Malaysia Dateline

Politik Malaysia tenggelam dengan muka lama

Selepas sekian lama politik Malaysia bergolak dengan melibatkan muka-muka yang sama, suara-suara yang mahu melihat wajah baru dalam politik negara semakin kuat.

Ini kerana, di negara-negara lain di dunia, pemimpin mereka sudah mengenengahkan muka-muka baru untuk memimpin negara mereka.

“Apakah di Malaysia tidak ada wajah-wajah baru seperti Sanna Marin, Justin Trudeau dan Jacinda Arden?” tanya tokoh wartawan negara, Datuk A Kadir Jasin melalui facebook beliau.

Sanna Marin, 35, adalah Perdana Menteri Finland yang dipilih pada 10 Disember 2019 lalu, Justin Trudeau adalah Perdana Menteri Kanada manakakala Jacinda adalah Perdana Menteri New Zealand.

Kesemua mereka adalah wajah-wajah baru pemimpin dunia ketika negara masih bergelumang dengan wajah-wajah lama yang memimpin negara dan calon-calon perdana menteri.

Ketidaksepakatan Mahathir dan Anwar mengecewakan ramai rakyat sehingga menyebabkan mereka mula tidak senang dengan muka-muka lama ini.

Selain Kadir, aktivis politik Jamzuri Ardani juga membangkitkan sentimen dan isu yang sama.

“Sentimen bosan dengan ramainya pemimpin-pemimpin politik yang dah terlalu lama dan obsolete agak kuat di kalangan rakyat,” tulis beliau menerusi facebooknya.

Bagi beliau, blok politik mana yang lebih bijak dan berupaya memanfaatkan sentimen ini akan beruntung.

“Malangnya di pihak PH pun otai-otai lama ni jenih ketegaq juga. Hat dah jadi wakil rakyat 3 penggal dan lebih, hat tak berapa larat nak berjalan dah, hat naik kerusi roda pun kalau boleh masih minta nak jadi calon PRU15.

“Itu yang saya tepuk dahi,” kata beliau lagi kecewa dengan apa yang berlaku.

Mungkin atas dasar inilah, bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman meninggalkan mentor beliau, Tun Dr Mahathir Mohamad dan mendaftarkan parti baru iaitu Muda.

Ahli Parlimen Muar itu membuat permohonan pendaftaran parti baharu Ikatan Demokratik Malaysia (Muda Malaysia).

Menurutnya, parti itu bertulang belakangkan oleh 13 penaja.

“Struktur organisasi kita akan maklumkan kemudian tetapi kami mempunyai 13 penaja yang terdiri daripada pelbagai latar belakang,” katanya ketika ditemui selepas selesai membuat permohonan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) 17 September lepas.

Beliau berkata, meskipun dikenali sebagai Muda Malaysia, parti itu membuka keahlian kepada semua lapisan masyarakat dan pelbagai kaum.

“Muda Malaysia tidak boleh dilihat hanya pada faktor umur. Ia lebih kepada fahaman, ideologi, idealisme, dasar-dasar yang inklusif, itu yang paling penting,” katanya.