Politik rentasan parti, jalan lain untuk pembangkang benam Umno PRU15

Oleh NASUHA RAHMAN

Keputusan sebulat suara mesyuarat Majlis Tertinggi Umno (MKT) untuk mencalon dan mengangkat Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri telah merancakkan lagi rentak paluan gendang PRU 15. Ramai ahli-ahli Umno merasa lega dengan pengumuman tersebut kerana ia telah mengurangkan ketegangan dan persaingan dalaman kalangan pimpinan Umno.

Namun terdapat juga suara yang tidak meyakini akan keputusan tersebut, apabila merujuk kepada apa yang berlaku di Johor apabila Hasni Mohammad telah digantikan dengan Onn Hafiz Ghazi.

Terdapat suara mencadangkan supaya Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN), memandangkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri (PM) yang mempunyai kuasa dan terus berkuasa sebagai PM dalam kerajaan sementera (care taker goverment) setelah terbubarnya Parlimen.

Terdapat juga suara yang menghendaki supaya Ismail Sabri Yaakob dilantik terus sebagai Pengerusi BN bagi membolehkan beliau bertindak secara total untuk bertanggungjawab sepenuhnya terhadap perjalanan Pilihan Raya Umum 15 (PRU15) dan terus membentuk kerajaan baharu, sekiranya BN berjaya memperolehi kerusi majoriti.

Secara umumnya, dalam kalangan penganalisis politik, ramai berpendapat bahawa PRU 15 akan tetap berlaku dalam tempoh waktu terdekat berdasarkan beberapa faktor semasa yang wujud.

Faktor utama adalah tentang kedudukan ekonomi negara yang kurang stabil, berpunca daripada kelemahan pemerintahan yang ada sekarang.

Penganalisis melihat bahawa kerajaan campuran yang mempunyai majoriti tipis begitu mudah untuk berlakunya pergolakan politik dan situasi ini tentunya akan menyebabkan para pelabur hilang keyakinan dan menjauhi pasaran pelaburan Malaysia, secara tidak langsung akan memberikan kesan ke atas kemajuan ekonomi negara.

Dalam pada itu, desakan kluster mahkamah juga merupakan antara faktor yang berpotensi ke arah perencanaan PRU 15. Kluster mahkamah dilihat begitu ghairah untuk mempercepatkan PRU 15, golongan ini (Kluster mahkamah ini rata-ratanya terdiri daripada elit politik Umno) sedang mengalami tekanan peribadi berkaitan dengan kes perbicaraan mereka di mahkamah.

Pada perkiraannya, mereka sedang bertarung dengan usaha untuk membebaskan diri mereka daripada dijatuhi hukuman. Jalan terbaik untuk membebaskan diri mereka dikatakan adalah melalui kuasa yang diperolehi dengan kemenangan dalam PRU 15.

Bagi kluster mahkmah ini, momentum yang berlaku hasil daripada kemenangan besar dalam Piihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan PRN Johor seharusnya dimanfaatkan, bagi mengembalikan semula UMNO-BN ke puncak kuasa pemerintahan. Kemenangan Umno-BN pada anggapan kluster mahkamah merupakan peluang terbuka untuk kes-kes mereka digugurkan.

Faktor lain yang juga tidak kurang pentingnya adalah perpecahan dalam kalangan parti-parti pembangkang. Parti-parti pembangkang yang terdiri daripada Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN). PN walau pun merupakan sebahagian daripada kerajaan, namun dianggap sebagai pembangkang oleh BN, khususnya dalam realiti persaingan PRU 15, sebagaimana berlakunya dalam PRN Melaka dan PRN Johor serta parti-parti kecil seperti MUDA, Warisan, Pejuang, Putra dan lain-lainnya.

Parti pembangkang masih berusaha mencari titik pertemuan untuk menjalinkan kerjasama antara mereka. Tambahan pula dalam suasana kempen pemilihan kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sedang berlangsung kini, terdapat pihak yang menjadi jaguh secara terang-terangan menolak konsep Khemah Besar.

Bagi kumpulan jaguh ini, mereka merasakan PKR boleh berdiri sendiri dengan membentuk jati diri dan keupayaan parti untuk menawan hati rakyat. Malah ada suara yang lebih lantang, berani menyatakan jika perlu PKR boleh bersendirian dalam PRU 15 nanti.

Apa pun faktor yang dibicarakan, berdasarkan sejarah lepas, PRU jarang berlaku dalam tempoh masa genap 5 tahun. Tempoh PRU sejak tahun 1974 iaitu yang ke 4 hingga ke 14 kebanyakan berlaku dalam tempoh 4 tahun kecuali bagi PRU ke 9 ( 1990 hingga 1995), ke 11 (1999 hingga 2004), ke 13 (2008 hingga 2013) dan ke 14 ( 2013 hingga 2018).

Tempoh yang berlaku juga semuanya di bawah pentadbiran kerajaan BN yang menang majoriti besar selaku kerajaan pemerintahan. Kini tempoh masa bagi PRU 14 akan memasuki tempoh genap 4 tahun pada 8 Mei 2022 nanti.

Oleh itu, ia adalah tempoh yang dikira berdasarkan sejarah ruang masa membolehkan PRU diadakan. Cuma dalam konteks pentadbiran kerajaan Malaysia tarikh PRU menjadi rahsia dan ia diletakkan sebagai satu tarikh yang hanya memberi kelebihan kepada parti pemerintah.

Ini berbeza dengan negara lain, misalnya Indonesia sudah menetapkan tarikh Pemilihan Umum (Pemilu) iaitu pada April 2024. Rahsia ini dianggap satu kelebihan kepada parti pemerintah untuk memerangkap atau membuat parti lawan tidak membuat persediaan yang cukup.

Justeru, pimpinan PN mengambil langkah bertemu dengan YAB Ismail Sabri Yaakob untuk menjelaskan bahawa sekiranya PRU 15 hendak diadakan, maka ia perlu dimaklumkan terlebih dahulu kepada pihak PN selaku rakan dalam pemerintahan semasa. Apakah harapan PN akan tertunai atau masihkah PN mengharapkan kejujuran BN untuk mendapat tarikh PRU 15 secara bersama?

Sebagai pemerhati politik, rasanya adalah amat wajar sekali pihak PN tidak lagi mengharapkan sesuatu daripada BN. PN perlu meletakan titik noktah dengan BN dan kembali mengadakan rundingan dengan pihak PH untuk mengadakan kerjasama dalam PRU 15 (bukan bergabung) agar apa yang dimiliki sekarang dapat dipertahankan.

Begitu juga dengan PH, percaturan harus dilakukan untuk memastikan apa yang telah dimiliki masih boleh dipertahankan. Perlu diingatkan bahawa PN dan PH mempunyai kekuatan masing-masing dan akan menyebabkan berlakunya perpecahan undi sekiranya pertembungan berlaku antara PN dan PH dalam PRU 15 nanti.

Hasilnya BN juga akan meraih kemenangan mungkin dengan majoriti yang lebih besar. Berdasarkan kepada keputusan PRU 13 pada tahun 2013 telah memberi sinaran kepada pihak pembangkang terutamanya Pakatan Rakyat (PH belum lagi dtubuhkan) untuk terus berusaha menyakinkan rakyat untuk membentuk sebuah kerajaan baharu yang lebih peduli rakyat.

Dalam masa yang sama rakyat juga telah didedahkan dengan berbagai penyelewangan yang telah dilakukan oleh kerajaan BN terutamanya PM Najib Razak yang terlibat secara langsung dengan skandal 1MDB.

Begitu juga dengan kes Felda dan Tabung Haji yang dilihat mula memberi kesan kepada kedudukan kewangan kepada kedua-dua institusi ini.

Namun yang memberi kesan terus kepada rakyat adalah GST 6% yang menjadi rakyat terpaksa menanggung bebenan sara hidup yang tinggi dan sangat mencengkam.

Setelah PAS mengambil keputusan untuk keluar daripada gabungan Pakatan Rakyat (PR) pada tahun 2015 maka tindakan pantas telah dilakukan untuk membentuk pakatan baharu iaitu Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai oleh PKR, Dap dan Amanah pada tahun 2015.

Dengan beberapa konvensyen telah diadakan, PH dilihat begitu mantap dan berjaya mempengaruhi rakyat. Keyakinan rakyat untuk menentang kerajaan BN amat ketara lagi apabila isu-isu besar telah menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat sehinggalah tercetus Deklarasi Rakyat yang diketuai oleh Tun Mahathir Mohamad.

Rakyat telah mula dapat dihimpunkan dalam pelbagai program yang dianjurkan oleh PH dan juga kumpulan Deklarasi Rakyat. Selanjutnya PH diperkuatkan lagi dengan penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) setelah ditubuhkan oleh Tun Mahathir Mohamad dan rakan-rakan pada September tahun 2016.

PPBM telah menghimpunkan beberapa bekas pimpinan tertinggi Umno seperti Tan Sri Muhyidin, Dato Sri Mukhriz dan beberapa tokoh korporat.

Hasilnya rakyat telah melihat segala isu-isu yang dikemukakan itu benar-benar memberi kesan kepada kehidupan rakyat maka lahirlah fenomena rakyat menolak kerajaan BN di seluruh negara. Maka, apabila PRU 14 berlangsung, rakyat dengan penuh keyakinan memberi kepercayaan kepada kerajaan baharu PH untuk memerintah.

Penulis merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Human Resource Academy