Malaysia Dateline

Politik menyebabkan api perkauman makin menjadi-jadi

Saya ingin menjawab persoalan yang dibangkitkan Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan isu politik identiti atau politik ras tidak boleh berterusan namun ia juga tidak boleh dihapuskan secara keseluruhan.

Saya bersetuju dengan penyataan beliau ironinya beliau sendiri adalah seorang ahli politik yang menggunakan politik perkauman untuk kekal relevan dalam dunia politik Malaysia hari ini.

Persoalan saya pada Perdana Menteri kita bagaimana negara ingin bergerak ke hadapan jika ahli politik sendiri gemar bermain isu perkauman setiap kali pilihan raya?

Mungkin Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai visi bagi mengatasi masalah ini atau adakah ianya sekadar ucapan retorik penyedap rasa untuk rakyat Malaysia?

Sebelum ini Malaysia mempunyai Dasar Ekonomi Baru untuk membantu kaum Melayu dan bumiputera tetapi hakikatnya hari ini kaum Melayu paling ketinggalan dari segi ekonomi walaupun hampir 60 tahun negara ini diperintah oleh kerajaan yang berjuang demi kaum Melayu.

Jadi apa rasionalnya hari ini PM kita sendiri juga membentuk sebuah parti yang berbentuk perkauman tetapi dalam masa yang sama menyatakan politik ras tidak boleh berterusan?

Ucapan beliau sepertinya not walk the talk, selepas ini kita masih akan mendengar riuh gendang politik perkauman dimainkan oleh rakan komponen kerajaan parti Perikatan Nasional (PN) namun PM kita diam seribu bahasa tanpa mengambil tindakan lanjut.

Saya menyarankan pada Perdana Menteri untuk mengambil tindakan pada mana-mana individu yang sengaja melakukan provokasi perkauman di media sosial di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 kerana isu perkauman ini sering dimainkan di laman sosial. Contohnya kes arwah Adib, isu pemandu mabuk dan sebagainya yang akhirnya menyemarakkan lagi isu perkauman di negara ini.

Jika beliau benar serius seeloknya bermula dengan menjatuhkan hukuman terhadap mana-mana individu yang sengaja melakukan provokasi perkauman.

Kita tidak mahu media sosial dijadikan gelanggang untuk mencetuskan lebih banyak sentimen perkauman pada masa akan datang.

———————————-
Penulis adalah aktivis politik di Terengganu.