Malaysia Dateline

Politik khidmat lawan politik khianat

Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), AMANAH menumpukan kepada sekurang-kurangnya 50 kerusi Parlimen, yang mana antara kriterianya adalah kerusi yang AMANAH bertanding pada PRU14 dan kerusi yang ditandingi oleh Pas semasa PRU13 tetapi terpaksa dilepaskan kepada PPBM dalam PRU14 yang lalu, selain daripada beberapa kerusi menang yang telah dikhianati oleh Ahli-ahli Parlimen khianat kurang lebih genap setahun yang lepas.

Komitmen tertinggi AMANAH adalah tetap kepada kerjasama padu di antara semua gabungan parti di dalam Pakatan Harapan iaitu khususnya KeADILan dan DAP, di samping terus bekerjasama dengan rakan-rakan parti pembangkang yang mendukung aspirasi perjuangan bersama iaitu membina semula negara untuk kesejahteraan setiap warganegara di seluruh negeri dan wilayah, dan memerangi rasuah di semua peringkat khususnya yang telah berakar dalam pentadbiran awam itu sendiri.

Malaysia perlu diletakkan kembali ke landasan yang betul, sama ada daripada aspek ekonomi mahupun aspek sosial.

Setiap rakyat berhak menerima perkhidmatan yang terbaik, bukan sebaliknya berterusan menjadi seolah-olah pengemis dalam negara merdeka yang mereka sendiriĀ  memilih pemerintah mewakili kepentingan mereka.

AMANAH peduli pada semua segmen masyarakat tidak terkecuali komuniti gelandangan.

Politik Malaysia perlu diberikan wajah dan nafas baharu, yang memberikan tumpuan dan penekanan kepada politik nilai dan politik khidmat, menggantikan politik perkauman, fitnah, adu domba dan kebencian agama.

Isu-isu perkauman dan keagamaan perlu diberikan titik noktah kerana terbukti selama lebih 60 dekad, ia hanya dijadikan sebagai alat propaganda kelompok politikus yang lemah untuk berkuasa, dan kemudiannya terbukti gagal memberi khidmat terbaik untuk membangun negara dan mensejahterakan rakyat.

Politik kaum dan agama hanyalah satu daripada politik adu domba yang telah menghancurkan negara dan melambatkan proses kemajuan sebenar, kerana kita telah banyak membuang masa untuk berbicara pada hal-hal yang sepatutnya difahami kukuh dan terpahat padu dalam perlembagaan Malaysia.

Berpegang teguh

Belajar daripada semangat Pancasila Indonesia, di sana sesiapa pun boleh memerintah asalkan berpegang teguh, hormat dan faham terhadap prinsip pancasila mereka.

Demikian Malaysia, siapa pun boleh memerintah Malaysia asalkan berpegang teguh, hormat dan faham akan prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan, khususnya hal-hal yang terkait dengan kedudukan istimewa melayu dan Islam.

Justeru, tumpuan mesti diberikan kepada politik khidmat setiap pemerintah dan ahli politik bagi membangun negara serta setiap konstituensi yang mereka wakili.

Kegagalan mereka melakukan yang terbaik dalam kedua-dua konteks ini iaitu sebagai pemerintah dan ahli politik mewakili konstituensi politik masing-masing, akan menjadi tumpuan bagi penilaian setiap warga tentang sama ada mereka (pemerintah dan politikus itu) masih boleh terus diberi mandat memerintah dan mewakili rakyat atau sebaliknya.

AMANAH dan Pakatan Harapan berpegang teguh kepada semua prinsip itu. Usaha telahpun kita gerakkan sebelum ini dan ternyata rakyat bersama kita memberi Harapan sehinggalah para pengkhianat menunjukkan wajah mereka.

Percaya, ia tidak akan menghentikan langkah kita, bahkan memberi kematangan untuk menilai siapa kawan, siapa lawan.

#PakatanHarapan
#AmanahDemiNegara
#RahmatUntukSemua
#MajuTerus

*AIMAN ATHIRAH AL JUNDI merupakan Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional dan Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya Parti Amanah Negara (AMANAH).