Politik Malaysia akan alami perubahan ide baru, segar, kata DAPsy

Politik Malaysia akan alami perubahan ide baru, segar, kata DAPsy
Muhammad Syakir Ameer

Pemuda DAP ( DAPsy) menjangkakan politik Malaysia bakal mengalami perubahan dengan idea baru oleh anak muda yang disifatkan lebih segar sekiranya undi 18 tahun dilaksanakan.

Naib Ketuanya, Muhammad Syakir Ameer merasakan tiada salahnya apabila wakil rakyat kelak di galas oleh belia berumur 18 tahun.

Katanya, anggapan bahawa usia tersebut masih mentah untuk membuat keputusan perlu ditolak jauh, sebaliknya perlu bersikap realistik dengan memberi golongan itu hak untuk bersuara dan memberikan pandangan.

“Sebenarnya bagi saya tidak mengapa pun. Kalau umur 18 tahun mereka dah boleh tentukan hala tuju negara, tak salah kalau umur 18 tahun jadi wakil rakyat.

“Ramai menganggap umur 18 tahun terlalu muda, mereka tak tahu apa-apa. Tapi bagi saya, diperingkat umur itu lah banyak keputusan yang akan memberikan impak pada masa depan kita.

“Biarlah orang yang lagi muda laksanakan perjuangan ini. Melalui ini, kematangan politik kita juga akan berubah dan menjadi lebih matang dengan adanya pelbagai pandangan baharu mereka.

“Mereka ada hak untuk memberikan pandangan dan pendapat, betul atau salah itu lain cerita. Tapi yang pentingnya, kita kena berikan mereka kebebasan untuk berfikir dan kita kena ambil perkara ini secara serius,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Baca: Armada sudah sedia perancangan

Tambah Syakir, kerajaan sudah seharusnya merangka pendidikan politik dan pilihanraya ke dalam Pembelajaran dan Pengajaran (PnP) di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Malah katanya, setiap  kepimpinan parti  juga perlu memainkan peranan melaksanakan program yang mementingkan isu berkaitan kebajikan anak muda.

“Kita kena mula memenangi hati mereka dengan membuat program yang menyentuh isu kebajikan dan isu kerakyatan belia.

“DAP juga akan mainkan peranan supaya belia dapat mempelajari soal kenegaraan dengan lebih mendalam, tentang kewarganegaraan dan juga hak mereka sebagai pengundi di masa depan. Kita akan pastikan mereka di berikan hak untuk suara.

“Justeru itu, pendidikan politik memang kena ada. Kita kena faham, segalanya yang kita buat hampir 99 peratus daripada keputusan dan dasar negara diputuskan oleh ahli-ahli politik,” ujarnya.