih pasukan yang terbaik untuk mentadbir negara, bukan untuk pilih agama,” kata beliau.

Nik Omar juga berkata, perbezaan pendapat perlu diraikan bukan dijadikan permusuhan.

“Kita kuat kerana kita berpegang pada Islam tetapi jika kita ingin maju ke depan, kita perlu meraikan perbezaan dan bersepakat,” kata beliau dalam satu temu bual eksklusif di Facebook Astro AWANI dan platform Digital, awal petang Rabu.

“Kesepakatan ini bertujuan membentuk satu kerajaan yang baik. Apabila negara diperintah oleh kerajaan yang baik, ia memberi manfaat kepada semua rakyat tanpa mengira sebarang perbezaan,” jelasnya lagi.

Ketika Nik Omar berkempen sedemikian, Pas cuba melagakan beliau dengan ibunya dengan memujuk agar ibunya turun berkempen di Cempaka, tempat anak Tok Guru Nik Aziz itu bertanding.

Nik Omar juga didakwa sebagai anak derhaka kerana tidak mendapat restu ibunya untuk bertanding sebagai calon PH.

“Tidak mendapat restu dari bonda, adakah itu benar? Secara ringkas tidak ada anak yang tidak sayang pada mak dan tidak ada mak yang tidak sayangkan anak,” kata Nik Omar di Shah Alam.

 

 

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote