Politik murahan Umno, Pas hanya merugikan rakyat dan negara

Politik murahan Umno, Pas hanya merugikan rakyat dan negara

Politik murahan  yang dimainkan oleh parti pembangkang, Umno dan Pas dilihat hanya akan merugikan rakyat dan negara.

Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, isu kontrak Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) yang dibangkitkan pada sidang Parlimen yang lepas, telah diikuti secara membuta tuli oleh ahli-ahli Parlimen daripada Pas.

Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah

“Dalam isu tersebut, tidak ada penyelewengan pun. Kerajaan berhak membuat keputusan sewajarnya bagi membela petani miskin di bawah Nafas.

“Pas pula sanggup mengenepikan kebajikan petani yang miskin dan susah demi sensasi politik murahan bersama Barisan Nasional (BN)-MCA.

“Politik sensasi untuk mencetuskan persepsi negatif dalam kalangan rakyat di negara ini adalah budaya negatif parti pembangkang, Umno dan Pas,” bidasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menyingkap rentetan politik negatif oleh parti pembangkang itu, Raja Kamarul berkata, pada minggu berikutnya pula, Pas dan BN-Umno tidak menyokong undian untuk membantu kebajikan wanita dan golongan OKU.

“Mereka tidak menyokong undian itu demi untuk cuba menggagalkan usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang ingin memberi kemudahan kepada golongan susah.

“Terbaharu, Umno dilihat lebih mementingkan isu abu mayat Chin Peng yang telah lama mati berbanding menangani isu serbuk dadah yang lama melanda negeri-negeri majoriti Melayu seperti Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis.

“Di mana keprihatinan Umno dalam membela masalah sosial dadah golongan Melayu di negeri-negeri yang mereka telah pernah memerintah sejak begitu lama?

“Walaupun mungkin akan memakan sedikit masa, tetapi kerajaan PH terus memberi tumpuan ‘jangka masa panjang’ dalam menyelesaikan masalah rakyat, bukannya berpolitik murahan sensasi tidak bertanggung jawab seperti Umno dan Pas,” katanya sambil menyifatkan parti pembangkang itu ketandusan idea dan mempunyai visi yang lemah untuk merampas kuasa.