Politik nafsu dan nafsu politik dalam mengejar laba kuasa

Politik, asasnya adalah siapa mendapat apa, bagaimana dan bila. Politik adalah peluang dan keupayaan menguasai peluang serta kemampuan untuk menukar peluang menjadi laba yang menguntungkan serta memanfaatkan laba yang diperolehi untuk meneguhkan penguasaan dan kekuasaan.

Dalam politik, prinsip moral bukan sesuatu yang bersifat praktis. Dengan nada sinis, Niccolo Machiavelli dalam The Prince menegaskan bahawa dalam urusan politik, tidak ada tempat membicarakan soal moral. Tujuan berpolitik adalah untuk memperkuat dan memperluas kekuasaan. Dalam nada lain Niccolo Machiavelli menegaskan, “kesahan kekuasaan membenarkan segala teknik pemanipulasian sokongan masyarakat terhadap kekuasaan yang ada.”

Ini bererti, soal moral, etika dan tatasusila dalam politik, merupakan sesuatu yang amat abstrak dan sukar untuk ditafsir. Ahli politik boleh bercakap soal moral, etika, prinsip dan susila, namun untuk mereka patuh dan komited terhadap apa yang mereka tuturkan adalah sesuatu yang sukar, agak luar biasa seandainya wujud ahli politik yang “cakap serupa bikin,” selalunya “cakap tak serupa bikin.”

Realiti inilah yang berleluasa mencengkam tingkah laku serta pemikiran politik dalam kalangan ahli politik, tanpa mengira jenama serta wajah kelompok politik mereka. Mereka yang mendakwa berwajah politik Islam sekali pun tidak terlepas daripada kekacauan dalam soal moral politik. Nafsu politik juga akan menjadi asas pertimbangan dan menguasai keputusan politik mereka.

Realiti selepas PRU 14, memperlihatkan politik Malaysia berbahang dengan pelbagai isu, berpunca daripada moral politik yang bercelaru, kegagalan dalam mendefinisikan kebenaran politik, disebabkan wujudnya konflik fahaman politik serta perjuangan menyebar acuman politik, bermatlamat untuk mengembangkan pengaruh politik serta mengambil alih kuasa politik pemerintahan.

Pas  dan Umno hakikatnya lebih cenderung untuk bertindak sebagai agitator bagi memusnahkan Pakatan Harapan (PH) – tabienya begitulah tingkah laku pembangkang akan sentiasa melakukan tekanan dan provokasi bagi memusnahkan kesepaduan parti memerintah, kerana itu adalah peluang kepada mereka untuk berkuasa.

Politik tidak mementing kaedah dalam menguasai kuasa, sama ada secara berperlembagaan atau pun secara diluar perlembagaan, apa yang penting matlamat yang disasarkan dapat dicapai.

Segala bentuk mekanisme dan kaedah agitator yang boleh diguna pakai, akan dieksploit sepenuhnya untuk membolehkan lawan politik dijatuhkan. Rampasan kuasa juga merupakan antara kaedah yang sering diguna pakai, sebagaimana dilakukan regim Al Abdel Fattah el-Sisi dalam menumbang Mohamed Morsi di Mesir.

Moral politik bukan satu perhitungan maruah, inilah juga yang berlaku dalam konteks tumbangnya Pakatan Rakyat, sebagai parti berkuasa di Perak yang akhirnya membuka jalan untuk Barisan Nasional (BN) kembali menubuh kerajaan pada 4 Februari 2009. Dalam kes ini nafsu politik dan politik nafsu telah menguasai perkiraan moral politik.

Inilah situasi politik yang memperlihatkan Pas sedang berusaha keras untuk mencetuskan ketidakyakinan rakyat terhadap dasar-dasar yang dirangkalaksana oleh PH, khususnya berkaitan dengan isu Islam. Pas  dalam apa situasi pun menganggap tindakan-tindakan yang dilaksanakan oleh PH, sebagai tidak menepati kehendak Islam kerana tidak menepati Islam versi Pas, sehingga mengisytiharkan PH “wajib” dijatuhkan.

Maka adalah boleh ditafsirkan bahawa “Amanat Hadi” itulah standard Islam versi Pas. Ini dapat dikesan daripada kenyataannya, “kesabaran kami ada had, henti tuduh orang Melayu ‘rasis’,” Hakikatnya, orang Melayu tidak rasis, sebaliknya kenyataan politik pemimpin Pas dan Umno yang memperlihatkan unsur rasis, umpamanya, “Jangan biarkan Cina kuasai Sarawak,” jelas kedua-dua kenyataan ini memperlihatkan wujudnya unsur ugutan dan ancaman serta di luar daripada semangat Perlembagaan.

Corak pemikiran yang dikembangkan oleh Pas ini amat bertentangan sekali dengan idea yang dikemukakan oleh Golam W. Choudhury dalam tulisannya, Islam and the Modern Muslim World. Mengikut Golam W. Choudhury, Islam berpotensi menyumbang secara bermakna terhadap keamanan dunia dengan memperkukuhkan prinsip keamanan dan toleransi sejagat.

“Kesabaran kami ada had,” soalnya kesabaran siapa? Tentunya tidak melibat orang Melayu yang rasional dan tinggi nilai intelektualnya, sebaliknya kemungkinan besar adalah daripada golongan yang dididik oleh pimpinan Pas dan lebih terdorong oleh nafsu politik serta dikawal oleh politik nafsu sehingga memusnahkan piawai intelektualiti, tenggelam dalam politik bebal (berkaitan dengan bebal dan bebalisme telah dibincangkan secara kritis oleh Syed Hussein Alatas dalam tulisannya Intelektual Masyarakat Membangun).

PAS dalam pelbagai reaksi politik tidak menampakkan akan wujudnya unsur apa yang dikatakan oleh Syed Hussein Alatas sebagai rasionaliti substansial.

Pada masa yang sama Pas juga berusaha menggugat kestabilan hubungan di antara parti-parti dalam PH, terutamanya dengan mengisytiharkan sokongan terbuka kepada Tun Dr. Mahathir, tokoh yang dianggap Pas tidak layak untuk dilantik sebagai Perdana Menteri (PM), sewaktu Tun Dr. Mahathir dicadangkan oleh PH untuk mengisi jawatan PM. Dakwaan pimpinan Pas kemenangan Tun Dr. Mahathir akan membahayakan negara.

Namun sebaik Tun Dr. Mahathir diangkat sebagai Perdana Menteri, maka pada 4 Jun 2018, barisan utama pimpinan PAS telah mengunjungi Tun Dr. Mahathir di pejabatnya, iaitu watak yang dihina dan diperlekeh dalam sepanjang kempen PRU 14.

Alasan yang diberikan adalah berkaitan dengan urusan kerajaan dengan kerajaan, satu alasan yang sengaja direka ada, memandangkan kumpulan yang hadir itu adalah Presiden Pas dan beberapa orang pimpinan Pas, bukannya pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri bersama Ketua Eksekutif negeri.

Apakah realiti moral seorang Presiden Parti yang tidak ada kaitan dengan pentadbiran negeri untuk berbincang soal pengurusan dan pentadbiran negeri? Bukankah ini bermakna wujud konflik personaliti antara prinsip dengan perlakuan? Bermakna terserlah moral politik PAS lebih bersifat “opportunist” dan hipokrit dalam pendekatan politik.

Memperlihatkan wujudnya satu cubaan PAS untuk mencari “master” baru, setelah gagal untuk menjadi “King Maker.” Dalam situasi lain, mungkin ini boleh dikatakan bahawa Pas berada dalam situasi mencurigai suara hati dan meragui kewarasan akal, sebagaimana digambarkan oleh Muhammad ‘Abdullah Diraz dalam Perkhabaran Agungnya.

Moral politik bukanlah menjadi pertimbangan politik, khususnya Pas. Walaupun Pas mendakwa bahawa Pas adalah parti Islam, namun hakikatnya PAS juga terperangkap dalam senario pemikiran politik sekular barat.

Nafsu politik tetap menguasai pemikiran dan perlakuan politik para pemimpin Pas. Politik Islam Pas hakikatnya adalah satu kewujudan dalam situasi hampa gas. Standard politik Pas, tidak ada kelainan ketara dengan parti-parti politik lain yang didakwa Pas sebagai parti sekular.

Hakikatnya itulah Pas , parti yang sifatnya serba boleh, ke kanan, ke tengah, ke kiri, apa lagi, ke hulu atapun ke hilir, semuanya boleh asalkan dapat dihujahkan atas nama Islam, dicukuprasakan dengan perasa Islam. Itulah Pas, moral politik dalam tingkah laku politik masih juga tertakluk kepada nafsu politik yang berfokuskan kuasa.

Meski pun terdapat dakwaan dalam kalangan pimpinan Pas bahawa perjuangan mereka adalah untuk menegak Islam, bukannya untuk mengejar jawatan Perdana Menteri, hakikatnya itu adalah satu pembohongan (bagi Pas  pembohongan adalah dihalalkan kononya atas maslahah parti).

Keengganan PAS untuk berkongsi kuasa dengan Umno, di negeri-negeri yang ditadbirkan oleh PAS, setelah wujudnya Muafakat Nasional UMNO-PAS, memperlihatkan bahawa PAS begitu obses terhadap kuasa yang dimiliki.

Hasrat perkongsian kuasa ini telah dilontarkan oleh Presiden Umno namun kepekaan Pas agak hambar.

Jawapan yang diberi oleh Naib Presiden Pas, “Jawatan ahli Exco di Kelantan dan di Terengganu sudah penuh.” Bererti Pas lebih bernafsu kepada kuasa daripada moral politik dalam memperkukuh keyakinan politik dalam konteks satu permuafakatan.

Tindakan politik Pas juga tidak menggambarkan kebulatan fikiran, dalam membuat sesuatu tafsiran dan tindakan politik. Dalam isu yang berkait dengan Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE), apabila melibatkan beberapa ahli DAP yang ditahan polis, memperlihatkan wujudnya dualisme pemikiran politik PAS.

Di satu pihak Pas  dengan lantang bersuara menganggap DAP sebagai pengganas, mendesak supaya DAP diharamkan, sebaliknya, di sisi lain apabila melibatkan ahli MIC, Pas  melalui siaran media Setiausaha Agungnya, membersihkan MIC dengan menegaskan bahawa MIC tidak terlibat menyokong aktiviti pengganas, pada masa yang sama bersedia pula untuk menawarkan khidmat guaman. Inilah realiti moral politik PAS, dua wajah dalam satu kepala.

Persoalan yang berkaitan dengan moral politik, dapat juga dikesani dengan penglibatan PAS dalam konteks politik wang. Walau pun Pas beranggapan tuduhan beberapa pihak, bahawa Pas menerima “wang politik” daripada Umno dinafikan dan dianggap sebagai fitnah, namun Pas , akhirnya terpaksa akur dengan realiti nafsu politiknya, apabila wujudnya audio pengakuan pimpinan Pas  yang mengaku hampir kesemua pemimpin utamanya menerima “wang politik” daripada Umno

Ini bererti, Pas  terbabit secara langsung dengan politik wang. Realiti ini menyerlahkan topeng politik Pas, bermuka-muka dengan para pengikutnya, menafi akan keterlibatan mereka dalam skandal politik wang bersama Umno. Dalam situasi ini para pengikut Pas  telah dibebankan dengan tingkah politik tidak bermoral, berkisar sekitar politik nafsu.

Berdasarkan realiti tingkah laku politik PAS, bagi memberikan kredit bahawa Pas  sebagai pihak yang tidak tertakluk kepada kerangka teori Niccolo Machiavelli adalah sesuatu amat tidak munasabah. Kerangka pemikiran dan tindakan politik Pas  masih tertakluk dalam perkiraan konflik anti moral.

Dalam situasi apa pun PAS sebagai parti politik masih terikat dengan inisiatif perebutan kuasa, persoalan yang dikaitkan dengan laba politik tetap menjadi perhitungan PAS. Maka untuk memisahkan PAS dari nafsu politik serta membebaskan Pas daripada politik nafsu adalah sesuatu yang tidak mungkin akan berlaku.

*Kolumnis adalah Pensyarah  di Fakulti Pengurusan dan Ekonomi Universiti Pendidikan Sultan Idris