Malaysia Dateline

Politik lompat: AMANAH hantar ahli sertai kursus Integriti

AMANAH menjadi parti politik pertama yang menghantar ahli-ahlinya untuk mengikuti kursus latihan dengan Institut Integriti Malaysia yang terletak di bawah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), di Jabatan Perdana Menteri.

Naib Presiden yang juga Pengerusi Biro Integriti AMANAH, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, ia bertujuan untuk mempersiapkan ahli parti agar lebih mendalami isu etika dan integriti selain tampil sebagai kelibat politik yang terus memerangi rasuah.

Menurutnya, usaha itu juga didorong dengan keadaan politik Malaysia yang semakin dikuasai pemimpin negara yang mengkhianati amanah dan terlibat dengan rasuah.

“AMANAH bimbang dengan senario politik negara dan tindak-tanduk sesetengah ahli politik yang terlibat dengan ‘lompat parti’ hanya kerana mendapat tawaran kuasa, jawatan dan wang.

“Biro Integriti bertekad untuk mewujudkan satu “Code of Conduct” sebagai panduan kepada ahli-ahli parti agar tidak terkeluar daripada landasan perjuangan AMANAH sebagai sebuah parti politik yang membawa slogan Amanah, Progresif, Peduli.

“AMANAH juga menyeru agar parti-parti politik yang lain untuk turut mengikuti kursus etika dan integriti ini bagi mewujudkan kesedaran nilai etika dan integriti dalam kalangan ahli dan aktivis politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah bekas Ketua Angkatan Wanita AMANAH Nasional (AWAN) itu lagi, budaya lompat parti, jual-beli ahli politik, rasuah, penyelewengan wang dan salah guna kuasa terjadi kerana kurangnya terapan nilai integriti di dalam pembinaan jati diri dalam kalangan ahli-ahli politik.

Justeru beliau berkata, Institut Integriti Malaysia diharap dapat kekal menjadi sebuah platform rentas parti bagi parti-parti politik menjalani kursus berkaitan kenegaraan dan soal integriti.