Politik wang PKR masalah dalaman, biar mereka siasat, kata Lim

Politik wang PKR masalah dalaman, biar mereka siasat, kata Lim

“Politik wang ada satu kesalahan tetapi jika ia (dakwaan) berlaku dalam PKR, itu adalah soal dalaman mereka, biarlah mereka menyiasat dan mengambil tindakan,” kata Timbalan Presiden Pakatan Harapan Lim Guan Eng.

Tegas beliau, pihaknya dan juga kepemimpinan PH semestinya tidak akan mencampuri sebarang urusan dalaman mana-mana ‘keluarga’ parti komponen pakatan itu kerana yakin masing-masing mampu menyelesaikan serta mengambil tindakan sewajarnya.

“Kita (PH) akan hanya campurtangan jika melibatkan pilihan raya umum. Kalau cakap tentang politik wang secara amnya, ini perkara yang kita mahu pastikan ia tidak disalah guna untuk mempengaruhi pilihan raya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri majlis perasmian Kongres Nasional PKR ke-13 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai proses pemilihan PKR bermula Sept hingga awal Nov lepas yang didakwa wujudnya amalan politik wang di beberapa cabang seluruh negara termasuk yang terbaharu di cabang Lanang, Sibu.

Ditanya sama ada dakwaan berlakunya politik wang dalam PKR mampu mencalarkan imej kerajaan PH, Lim yang juga Menteri Kewangan menepis kenyataan sedemikian kerana sejak mentadbir negara, hanya pakatan itu yang terbukti menyatu padukan seluruh rakyat.

Kata beliau, walaupun ada pihak tidak bertanggungjawab mengatakan kerajaan PH akan berpecah, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila perpecahan hanya melibatkan parti pembangkang.

Dalam pada itu, seorang lagi Timbalan Presiden PH yang juga Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu turut sependapat dengan Lim dengan mengatakan dakwaan ke atas PKR hanyalah tuduhan tidak berasas.

“Biarlah mereka siasat terlebih dahulu (dakwaan politik wang),” katanya ringkas.

Kongres PKR ke-13 selama tiga hari bermula Khamis lepas adalah kemuncak kepada proses pemilihan parti itu untuk memperkenalkan barisan kepimpinan tertinggi baharu mereka.

Ia antara lain menyaksikan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipilih sebagai presiden parti baharu selepas menang tanpa bertanding bagi jawatan berkenaan.