Malaysia Dateline

Politik Kelantan semakin panas, 3 pemimpin utama AMANAH turun malam tadi

Politik Kelantan semakin panas apabila hampir kesemua pemimpin utama AMANAH turun ke negeri itu dalam ceramah besar mereka malam tadi ketika kerajaan Kelantan digegarkan dengan pelbagai penyelewengan.

Presiden AMANAH, Haji Mohamad Sabu, timbalannya Datuk Seri Salahuddin Ayub, naib presiden Adly Zahari dan ketua pemuda Hasbie Muda berada di Pasir Mas, Kelantan malam tadi.

Mereka memberikan ceramah dengan mengulas isu-isu semasa yang berlaku dalam negara ini ketika gendang pilihan raya umum sedang dipalu.

Mohamad memberikan ingatan agar Malaysia jangan jadi seperti Sri Lanka.- Foto Haikal.

“Jangan terkejut negara ini akan menjadi seperti Sri Lanka jika indeks rasuah terus merudum,” kata Mohamad Sabu memberikan amaran kepada rakyat negeri yang dikuasai oleh Pas itu.

Sri Lanka hampir diisytiharkan muflis apabila hutang negara melebihi asetnya berikutan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa di negara itu.

Mohamad juga menyentuh tentang nilai mata wang Malaysia yang jatuh teruk di mana rakyat Kelantan yang bersempadan dengan Thailand akan merasai kesannya secara langsung apabila berkunjung ke negara jiran itu.

“Saya pergi ke rumah sepupu saya di Narathiwat. Bila kita bawa RM1,000, lepas je sempadan kita hilang RM230.

“Ertinya, duit kita yang lama dahulu RM1 nilainya 10 baht sekarang hanyalah 7.7 baht,” kata Mohamad, bekas Menteri Pertahanan itu.

Ia berlaku apabila nilai ringgit Malaysia jatuh paling teruk dalam sejarah negara ini.

Hari ini, nilai ringgit Malaysia adalah RM4.38 untuk setiap satu US Dollar, satu nilai yang sangat rendah dalam sejarah tukaran wang Malaysia.

Nilai Ringgit juga jatuh teruk berbanding Baht Thailand apabila RM1 Malaysia hanya bernilai 7.8529 Baht Thailand berbanding sebelum ini RM1 sama dengan 10 Baht.

Salahudin mendakwa, pemimpin Kelantan yang ada gagal laksanakan kuasa yang ada untuk kepentingan rakyatnya. – foto Haikal.

Timbalan Mohamad, Salahudin pula meminta rakyat Kelantan menilai semula makna kuasa kepada kerajaan negeri yang ada yang gagal dilaksana dan digunakan oleh kerajaan negeri yang ada.

“Tujuan rakyat pilih kerajaan adalah untuk memberi kuasa kepadanya. Tetapi bagaimana Exco Kerajaan Kelantan yang ada menggunakan kuasanya yang ada.

“Air di Kelantan terus macam ‘teh beng’. Kata tak ada pitis (duit) tetapi beli Mercedes,” kata Salahudin, bekas ahli Parlimen Kubang Kerian, Kelantan itu menyindir tindakan kerajaan negeri Kelantan membeli kereta Mercedes untuk kegunaan menteri besar dan exco kerajaan negeri.

Ia dilakukan ketika kerajaan negeri berkata mereka tidak cukup duit untuk membeli lori mengangkut sampah dan memberikan air yang berkualiti untuk rakhyatnya.

Ketika AMANAH menyerang semalam, bekas pemimpin kanan AMANAH, Datuk Husam Musa melalui NgO Save Kelantan mendedahkan pelbagai kebejatan kerajaan negeri Kelantan.

Ia termasuklah dalam pengurusan hutan dan juga air di negeri itu.

Menurut Husam, kerajaan negeri gagal menguruskan bekalan air untuk rakyat Kelantan kerana penyelewengan dan kegagalan dalam melaksanakan projek bekalan air.

Dalam pengurusan hutan pula, Husam mendakwa, anak syarikat kerajaan negeri sendiri dibenarkan membalak di kawasan hutan simpan hutan dara (Virgin Jungle Reserve- VJR) yang sepatutnya dilindungi untuk kepentingan ekosistem di negara ini.