Malaysia Dateline

Politik untuk beri rakyat makan, bukan untuk orang politik cari makan

Sebetulnya politik adalah untuk beri makan kepada rakyat dan bukannya menjadikan politik untuk mencari makan.

Malah mereka yang ingin menceburi politik dan menjadi orang politik seharusnya perlu kaya sebelum menyertai politik dan tidak sewajarnya menjadi kaya selepas menyertai politik.

Naib Pengerusi AMANAH Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria berkata, contoh yang terbaik boleh dijadikan ikutan ialah sejarah Abdul Rahman bin Auf dan Khadijah Abd Rahman yang merupakan orang yang kaya sebelum menyertai perjuangan membantu Rasulullah SAW di mana kekayaan mereka digunakan untuk perjuangan.

“Tidak dapat dinafikan, setiap perjuangan memerlukan wang ringgit bagi membiayai realiti tersebut termasuklah bagi membentang sepanduk atau kain rentang bersaiz sederhana turut menelan kos sehingga RM500 dan semuanya melibatkan kewangan.

Politik untuk beri rakyat makan, bukan untuk orang politik cari makan
Politik yang betul memberi rakyat makan

“Yang amat dibimbangi sekiranya orang politik menang, di mana mereka bukan orang yang kaya kemungkinan besar mereka boleh ‘gelap mata’ apabila dibentangkan dengan nilai kewangan yang banyak termasuklah RM5 juta bagi lompat parti.

“Perkara inilah yang amat ditakuti sekiranya orang politik menjadi ibarat ‘lembu dicucuk hidung’ mahu pun dikawal oleh orang lain semata-mata kerana wang dan kekayaan,” ujar beliau ketika dihubungi.

Beliau yang juga merupakan Ketua AMANAH kawasan Permatang Pauh turut berkata semua pihak harus ingat bahawa politik yang betul adalah bagi menjaga dan memberi makan kepada rakyat dan bukannya menjadikan politik untuk mencari makan dan kepentingan peribadi.

Baca juga: Anda peminat makanan Korea, ini 5 jenis makanan yang patut anda cuba di CU Mart