Malaysia Dateline

Politik putar angin dalam agenda Melayu-Islam

SENYAP dan sunyi, tiada lagi dendangan suara sahut menyahut membangkitkan unsur-unsur kebencian serta kecurigaan dalam masyarakat, hilang sudah daripada pandangan, tiada lagi kata-kata yang membangkitkan resah perkauman, nada-nada “Islam terancam, hak-hak orang Melayu sudah terhakis, Raja-raja Melayu dihina, Cina telah menguasai Malaysia, maruah Melayu sudah tergadai, LGBT semakin berleluasa.”

Hampir 20 bulan suara-suara ini bergema di media sosial, nampaknya tiba-tiba sahaja kicauan ini terhenti dan hilang daripada pandangan, ghaib daripada skrin media sosial, sebaik sahaja tertegaknya kerajaan yang diistilahkan sebagai “pintu belakang, tebuk atap (PBTA),” kononnya dikatakan sebagai kerajaan Melayu-Islam.

Bermakna kumpulan yang begitu ghairah bermain dengan emosi perkauman dan sentimen keagamaan ini adalah kumpulan yang secara aktif bersekongkol dengan PBTA dan juga merupakan sebahagian daripada perancang dalam merealisasikan PBTA itu sendiri, tidak dapat dinafikan akan hakikatnya, bahkan merupakan sesuatu yang jelas dan nyata.

Golongan ini dapat ditafsir sebagai golongan “hipokrit-oportunis-cauvinis,” berkisar disekitar pemikiran berteraskan naluri kekecewaan melampau di atas kekalahan dan kehilangan kuasa dalam Pilihan Raya Umum 14 (PRU14), menjadikan mereka hilang pedoman akhirnya terjerumus ke dalam tindakan politik berteraskan matlamat menghalalkan cara.

Membina kehidupan politik berteraskan sentimen perkauman dan superioriti agama, menjadikan seolah-olah mereka adalah kumpulan suci yang maha suci dalam beragama serta penuh sempurna tata cara amalan beragama.

Mengikut Nurcholis Majid pemikiran sebegini diistilahkan sebagai dorongan pemaksaan fahaman, mencetus kepada kelahiran ideologi politik keagamaan bersifat sakral keulamakan kelompok, manakala diluar daripada kelompok mereka adalah golongan pendosa.

Kumpulan ini hakikatnya menjadi penyumbang kepada kemusnahan sistem serta perosak kepada kestabilan proses politik, sekali gus menyah peduli akan realiti prinsip demokrasi dan keutuhan nilai hakiki, sesuatu yang paling sadis adalah mempermainkan nilai agama dengan “membenarkan apa yang pernah diharamkan dan mengharamkan apa yang pernah dibenarkan.”

Inilah hakikat dan realiti yang berlaku mewarnai dimensi politik Malaysia semasa, politik boleh ditafsir dengan pelbagai senario, politik bagi golongan “hipokrit-oportunis-cauvinis” hakikatnya tidak mengenal erti kemanusiaan, nilai moral, mahu pun etika. Tentunya jauh sekali membina kerangka tindakan dalam konteks pemikiran integriti mahu pun bersandarkan tingkah laku akauntibiliti. Definisinya menjadi relatif dan subjektif, memandangkan fokusnya adalah membina rangkaian kuasa serta memutlakkan kuasa dengan menyingkirkan musuh yang dikenali, mahu yang tidak dikenali.

Politik talam dua muka dan gergaji dua mata, dipadankan pula dengan politik “makan keliling” dan politik “putar angin”, merupakan budaya politik yang melebar bersifat praktis mutlak dalam kalangan politik Melayu-Islam. Moral dan etika bagi golongan ini adalah dikira sahih, asalkan tujuan dan matlamat dapat dicapai, biar pun bertentangan sekali dengan nilai peradaban, jauh sekali akan ikatan adat. Kerakusan kuasa politik menjadikan wujudnya golongan yang kehilangan adab dan adat, itu realitinya

Berdasarkan hakikat ini, menang mandat rakyat melalui pilihanraya, bukan bermakna sesebuah parti yang beroleh majoriti akan terus kekal sebagai kerajaan yang memerintah, risiko kehilangan majoriti hakikatnya mempunyai aras kemungkinan yang tinggi, memandangkan politik hakikatnya tidak mengenal mandat rakyat lebih-lebih lagi dalam konteks persekitaran politik yang diacum emosi perkauman, sentimen keagamaan serta penjanaan pemikiran takfiri.

Faktor kesetiaan kepada prinsip bukan menjadi pengikat kepada pendirian ahli-ahli politik, khususnya apabila wujudnya keinginan dorongan nafsu untuk berkuasa, maka bertukar kumpulan politik tidak dirasakan bersalahan dengan moral. Kesetiaan boleh sahaja terlerai dengan leburnya komitmen politik, khususnya didorong oleh persaingan kuasa serta kepentingan agenda peribadi.

UMNO dan PAS, sebaik sahaja terbentuknya kabinet PBTA 9 Mac 2020, telah mengumandangkan suara bahawa kerajaan yang mereka dokongi kini sebagai kerajaan Melayu-Islam, diperbesarkan maklumannya oleh beberapa penulis pro UMNO-PAS dalam media arus perdana dan juga media sosial.

Namun MCA dengan lantang telah mendesak supaya momokan kerajaan Melayu Islam itu tidak disinonimkan dengan kerajaan PBTA hari ini. “Saya tidak mahu dengar selepas ini orang kata, ini kerajaan Melayu Islam.” Itu kata Presiden MCA.

Namun kenyataan ini tidak mendapat apa-apa tindak balas daripada para pemimpin UMNO mahu pun PAS, tidak pula kedengaran suara yang membantah dan menjerkah kenyataan Presiden MCA tersebut. Situasi ini amat berbeza dengan realiti yang berlaku sewaktu kerajaan Pakatan Harapan (PH) berkuasa, pastinya andaikata kenyataan sebegini terkeluar daripada mana-mana pemimpin DAP, pastinya akan dicincang lumat untuk merasionalkan bahawa PH tidak membela Islam, tidak berjuang untuk Islam dan kesimpulannya Islam sedang terancam, bukan Islam telah menguasai menjajah Islam, “semuanya kerana DAP, DAP telah menguasai kerajaan” itulah bunyi ratib yang akan diiramakan.

Dalam aspek lain, apabila UMNO-PAS membisu terhadap bantahan Presiden MCA tersebut, bermakna UMNO-PAS secara tersirat mengiktiraf gesaan dan bantahan yang disuarakan oleh Presiden MCA tersebut. Keadaan ini menjelaskan bahawa UMNO amnya dan PAS khususnya tidak berminat ke arah pembentukan kerajaan Melayu-Islam sebagaimana mereka laungkan sewaktu PH berkerajaan.

Ternyata laungan mereka hanya merupakan sebagai retorik untuk memasung pemikiran para penyokong mereka, hakikatnya wajah Islam PAS amat kelam dan kabur, beronakan sumpah-sumpah. Keadaan ini menjelaskan bahawa kerajaan Melayu-Isam itu adalah satu metos yang dicanangkan UMNO-PAS semata-mata untuk menjuarai pengaruh dalam kalangan masyarakat Melayu yang kononnya bersemangat Islam.

PAS menjadikan Islam sebagai bidak percaturan untuk porak-peranda pemikiran masyarakat Melayu.
Kicauan ini bukan sahaja datangnya daripada penyokong kelas rendah UMNO-PAS, sebaliknya dituruti serta oleh mereka yang “berkelulusan tinggi” setahap jawatan mufti, mahu pun dalam kalangan sesetengah ahli akademik yang kononnya pembela Melayu, dizahirkan Melalui Kongres Maruah Melayu, kononnya sebagai aspirasi mempertahankan hak-hak orang melayu.

Persoalannya hak apakah itu? Apakah hak-hak orang Melayu yang telah hilang dan pupus serta dicantas? Tanah Rizab Melayu yang kini hanya berjumlah 20 peratus, tidak pula diperjuangkan oleh UMNO-PAS dan UMNOlah yang menjadi petualang kepada mengecilnya saiz peratusan Tanah Rizab Melayu.

Peruntukan Perlembagaan secara mutlak tidak membicarakan soal “hak keistimewaan orang Melayu,” sebaliknya peruntukan 153 menekankan soal “kedudukan istimewa orang Melayu” dua frasa yang membawa makna yang berbeza. Hakikatnya, pada masa yang sama mengiktiraf kedudukan orang bukan Melayu dalam konteks realisasi negara bangsa Malaysia. Apakah ini bermakna, seterusnya akan disusuli pula dengan Kongres Maruah Melayu kedua?

Ternyata, segala bentuk nada perkauman yang dikumandangkan sewaktu PH berkuasa, merupakan nada yang dizahirkan daripada kumpulan Melayu terdesak yang berselindung disebalik tabir Islam. Islam dijadikan jenama bagi mengesahkan segala tindakan serta mengekalkan sokongan, khususnya dalam kalangan masyarakat Islam pemikiran kelas ketiga.

Hakikatnya, golongan ini merupakan kumpulan yang terjerat dengan pemikiran pemusnah serta terperangkap dalam tingkah laku “homo homini lupus.” Islam dijadikan bahan dagangan untuk keuntungan semerta.

Rasuah, penyalahguanaan kuasa dan penglibatan dalam pengubahan wang haram yang menjadi pola korupsi, dianggap halal dan benar, asalkan sahaja pelakunya adalah orang Islam, gambarannya, seolah-olah apa pun jenis korupsi, salah guna kuasa dan tingkah laku devian, bukan merupakan satu kesalahan selagi “orang itu adalah orang Islam dan menyokong kumpulan Islam berkaitan (UMNO-PAS).”

Konotosi yang dikaitkan, “seburuk-buruk orang Islam, menyamun mancuri dan merompak, dia masih tetap Islam, masih mengucap syahadah, lebih baik daripada bukan Islam, maka orang Islam itu perlu diberikan pembelaan, perlu disokong dan perlu dipertahankan.” Seolah-olah jenama Islam itu menghalalkan segala perbuatan anti-moral dan pelanggaran integriti. Hanya dengan perkataan maaf, itu sudah cukup untuk menghalalkan pelanggaran undang-undang, kerana membukti bahawa wujudnya “iman dihati.”

Setelah wujudnya kerajaan PBTA, maka didapati tidak ada lagi sebarang bentuk tindak balas terhadap kenyataan kesediaan Kementerian Pendidikan untuk bekerjasama dengan Dong Zong, sebagaimana diumumkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan I, wal hal pemuka-pemuka perkauman inilah yang menjaja agar Dong Zong ini diharamkan, lenyap sudah agitasi mereka ini, hanya kerana nafsu mereka untuk berkuasa telah dipenuhi, meskipun kuasa itu dioerolehi melalui rangkaian manipulasi sistem demokrasi. Kegilaan terhadap kuasa, menjadi golongan ini bersikap bebal dalam berpolitik.

Namun bagi golongan ini, itu bukan sesuatu yang memualkan asalkan dendam mereka tercapai untuk menelungkupkan PH, soal mandat rakyat itu bukan sesuatu yang penting. Isu-isu yang berkaitan dengan usaha mengharamkan sekolah vernakular kerana dikatakan bertentangan dengan Perlembagaan, nampaknya semakin tersisih, penentangan terhadap “Unified Examination Certificate (UEC)” yang begitu lantang dibantah, kononnya bertentangan dengan dasar pendidikan kebangsaan, nampaknya sudah semakin menyepi, hampir dilupakan, tidak ada lagi api pemebakarannya dinyalakan.

RUU355 yang sebelum ini menghimpunakan segala jenis manusia berbaju ungu di padang Merbok juga telah menjadi kusam, jelasnya “ungu padang merbok” hanya sebagai alat politik PAS untuk menundukkan serta memukau para penyokong PAS dan membangkitkan pesona masyarakat Islam terhadap wajah kelam PAS, maka jelas bahawa hudupnya PAS itu meniti di atas perangainya yang “menjadikan Islam itu sebagai perkakas politik, memperdagangkan agama” bagi membolehkannya bernafas, sebaliknya pada masa yang sama memperlihatkan melebarnya amalan politik hipokrisi.

Hakikatnya kerajaan yang lahir di atas penafian mandat rakyat, tertegak di atas pengkhiatan terhadap pilihan rakyat, merupakan kerajaan yang bersifat memusuhi moral intelektual dan mematikan aspirasi peradaban. Segala retorik perkauman, gembar-gembur ancaman terhadap Islam dan penyebaran lslam liberal, hilang lenyap daripada kebisingan di media sosial, juga media arus perdana, apalagi hilang terus daripada disyarahkan, khususnya oleh golongan “ulama sampul.”

Bermakna Selama 20 bulan, sejak hari pertama Pakatan Harapan membentuk kerajaan, pihak yang bertubi-bertubi menyerang dengan emosi perkauman dan acuman sentimen Islam, menjadikan Islam sebagai alat politik kepartian, adalah secara jelas ditaja dan digerakkan oleh UMNO-PAS. Golongan yang menjadi duri dalam daging, sebagai usaha berterusan untuk memecah belahkan ikatan sosial, menajamkan konflik perkauman dan melebarkan pergeseran agama.

Golongan ini hakikatnya akan menggunakan apa sahaja medium, pentas ceramah politik, masjid, surau dan media sosial untuk menghuru-harakan pemikiran masyarakat, bahkan lebih jauh daripada itu wujudnya usaha dan percubaan untuk menakwil keislaman pihak yang tidak sehati dan sejiwa dengan fahaman anutan mereka.

————————

Penulis adalah pensyarah Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris