Malaysia Dateline

Politik Malaysia stabil bila Umno terima hakikat tiada lagi ‘abang besar’

Politik Malaysia akan stabil apabila Umno menerima hakikat bahawa tiada lagi parti dominan, induk, teras atau ‘abang besar’.

Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong berkata, hakikat itu perlu diterima dan parti Melayu tersebut perlu rela hadir bersama (co-exist) dengan parti-parti lain sama ada dalam kerajaan atau pembangkang.

“Apabila Umno menjadi pembangkang, ia harus memberi laluan kepada kerajaan baharu untuk mentadbir,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Chin Tong yang juga Ahli Dewan Negara menambah, Langkah Sheraton berlaku kerana ramai pemimpin Umno masih berfikiran lama dan tidak rela menerima hakikat kekalahan mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau berkata, akhirnya strategi itu telah memakan diri sendiri.

Pengerusi DAP Johor itu mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa kemelut politik negara boleh selesai dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) sekali lagi dipilih oleh rakyat menjadi induk politiknya.

Najib dilaporkan sebagai berkata. amalan demokrasi di Malaysia memerlukan sebuah parti teras yang akan membolehkan kerajaan stabil.