Malaysia Dateline

Politik Malaysia lebih baik jika warlord disingkirkan

Pada hari Jumaat yang lepas (20 Ogos 2021), Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah membuat keputusan melantik Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan menggantikan Tan Sri Mahiaddin Yassin. Ini bermakna kerajaan terdahulu yang gagal hanya bersalin kulit. Hasrat supaya mandat dikembalikan kepada Pakatan Harapan yang menang dalam PRU14 nampaknya terus digagalkan. Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dipersalahkan. Baginda hanya bertindak mengikut peruntukan Perlembagaan dan memang terbukti 114 ahli Dewan Rakyat telah memilih Ismail Sabri.

Walau bagaimanapun, adakah 32 juta rakyat Malaysia bersedia dengan normal baharu ini? Parti yang menang pilihanraya menjadi pembangkang manakala yang kalah menjadi kerajaan. Ia akan terus berlaku kerana wakil rakyat yang khianat kepada partinya akan bebas melompat lagi pada masa yang akan datang.

Kerajaan Mahiaddin mahupun Ismail Sabri kedua-duanya terbentuk hasil pengkhianatan mandat rakyat dalam pilihan raya lima tahun sekali. Pada masa ini, tiada peruntukan undang-undang yang menghalang amalan lompat parti berdasarkan keputusan mahkamah dalam kes Nordin Salleh vs DUN Kelantan pada tahun 1992.

Ada cadangan supaya Akta Anti-Lompat Parti digubal di parlimen. Ia cadangan yang baik tetapi bagaimana pula jika parti politik sendiri yang melompat keluar dari coalition asal ke coalition parti lawan? Ia juga akan tetap menyebabkan mandat rakyat dalam pilihan raya dikhianati. Ini bermakna, Akta Anti-Lompat Parti belum tentu boleh menyelesaikan masalah seperti yang berlaku baru-baru ini melainkan dalam akta tersebut sesebuah parti diikat untuk kekal dalam sesebuah coalition sewaktu pilihan raya tetapi saya fikir ia kurang praktikal.

Kita mengamalkan sistem demokrasi. Kata Abraham Lincoln demokrasi ialah “government of the people, by the people and for the people”. Pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat. Ini bermakna, rakyat adalah penentu sesebuah pemerintahan yang mahu dibentuk dan perjalanan sesebuah kerajaan mesti berpaksikan rakyat, bukan berpaksikan elit politik, elit ekonomi apatah lagi kepentingan asing.

Realitinya, Malaysia hari ini dikuasai oleh warlord. Penaungan politik (political patronage) atau politik naungan masih berleluasa. Skandal 1MDB wujud kerana politik naungan. Kerajaan PH gagal bertahan juga kerana politik Malaysia belum dapat keluar dari politik naungan.

Apabila UMNO kalah dalam PRU14 yang lepas, secara logiknya muka-muka baru akan mengambil alih parti kerana pertama kali UMNO kalah selepas 63 tahun berkuasa. Justeru Najib dan pasukannya perlu dipertanggungjawabkan. Malangnya ia tidak berlaku kerana UMNO masih dikuasai oleh warlord. Najib hanya digantikan oleh orang kanan beliau Zahid Hamidi kerana para warlord rasa lebih selamat dengan rejim lama.

Ada satu kelompok dalam PH yang tidak bersedia untuk melihat negara dipimpin oleh Anwar Ibrahim kerana reformasi yang sebenar akan menghapuskan amalan politik naungan. Kelompok yang membina kartel politik melalui penaungan politik ini sudah menghidu bahawa masa depan politik mereka gelap di bawah refomasi. Oleh itu, mereka meninggalkan PH dan berpakat dengan parti lawan untuk menubuhkan kerajaan pintu belakang.

Salah satu punca anak muda benci politik adalah kerana penguasaan warlord yang masih menebal. Warlord juga menghalang anak-anak muda yang bersih dan berbakat untuk aktif dalam politik kerana ia akan mengancam kedudukan mereka. Warlord hanya menarik anak-anak muda yang boleh menjadi pengikut setia atau ‘budak-budak’ mereka.

Dalam PRU 2013, Pakatan Rakyat sebenarnya telah menguasai undi popular majoriti rakyat Malaysia iaitu sebanyak 50.87 peratus mengatasi BN hanya hanya meraih 47.38 peratus sahaja. Walau bagaimanapun, oleh kerana kita mengamalkan sistem first past the post dan bukannya proportional representation maka jumlah kerusi yang dimenang oleh PR hanya 89 kerusi, kuasa pemerintahan masih kekal di tangan BN yang mendapat 133 kerusi.

Ini dapat difahami dengan mudah apabila kita dapati kerusi-kerusi yang jumlah pengundi besar iaitu di kawasan bandar dikuasai oleh PR manakala BN menguasai kerusi-kerusi luar bandar yang jumlah pengundinya kecil. Bandingkan kerusi Kapar yang dimenangi oleh PR berjumlah 144 ribu pengundi manakala kerusi Lawas hanya berjumlah seramai 18 ribu pengundi. Bezanya hampir 8 kali ganda. Secara logiknya nilai undi seorang pengundi di Lawas menyamai nilai undi 8 orang di Kapar.

Sebagai parti yang berkuasa cukup lama, BN sudah tentu akan menggunakan apa sahaja kaedah untuk mengekalkan kuasa dan hegemoni mereka. Persempadanan semula kawasan pilihanraya adalah antara taktik tersembunyi yang cukup berkesan cuma ia memakan diri BN apabila gerrymandering tahun 2003 memberikan kelebihan kepada pembangkang kerana kerusi-kerusi campuran bertambah berbanding sebelum itu.

Kewujudan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sendiri adalah strategi BN untuk menghalang kerajaan Selangor jatuh kepada pembangkang kerana dalam PRU 1969, kerusi yang dimenangi oleh UMNO (Perikatan) dengan parti-parti pembangkang serta bebas adalah sama. Waktu itu, Kuala Lumpur yang penduduk majoritinya kaum bukan Melayu adalah sebahagian daripada Selangor.

Satu lagi langkah kerajaan dahulu untuk mengekalkan kuasa adalah dengan memansuhkan pilihan raya kerajaan tempatan. Ramai beranggapan bahawa pilihan raya kerajaan tempatan dimansuhkan untuk elak kaum bukan Melayu menguasai kerajaan tempatan kerana kaum bukan Melayu banyak mendominasi kawasan-kawasan bandar di negara ini. Walhal 85 peratus bandar-bandar di negara kita majoriti penduduknya adalah orang Melayu.

Hakikatnya, pilihanraya kerajaan tempatan dimansuhkan kerana kerajaan Perikatan di bawah Tunku Abdul Rahman mahu kuasa yang lebih luas di tangan mereka dan pembangkang terus dikekang. Waktu itu wujud pertembungan antara pemimpin Majlis Perbandaran Georgetown yang dikuasai oleh Barisan Sosialis dengan kerajaan Perikatan yang berkuasa di negeri dan persekutuan. Beberapa tahun selepas dimansuhkan, kerajaan Perikatan pernah menubuhkan sebuah suruhanjaya diraja mengenai kerajaan tempatan tetapi syor suruhanjaya tersebut yang mencadangkan agar pilihan raya kerajaan tempatan diwujudkan semula telah ditolak mentah-mentah.

Selepas beberapa peristiwa yang berlaku dalam landskap politik kita, seharusnya kita merenung semula sejauh mana model sistem politik dan pentadbiran yang kita amalkan ini masih sesuai dengan bentuk yang sedia ada.

Politik baru sebenarnya tidak akan wujud hanya dengan slogan yang indah semata-mata. Politik baru hanya akan wujud melalui perubahan sistem secara menyeluruh. Kita kekal dengan demokrasi tetapi model demokrasi manakah sesuai dengan negara kita pada masa ini.

Kita ada tiga peringkat kerajaan tetapi hanya kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan dipilih secara langsung oleh rakyat. Kerajaan peringkat ketiga iaitu kerajaan tempatan dilantik oleh pemimpin kerajaan negeri walhal kerajaan tempatan adalah kerajaan yang paling dekat dengan rakyat.

Hasilnya wakil-wakil rakyat sama ada ahli parlimen atau ADUN keliru dengan tugas sebenar mereka. Tugas menggubal undang-undang menjadi tugas sampingan manakala peranan sebagai ‘pegawai kebajikan’ atau ‘ahli majlis’ diutamakan. Rakyat juga menerima pandangan sebegitu. Oleh itu, wakil-wakil rakyat atau pemimpin politik perlu miliki duit yang banyak untuk memenangi hati rakyat serta membayar atau menggaji pemimpin-pemimpin komuniti yang bekerja untuk mereka.

Sejak era Umno dahulu, ketua-ketua bahagian perlu miliki duit yang banyak termasuk dari sumber yang diragui. Kita marah apabila wujud skandal 1MDB tetapi tanpa sedar kita sendirilah yang membiarkan skandal sebegitu terus wujud dengan sistem dan budaya politik sedia ada.

Akta Pendanaan Politik perlu segara dibentangkan dan diluluskan. Reformasi institusi berlu bermula dengan memperkukuhkan peranan institusi penting negara terutamanya Parlimen, Suruhanjaya Pilihan Raya, SPRM dan pejabat peguam negara. Perubahan-perubahan ini mungkin mengambil sedikit masa tetapi rakyat mesti diyakinkan bahawa ia perlu dilakukan.

Masa depan politik Malaysia akan lebih baik jika warlord berundur secara sukarela tetapi saya percaya ia mustahil berlaku selagi mereka masih sihat atau bernyawa.

Tiada pilihan lain, anak-anak muda perlu menunjukkan jalan keluar kepada mereka dalam pilihan raya akan datang.