Politik Turki : Antara Reis dan Hoca, kena akur, satu kapal hanya satu nakhoda

Politik Turki : Antara Reis dan Hoca, kena akur, satu kapal hanya satu nakhoda

Memahami politik Turki mutakhir ini, kena faham bahawa pemimpin de facto ialah Presiden Recep Tayyip Erdoğan. Wajah Yeni Turkiye atau Turki Baharu ialah Erdoğan.

Satu kapal tidak mungkin punya dua nakhoda. Sejarah Khilafah Uthmaniyyah sarat dengan peristiwa pembunuhan politik terhadap adik atau anak sendiri demi menjamin stabiliti Khilafah dari berpecah atau terjebak dengan perang saudara.

Adapun yang dikatakan pertembungan peribadi antara Erdoğan atau dikenali sebagai Reis dengan Ahmet Davutoğlu atau Hoca, sebenarnya adalah masalah transisi dalam institusi pemerintahan yang sedang beralih dari Sistem Parlimen ke arah Sistem Presiden.

Untuk perubahan Sistem ini perlukan Referendum Rakyat bagi menukar Perlembagaan Turki memandangkan AKParti tidak cukup kuorum untuk merubahnya dalam Parlimen.

Dalam keadaan transisi ini, Turki sejak Davutoğlu menjadi Perdana Menteri pada 28 Ogos 2014 sekaligus Presiden AKParti di segi perlembagaan adalah lebih banyak kuasa dari Presiden Erdoğan.
Sedangkan realitinya Erdoğan adalah De facto dalam Parti dan juga Kerajaan.

Stail kepemimpinan Erdoğan dan Davutoğlu juga sangat berbeza yang menjadi antara faktor Davutoğlu meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan juga Presiden AKParti.

Erdoğan yang membesar di Kasımpaşa, terkenal sebagai ‘street fighter’ mempengaruhi cara beliau berpolitik sedangkan Davutoğlu seorang ahli akademik bidang Sains Politik dan hubungan antarabangsa yang mempunyai kekuatan diplomasi.

Ketika Turki diserang dari dalam dengan isu Gulen dan Kurdish serta dari luar dengan isu Perang Syria, pendekatan kedua pemimpin ini selalu bercanggah. Seorang mengambil pendekatan ‘head-on’ sedangkan seorang lagi dengan pendekatan ‘engagement and diplomacy’.

Keadaan menjadi makin gawat bila kedua pemimpin mempunyai penasihat dan pengikut masing-masing yang bersaing untuk melebar pengaruh. Mungkin saja Davutoğlu tidak menyedarinya.

Barat juga memainkan peranan secara halus untuk melaga-lagakan kedua pemimpin ini. Media Barat dan juga sambutan protokol terhadap Davutoğlu dalam lawatan negara disambut lebih gah dari sambutan terhadap Erdoğan. Ini juga menimbulkan keadaan yang tidak selesa dan membibitkan perasaan curiga antara mereka.

Lantas, situasi jangkal ini, satu kapal dua nakhoda harus dihentikan segera.

Pertembungan pendekatan politik Reis dan Hoca berakhir dengan Hoca harus mengundur diri demi kestabilan politik Turki dan agenda Islam yang beliau dokong sejak mula.

” Aku lebih menyayangi Erdoğan dari jawatan ku ini “. Inilah kalam akhir Hoca tika membuat keputusan meletak jawatan yang menggambarkan betapa besar jiwanya.

Apapun yang berlaku selepas ini, Erdoğan akan menerus dan mempercepatkan agenda menukar sistem Parlimen dengan Sistem Presiden dengan pengganti Hoca seorang yang mampu melaksanakan agenda ini.

Yang pasti, Media Barat akan meningkatkan lagi serangan memomokkan  Erdoğan sebagai gila kuasa dan seorang diktator serta apa juga citra yang buruk.

Namun dalam menghadapi keadaan krisis dalaman dan luaran, Turki memerlukan seorang ‘street fighter’. Tika dunia Islam yang semakin lemah dan berpecah, nampaknya Dunia Islam memerlukan seorang pemimpin yang berani dan kuat saperti Erdoğan.

Teringat kisah Khalid  Al Walid dilucutkan jawatan Panglimanya ketika Perang sedang memuncak oleh Khalifah Umar al Khattab. Jawapan Khalid cukup menginsafkan kita. ” Aku berperang bukan untuk diriku tetapi kerana Tuhannya si Umar “.

Davutoğlu yang dikenali tidak akan sekali-kali mengkhianati AKParti dan tidak akan sanggup menjadi ‘boneka’ kepada mana-mana musuh Turki dan Islam. Keputusan beliau walau memeranjatkan banyak pihak, namun ianya adalah terbaik buat Turki masa ini.

AHMAD AZAM BIN AB RAHMAN

CATEGORIES
TAGS