Politik tubuh dalam era pasca pornografi

Politik tubuh dalam era pasca pornografi

Sama ada pembikinan atau rekaaan atau benar, video intim aksi seks luar biasa (atau semburit) telah menciptakan ruang pembebasan tubuh melampaui realiti kerana ia telah masuk ke sisi teknologi maya.

Dalam era pasca pornografi (tidak lagi terbatas kepada realiti pornografi), pembebasan tubuh dan hasrat telah digunakan dalam mewujudkan tiga wacana hubungan iaitu tubuh sebagai alat hubungan dengan agama, budaya dan masyarakat, komunikasi, politik erotica dan kedua, tubuh sebagai hubungan tanda dan penanda iaitu bagaimana tubuh (melibatkan wajah juga) telah dieksploitasikan dalam berbagai media terutamanya media sosial dan ketiganya, hasrat dalam tubuh menjadi suatu bentuk perjuangan.

Oleh itu dua elemen daripada sudut pandangan pasca pronografi iaitu wacana tubuh yang dilelong dan pembebasan hasrat yang baharu iaitu dakwaan pengakuan langsung dengan mengetepikan batasan dan adab agama.

Kedua-dua elemen ini meruntuh benteng, tembok dan segala halangan yang selama ini dibataskan dalam hubungan dengan tubuh.

Ia bertujuan menghancurkan berbagai bentuk kekuasaan sekali gus dengan satu pukulan, kekuasaan individu, kelompok, pakatan malah kerajaan dan agama, mencerai-beraikan autoriti, pepecahan dalam sesebuah parti atau hegemoni kekuasaan tubuh.

Sehubungan itu dalam politik tubuh ia terbahagi kepada tiga aspek iaitu hasrat, tubuh itu sendiri dan kekuasaan (persaingan berebut kuasa) yang ternyata tidak dapat dipisahkan.

Pengakuan itu mewakili hasrat dan kelompok yang di belakang dan yang menghantar mesej itu iaitu keinginan, hasrat dan keupayaan libido, strategi meraih kuasa, memecah belah penyatuan, menyekatkan karier politik pesaing misalnya atau meretak hubungan dalam Pakatan antara parti-parti berpengaruh.

Oleh itu segala pengawajahan, gagasan, tema atau emosi serta perasaan yang berkaitan dengan dua batang tubuh (deepfake atau bukan) mempunyai makna dalam sebuah masyarakat (makna seksualiti, erotika, status dan pandangan) telah dipndahkan kepada sistem makna dan petanda dalam media baharu khususnya yang tersebar dan tular dalam bentuk visual, teks atau audio. Kesemua ini mengkonsepsikan wacana dalam perjuangan di belakakang tabir.

Kedua, dalam mengeksploitasikan tubuh, terdapat berbagai mekanisme yang digunakan sehingga aktor-aktor berperanan (sama betul atau tidak bukan persoalannya) dapat dieksplotasikan sebagai potensi petanda dan pemakna yang dapat dijadikan komoditi politik untuk dikonstruksikan ke dalam media baharu khususnya media sosial dalam pembentukan pendapat dan pandangan tertentu boleh mempengaruhi masa depan politik seseorang individu, kelompok dan sokongannya.

Ketiga kekuasaan di sini, bermaksud kekuasaan ke atas tubuh, kekuasaaan luaran yang mengatur tindak tanduk (aksi misalnya kepada mereka yang menonton) dan kesan (seperti tanggapan, prasangka, percaya, kucar kacir, undang-undang dan autoriti).

Walaupun mungkin suatu dakwaan dengan menggunakan teknologi ‘deepfake’ tetapi sesiapa yang melihat wajah mereka yang terlibat akan terus terpancarkan video intim di fikiran mereka dan kedua, kekuasaan yang memancar dari dalam seperti pengakuan yang dibuat.

Kekuasaan dari dalam tubuh inilah yang lebih berbahaya kerana rancangannya adalah pelepasan nafsu, keinginan dan hasrat secara bebas melalui wacana seksual yang ingin melihat kehancuran sebuah kuasa politik baharu.

Pemikir pascamodernism Peranchis, Jean Braudrillard, mengemukakan dalam karyanya Seduction bahawa kekuatan tubuh terletak kepada kekuataan pemujukan (seduction) yang dimiliki – khasnya dalam video intim), kemampuan bujuk rayu untuk mengeksplorasi secara bebas permainan pengaruh, tanggapan, prasangka, persepsi, berubah keyakinan dan sokongan dalam strategi permainan, cabaran dan penampilan kem-kem dalaman tertentu.

Dunia pemujukan dalam sistem pasca pornorgrafi menumpukan kepada penampakan (appearance) tubuh dengan merayakan permainan pengakuan yang dipenuhi tanda dan topeng-topeng visual.

Dalam situasi ini, seperti isu liwat juga ia ditampilkan semula dalam bentuk yang lebih terbuka yang menimbulkan kekhawitiran akan terciptanya sebuah masa depan politik tubuh yang diselaputi hasrat dan erotika yang tanpa moral, yang telanjang dan anarkis dan cabaran bagi perjuangan politik era Malaysia baharu.

* Penulis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)