Malaysia Dateline

Politik Sabah: Anwar cadang bentuk kerajaan perpaduan

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah menyarankan agar mewujudkan Kerajaan Perpaduan di Sabah, bagi menyelesaikan permasalahan politik yang berlaku di negeri berkenaan.

Beliau yang juga Presiden UMNO itu berkata cadangan pembentukan Kerajaan Perpaduan di Sabah, melibatkan semua parti yang berada dalam kerajaan di peringkat pusat.

“Untuk Sabah tentunya tidak begitu sukar untuk Kerajaan Perpaduan itu diwujudkan, tetapi soal penerimaan adalah satu aspek yang harus kita santuni terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sembang Santai Bersama Media di sini hari ini.

Justeru, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu meminta semua parti berlapang dada dan berfikiran terbuka dengan saranan Anwar untuk pembentukan Kerajaan Perpaduan di Sabah, demi keutamaan rakyat.

“Saya yakin rakyat Sabah tidak mahu Pilihan Raya Negeri diadakan, kerana ini bukan hanya memenatkan tetapi dalam masa sama membebankan. Demokrasi bukan hanya dari pilihan raya tetapi daripada kesepakatan antara parti-parti politik,” katanya.

Semalam, Anwar dan Ahmad Zahid mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor bagi menyelesaikan kemelut politik di negeri itu.

Ditanya sama ada tindakan akan diambil terhadap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin susulan menarik sokongan terhadap Hajiji, Ahmad Zahid berkata: “Ada beberapa perincian perlu dibincangkan dan insya-Allah saya akan berjumpa dengan beliau dalam masa terdekat.” 

Jumaat lepas, Bung Moktar mengumumkan pendirian UMNO dan BN Sabah untuk menarik sokongan terhadap Hajiji, susulan hilang kepercayaan terhadap kedudukan beliau sebagai Ketua Menteri selain perjanjian antara BN dan Perikatan Nasional telah dilanggar.

Bagaimanapun pada Sabtu, lima wakil rakyat daripada BN menyatakan pendirian menyokong Hajiji dan merupakan antara 44 ADUN yang didakwa masih memberikan sokongan kepada beliau sebagai Ketua Menteri serta mengekalkan kerajaan negeri ketika ini.

DUN Sabah mempunyai 79 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk enam yang dilantik.

— BERNAMA

Baca juga : Ada formula untuk ‘gencatan senjata’ di Sabah – Zahid