Politik talam dua muka penyumbang kerajaan gagal

Oleh ARIF ATAN

Isunya “kerajaan gagal” atau “kegagalan kerajaan?” Apa pun yang menjadi punca kepada kedua-dua situasi ini adalah terjelma daripada Langkah Sheraton, langkah yang melahirkan kerajaan berdasarkan “pencabulan dan penodaan demokrasi.”

Kerajaan yang terkial-kial mencari talian hayat untuk bernafas. Segala-galanya adalah berpunca daripada langkah yang membawa kepada pakatan liar yang mematikan rentak dan nadi prinsip demokrasi.

Satu langkah yang telah memusnahkan peranan peti undi, sekali gus mempersenda hak dan ketentuan yang telah diputuskan rakyat. Langkah yang berpaksikan kebobrokan moral, melanggari prinsip etika dan prinsip politik demokrasi. Satu langkah yang menyerlahkan betapa musnahnya “konteks berfikir rasional,” sebaliknya menonjolkan “tingkah laku celupar khianat” dalam perebutan kuasa.

Langkah yang turut didalangi dengan jayanya oleh golongan politik agama yang berselindung di sebalik perjuangan agama, mempertahankan Islam, kononnya perjuangan Melayu-Islam. Wal hal golongan inilah yang menampakkan dengan jelas akan kesenjangan moral.

Ternyata golongan politik agama ini hakikatnya tidak mempunyai nilai fungsional dalam kehidupan beragama, agama hanya dijadikan alasan untuk melebar penguasaan nafsu keduniaan mereka. Inilah asas yang menjadi aras perkiraan kegagalan kerajaan dan terbinanya kerajaan gagal.

Golongan politik agama agak jelas tidak meneladani dengan jitu akan aspek moral dan etika. Moral dan etika merupakan paksi kepada ketamadunan manusia, menjadi teras kepada kecerdikan intelektual manusia. Hujah agama golongan politik agama ini merupakan hujah untuk memboleh serta menghalalkan tindakan yang mereka lakukan.

Hujah agama juga digunakan sebagai alat untuk menidak dan mengharamkan segala bentuk perkara yang dilakukan oleh lawan mereka bagi membolehkan mereka terus berkuasa, meski pun agak jelas bertentangan dengan unsur kebenaran moral. Haram dan halal bagi golongan politik agama ini akan sentiasa berubah dan bertukar berdasarkan selera politik dan hukum sosial yang sepadan dengan kehendak mereka.

Adam Smith, tokoh yang dikatakan pencetus ideologi kapitalis ekonomi, juga begitu tegas membicarakan soal moral dan etika dalam kelangsungan urusan ekonomi, hal ini tergambar dengan jelas dalam tulisan beliau, The Theory of Moral Sentiments. Namun bagi golongan politik agama soal moral adalah soal yang berhubung kait dengan cita rasa politik mereka.

Penyisihan moral dan etika dalam perebutan kuasa, menjadi asas kepada wujudnya kegagalan kerajaan untuk menarik serta membina nilai kepercayaan masyarakat terhadap tingkah laku serta dasar-dasar kerajaan yang dilaksanakan.

Hakikatnya harus diingat bahawa masyarakat merupakan teras pemangkin kepada pelaksanaan sistem demokrasi, wujudnya sentimen ketidakpercayaan masyarakat terhadap tingkah laku dan dasar-dasar kerajaan merupakan unsur asas yang membawa kepada rosaknya sistem sosio politik demokrasi.

Apa yang nyata, moral dan etika sememangnya menjadi intipati utama kepada kewujudan kerajaan yang kukuh dan berjaya. Tanpa prinsip moral dunia politik akan menjadi dunia yang zalim. Dunia politik akan mengarah kepada realiti homo homini lupus yang menajamkan krisis sosial kemanusiaan, bellum omnium contra omnes.

Realiti ini sudah cukup untuk membentuk satu struktur kegagalan kerajaan, apabila kewujudan kerajaan itu sendiri tidak pernah disahkan dengan kepaduan sokongan majoriti yang meyakinkan dalam konteks undi percaya ahli-ahli Parlimen, khusus bagi membuktikan wujudnya keyakinan yang kuat terhadap kewibawaan dan keabsahan sebagai sebuah kerajaan. Ini bermakna kewujudan kerajaan dalam kerangka teras demokrasi adalah sesuatu yang boleh dipersoalkan dan dipertikaikan.

Bagi tujuan untuk membuktikan keabsahan kerajaan, maka Parlimen perlu diberikan ruang untuk menyatakan sokongan terhadap kewujudan kerajaan, sekiranya realiti ini gagal dilakukan dan Parlimen tidak diberikan ruang untuk menguji kepercayaan terhadap Perdana Menteri, bermakna sepanjang kewujudan kerajaan itu akan dibayangi oleh langkah Sheraton, langkah yang memperjelaskan akan tingkah laku penyelewengan demokrasi.

Kewujudan kerajaan seharusnya dibuktikan akan adanya keabsahan, bukan hanya bergantung kepada akuan bersumpah (statutory declaration) semata-mata, akuan bersumpah terdedah kepada manipulasi dan penipuan politik.

Situasi inilah hakikatnya yang menjadikan tindakan-tindakan kerajaan dalam mengurus perubahan sosio ekonomi negara, khususnya sepanjang berkaitan dengan pengurusan agenda besar Covid-19 dan pemvaksinasi Covid-19 terdedah kepada situasi absurd dan menjurus kepada pentafsiran kegagalan pelaksanaan, dipersoal dan dipertikaikan oleh banyak pihak, sehingga mencetuskan slogan kerajaan gagal.

Harus diingat bahawa pengurusan covid-19 walau apa pun situasinya, asasnya adalah berkait rapat dengan keselamatan rakyat, selamat daripada dijangkitan penyakit. Kekaburan tatacara pengendalian piawai (standard operating procedure-SOP) telah menyebabkan banyak kekeliruan yang berlaku, sehingga terdapat rakyat yang dikenakan kompaun sehingga RM50,000.

Namun, pelanggaran terhadap SOP dalam kalangan kenamaan boleh pula kelihatan seolah-olah diabaikan, mungkin unsur pengabaian tersebut wujud disebabkan oleh aspek teknikal. Bahkan terdapat pula suara dalam kalangan pihak tertentu, khususnya pendokong PAS yang menganggap pelanggaran SOP dalam kalangan kenaamaan, terutamanya daripada kumpulan parti PAS diumpamakan sebagai burung hud hud.

Apa yang pasti Langkah Shareton hakikatnya merupakan langkah diluar norma prinsip demokrasi sejagat, boleh ditafsirkan sebagai dorongan “matlamat menghalalkan cara,” sebenarnya telah menjadi pencabar kepada kuasa rakyat, suara rakyat yang dijelmakan dalam peti undi, menjadikan peti undi tiada nilai dalam konteks hak rakyat dalam membuat keputusan politik bagi menentukan kemenangan parti-parti politik untuk membentuk kerajaan.

Keadaan ini sekali gus telah membawa kepada kegagalan kerajaan dalam menonjolkan wibawa serta kesahan kewujudannya. Tentunya, tanpa ragu akan mencetuskan pentafsiran sebagai kerajaan gagal, gagal dalam melestari akan kewujudannya dalam aspek moral dan etika.

Harus diingat bahawa kemunculan Perikatan Nasional (PN) bukan atas kemenangan dalam pilihan raya, bukan di atas keputusan peti undi, PN sememangnya tidak wujud dan bukan petarung kuasa dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Sebaliknya PN muncul atas sikap, sifat dan feel pembelotan serta perangai hipokrit pemimpin dalam kalangan beberapa individu PKR, Bersatu serta Pas dan Umno.

Mustafa Al-Bugha dan Muhyiddin Misto, menukilkan bahawa, “kebaikan jasad bergantung kepada hati,” namun ini tidak bermakna mereka yang bergelar “lebai” dan memanggil diri mereka “ulama” mempunyai kebaikan hati, ini dapat dilihat dengan kedudukan jasad mereka yang berlaku khianat dan terlibat secara langsung dengan tipu helah, bersekongkol membentuk kerajaan secara diluar keadilan demokrasi.

Khianat dan tipu helah adalah antara tanda kepada penyakit hati, oleh itu penglibatan Pas dan Umno, Bersatu dan individu-individu daripada PKR dalam langkah Sheraton, hakikatnya boleh ditafsirkan dalam kerangka pandangan Mustafa Al-Bugha dan Muhyiddin Misto ini. Keadaan inilah yang menjadi asas kepada wujudnya kegagalan tindakan kerajaan dalam banyak perkara, khususnya berkait dengan usaha menangani keperitan hidup rakyat kesan daripada pendemik Covid-19.

Langkah Sheraton itu sendiri adalah lambang kegagalan integriti, kegagalan integriti bermakna pencalaran terhadap maruah dan harga diri. Di sinilah yang menjadi punca kepada kegagalan kerajaan dalam konteks membina roh sebuah kerajaan yang diperakui oleh rakyat.

Pimpinan Pas boleh menghalalkan apa sahaja tindakan yang menguntungkan mereka, meskipun perkara yang sama mereka haramkan sewaktu menjadi pembangkang tegar. Amanat Banggol Peradong mengecam Perlembagaan negara sebagai ciptaan penjajah, “Perlembagaan penjajah,” hari ini para pimpinan Pas, menjadi pendokong tegar Perlembagaan negara.

Hakikatnya kebenaran Islam pada PAS adalah sesuatu yang selari dengan selera politiknya, mencabar selera politiknya maka itu adalah salah dan haram.

Pas dalam konteks ini merupakan talam dua muka. Keberadaan Pas dalam kerajaan itu sendiri menggambarkan unsur kegagalan kerajaan dalam membina moral politik. Pas, apa yang pasti menjdi penumpang kuasa dalam koteks kewujudan kerjaan PN, sikap Pas ini secara tidak langsung menjadi penyebab kepada berlakunya kemerosotan integriti, penyumbang kepada “kerajaan gagal.”

Pemerkosaan terhadap prinsip demokrasi begitu jelas sekali, menterbalikan pilihan rakyat melalui keputusan pilihan raya. Kumpulan yang kalah dalam PRU 14, di angkat menjadi penguasa, Langkah Sheraton menjadi langkah yang melumpuhkan nilai intelektualiti politik serta mempersenda keputusan pilihan raya dan proses politik demokrasi.

Bermakna demokrasi yang berasaskan kepada suara majoriti telah dimusnahkan, sebaliknya pihak minoriti menjadi penguasa gelanggang politik, hanya disandarkan kepada tingkah laku Scheme of things (rancangan penyogokan).

Penyogokan jawatan dengan ganjaran lumayan menjadi asas kepada pengukuhan pengaruh dan jawatan. Hakikatnya Scheme of things adalah pemikiran politik yang didasarkan kepada bebalisme politik.

Jawatan-jawatan diwujudkan dalam sekala yang besar untuk membolehkan pihak-pihak yang menyokong mendapat jawatan dan terus kekal mempamerkan kesetiaan tanpa sempadan, meski pun melampaui prinsip integriti dan akauntabiliti.

Walaupun jawatan yang diwujudkan itu sebenarnya tidak mempunyai fungsi yang signifikan, sebaliknya menambahkan bebanan kewangan negara, rata-rata persepsi umum adalah berpandangan demikian.

Jawatan Duta Khas Timur Tengah langsung tidak berperanan dalam pembangunan sosial, ekonomi dan hubungan diplomatik antara benua, bahkan tidak mempunyai nilai yang signifikan dan tidak praktikal, memandangkan segala bentuk hubungan diplomatik antara negara serta antara benua diurus dan dikendali oleh Kementerian Luar Negara.

Ternyata di sini wujudnya unsur kegagalan kerajaan dalam membentuk kos efektif pengurusan kewangan dalam pentadbiran negara, secara tidak langsung akan memberikan impak kepada pengurusan pembangunan sosial dan ekonomi yang lebih konstruktif.

Membenarkan rakyat mengeluarkan wang simpanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, atas apa nama pun, I-Lestri, I-Sinar dan I-Citra, bukanlah merupakan bantuan khusus untuk rakyat keluar daripada konflik kehidupan dalam situasi sekatan yang berlaku untuk menangani kes Covid-19.

Kerajaan hanya bertindak sebagai pemudah cara untuk membolehkan rakyat menggunakan wang simpanan sendiri bagi menyara kehidupan kesan PKP.

Hakikatnya, itu bukan bantuan langsung kerajaan, sebaliknya kerajaan hanya bertindak sebagai pemudah cara untuk membolehkan rakyat menggunakan wang simpanan sendiri bagi menyara kehidupan kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengurusan politik dalam pentadbiran lebih cenderung kepada tindakan pembentukan keutamaan terhadap tambahan jawatan menteri, berteraskan prinsip dominasi kuasa, bagi memasung kesetiaan dalam kalangan rakan politik pendokong langkah Sheraton, segala perlantikan jawatan politik, dapat disimpulkan sebagai semata-mata berfokukan orientasi memautkan sokongan untuk mempertahankan kerapuhan kerajaan.

Apa yang jelas, terdapat kementerian yang telah dipecahkan kepada tiga kementerian, semata-mata untuk menambahkan peruntukan jawatan menteri, walhal sewaktu pentadbiran PH, terangkum dalam satu kementerian, dimenterikan oleh seorang menteri wanita. Situasi ini sudah menampakkan wujudnya kegagalan untuk meminimumkan kos dalam pengurusan.

Hakikat ini memperlihatkan wujudnya kegagalan dalam pemikiran ekonomi pengurusan impak negara. Keadaan ini sudah cukup untuk menggambarkan kegagalan kerajaan dalam menstrukturkan pentadbiran yang berpusatkan kepada kecekapan dan keberkesanan kos.

Apa yang jelas, pertambahan jawatan menteri tidak memberikan impak maksimum ke atas pengurusan sosial negara serta proses penyampaian perkhidmatan, hal ini terbukti dengan beberapa tindakan yang diambil khususnya dalam konteks pengurusan Covid-19 tidak menampakkan kesan nyata, bahkan kewujudan Pelan Pemulihan Negara, sebagaimana yang dihebohkan tidak mempunyai nilai input-output-outcome yang jelas, sebaliknya hala tujunya terbantut dan terumbang ambing.

Hakikat sebenar kegagalan kerajaan adalah penutupan parlimen, sehingga mendorong Istana Negara membuat kenyataan media 16 Jun 2021, agar “Parlimen segera bersidang.”
Penutupan Parlimen bermakna terhentinya fungsi parlimen dan pelenyapan suara rakyat dalam memantau tingkah laku serta dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan, lebih-lebih lagi dalam menentukan kesahan kerajaan itu sendiri dalam aspek kepercayaan majoriti.

Rakyat kehilangan platform untuk mengetahui tindakan-tindakan yang dilakukan kerajaan untuk kepentingan rakyat, serta memastikan segala bentuk urusan negara dikendalikan secara telus dan berfokuskan kehendak rakyat, berteraskan integriti serta menjunjung kedaulatan undang-undang.

Adalah sesuatu yang luar biasa apabila keputusan-keputusan kerajaan telah dijadikan hak mutlak anggota kabinet (secara mutlak daripada lantikan Perdana Menteri) dan diputuskan oleh seglintir individu, tanpa adanya semak imbang, berdasarkan bahas hujah dengan analisis berfakta yang digarap dalam konteks justifikasi konkrit ahli-ahli Parlimen.

Keadaan ini bertentangan sekali dengan prinsip demokrasi sebagaimana yang dibincangkan oleh Noam Chomsky, Understanding power: The Indispensable Chomsky, penguasaan pengelompokan keputusan ditangan segelintir inividu, amat berpotensi untuk terdedah kepada manipulasi kuasa dan kepentingan individu serta mengarah kepada kawalan ideologi.

Disinilah terletaknya kegagalan nyata kerajaan yang menjadi asas kepada kewujudan hakikat kerajaan gagal, sesuatu yang jelas berdasarkan model moral, etika, disiplin dan korupsi.

*DR KAMARUDIN MUSA merupakan Penyelidk Perunding Human Resource Academy