Malaysia Dateline

Politik yang baik pencetus perubahan positif

Baru-baru ini, saya membuat perkongsian dengan sekumpulan Ahli Majlis DAP, bersama-sama Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan Anthony Loke. Saya memberitahu mereka, sebagai wakil kerajaan tempatan, Ahli Majlis bukan sahaja perlu mengambil berat tentang keperluan penduduk setempat, tetapi mereka juga mempunyai tanggungjawab untuk menterjemahkan visi dan cita-cita kerajaan negeri dan DAP kepada rakyat.

Semasa sesi perbincangan itu, saya menekankan keutamaan yang perlu dihadapi sebagi Ahli Majlis atau di setiap peringkat kerajaan adalah untuk mencari matlamat bersama sebagai sebuah kerajaan. Semua kerajaan di dunia tidak lali daripada budaya enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing selain perbalahan ruang kepentingan dan sindrom ‘tangan kiri tidak mengetahui apa yang sedang dikerjakan tangan kanan’.

Namun bagi mana-mana kerajaan yang mahu mencapai hasil yang signifikan, mereka perlu mengubati pendekatan yang saling terpisah ini.

Menyatukan semua pihak dan menetapkan matlamat sepunya adalah satu perkara yang mesti dilakukan oleh para pemimpin politik. Ia bukan mudah dan memerlukan iltizam politik yang tinggi. Namun, perlu dilakukan jika kita peduli tentang implikasi kepada rakyat.

Ahli Politik Baik lwn Ahli Politik Jahat

Satu pandangan popular, namun aneh dalam masyarakat adalah kononnya mereka tidak memerlukan ahli politik. Ada yang berpendapat ahli politik tidak boleh menjadi Ahli Majlis. Pelantikan profesional sudah memadai buat mereka. Saya tidak bersetuju dengan perkara ini.

Dalam sesebuah masyarakat, pemimpin politik diperlukan untuk mencorak perancangan jangka masa panjang sesebuah negara dan menjadi nakhoda yang dapat memberi pandu arah yang selamat.

Ahli politik yang baik adalah ejen perubahan yang mampu memimpin parti, penduduk di kawasan dan masyarakat keseluruhannya dengan meletakkan agenda bagi mengadaptasi dengan perubahan senario yang sentiasa berlaku.

Peranan utama pemimpin yang baik bukan sahaja menguruskan hal ehwal harian, tetapi merangka dasar yang memberi impak jangka masa pendek dan panjang untuk rakyat. Pemimpin perlu melangkaui peranan seorang pengurus. Pemimpin yang menghabiskan masa dengan menguruskan perkara kecil akhirnya tidak akan melihat gambaran yang lebih besar.

Terdapat pelbagai jenis ahli politik, seperti mana rakyat juga mempunyai pelbagai jenis dan ragam. Ada yang pentingkan diri dengan prestasi ala kadar. Tetapi, masih ramai ahli politik yang mempunyai keyakinan/Iltizam dan mahu melakukan terbaik buat rakyat dan tanah air tercinta.

Indeks Prestasi Utama (KPI)

Saya juga menekankan bahawa Ahli Majlis tidak perlu bimbang untuk memenuhi KPI semata-mata. Jika penambahbaikan kesejahteraan rakyat tidak berlaku, KPI boleh dikatakan ‘Syok Sendiri’.

Ini mengingatkan saya semasa Tan Sri Koh Tsu Koon, orang pertama yang dilantik oleh Datuk Seri Najib Razak sebagai menteri menjaga KPI pada tahun 2009 selepas tewas di Pulau Pinang pada 8 Mac 2008. Saya duduk semeja dengan Tun Dr. Lim Chong Eu dan Datuk Seri Chet Singh yang membangunkan kawasan industri Pulau Pinang, termasuk Tsu Koon. Chet dan Chong Eu berseloroh kepada Tsu Koon “Lupakan KPI Tsu Koon!”. “Pilihan Raya ialah KPI paling penting”.

Akhirnya, apa yang lebih penting dalam misi kerajaan adalah kesejahteraan rakyat dalam jangka masa yang panjang dan bukan semata-mata KPI yang sering dirangka tanpa mengambil kira realiti sebenar. Pilihan raya menjadi kayu ukur menentukan sentimen umum rakyat seluruhnya. Ia akan menjadi indikator terakhir sama ada kita mampu memenangi hati dan minda rakyat.

DAP perlu tampil ke depan untuk menyebarluaskan idea sebuah kerajaan aktivis, sebuah kerajaan yang cekap dengan mengetengahkan empati sebagai nilai utama.

Kerajaan yang kita tadbir seharusnya merasai denyut nadi rakyat, kesakitan, kehendak dan impian mereka. Kita perlu dilihat sebagai kerajaan yang diuruskan dengan rasa peduli dan menjaga kepentingan rakyat dalam jangka masa panjang, bukan setakat jangka waktu yang singkat.

Pasca Covid-19, kita perlu menunjukkan bahawa kerajaan yang kita tadbir memfokuskan dasar awam berdasarkan sains dan fakta (evidence-based). Kita mesti membuktikan yang kita mampu meyakinkan rakyat dengan fakta dan bukan emosi atau kepercayaan karut. Kita perlu menjadi kerajaan yang dipercayai rakyat.

Agenda yang pelbagai

Dalam ucapan tersebut, saya menyenaraikan lima agenda untuk dijuarai oleh kerajaan tempatan yang disertai oleh DAP. Ini juga agenda nasional yang penting.

Pertama, Pekerjaan

Tidak ada agenda yang lebih penting untuk rakyat Malaysia melainkan pekerjaan yang baik dengan gaji yang setimpal. Pihak yang hanya memberi tumpuan kepada angka-angka pelaburan lambat laun akan sedar pelaburan yang tidak mencipta pekerjaan hanyalah sia-sia secara politiknya dan tidak masuk akal buat rakyat. Kita perlu meletakkan pekerjaan yang baik dengan gaji setimpal sebagai agenda No.1.

Apabila DAP dan rakan-rakan Pakatan menang di Pulau Pinang, satu tindakan penting Ketua Menteri, Lim Guan Eng adalah membatalkan khidmat kontraktor pembersihan sampah secara berperingkat di Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang hanya menguntungkan kroni yang menggaji kebanyakan pekerja asing. Kemudian, sebanyak 2,500 pekerjaan kontrak diwujudkan untuk rakyat tempatan dengan bayaran sebanyak RM1,900 sebulan. Dengan mengambil contoh inisiatif ini, saya menyeru semua perwakilan DAP di setiap negeri untuk mencontohi usaha ini dan mendesak kerajaan persekutuan untuk membayar pekerja kontrak secara terus, tanpa orang tengah dan kontraktor seboleh mungkin.

Ahli Majlis perlu melakukan yang terbaik dalam melaksanakan undang-undang untuk menyediakan rumah yang selesa buat pekerja asing (Akta 446 (Pindaan) Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja). Kita mempunyai tugas untuk menerangkan kepada para pengusaha, khususnya kilang-kilang besar, jika mereka tidak patuh dengan undang-undang penyediaan rumah yang selesa kepada pekerja asing, Covid-19 dan penyakit berjangkit yang lain akan berlaku di kawasan mereka dan menyebabkan perkara yang tidak diingini berlaku. Selain itu, undang-undang perhambaan moden di Amerika Syarikat, Britain, Australia dan negara lain telah menghalang sebarang urusan perniagaan dengan syarikat yang melayan pekerja dengan cara yang buruk.

Bagi peniaga, kos reputasi yang terpaksa ditanggung dengan cara yang sedia ada kian meningkat. Manfaat yang diperolehi dengan mendesak majikan menyediakan kediaman yang baik buat pekerja asing adalah peluang untuk mencipta pekerjaan untuk rakyat Malaysia. Faktor utama yang menyebabkan kos menggaji pekerja asing lebih rendah berbanding mengambil pekerja tempatan adalah pekerja asing dipaksa tinggal di tempat yang tidak disukai warga tempatan. Menyelaraskan kos penginapan bermaksud menjadikan pengambilan pekerjaan tempatan lebih lumayan.

Kedua, Agenda Hijau dan Perubahan Iklim

DAP perlu ke hadapan, menjuarai isu perubahan, pencegahan dan mitigasi iklim. Kesemua Ahli Majlis DAP perlu menjadi ejen perubahan dan memimpin suara dalam membawa kesedaran persekitaran hijau dan membuat sedaya yang mungkin untuk mengurangkan pencemaran.

Kita perlu berbangga dengan Sdri. Yeo Bee Yin yang merupakan menteri pertama dibertanggungjawabkan dengan isu perubahan iklim. Kita perlu menyedarkan kerajaan dan orang awam bahawa pelaburan untuk menggurangkan pelepasan pencemaran sebenarnya mencipta pekerjaan hijau dan infrastruktur yang baik untuk semua. Contohnya, lampu jalan di Pulau Pinang yang diselenggarakan oleh kerajaan tempatan menggunakan lampu LED untuk menjimatkan tenaga. Ahli Majlis bekerjasama dengan kontraktor telah menjimatkan bil elektrik dan tenaga. Bayangkan sekiranya kesemua pejabat kerajaan dan lampu jalan di seluruh negara menggunakan pendekatan yang sama. Apabila kita memberi mandat agar semua peniaga yang menerima kontrak hanya boleh menggaji pekerja tempatan, kita akan merangsang pertumbuhan dan lebih banyak pekerjaan buat mereka. Pihak yang terpaksa menanggung kerugian sementara ialah Tenaga Nasional Berhad (TNB), yang sepatutnya sudah menetapkan matlamat baharu. Objektif TNB sepatutnya bukan menjual elektrik. Ia sepatutnya menjana kuasa buat negara sambil mengurangkan pembaziran tenaga.

Kita perlu menjadi barisan hadapan mempromosikan pengangkutan awam dan membantu dalam mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian.

Ketiga, Membina Komuniti

Hampir separuh abad yang lalu. Malaysia tergesa-gesa dalam urbanisasi dan kita mencipta dua masalah besar. Pusat bandar penuh dengan kawasan sesak – sebahagiannya binaan tinggi dalam keadaan yang tidak selesa untuk keluarga dan orang kebanyakan dan sebahagian mereka berpindah dari bandar kecil untuk mencari pekerjaan. Ahli Majlis perlu lebih banyak membantu flat kos rendah atau kawasan yang padat untuk menambahbaik keadaan dan membina semangat kejiranan dan kehidupan di sana. Migrasi beramai-ramai ke pusat bandar menyebabkan pekan kecil sunyi akibat kurangnya orang muda. Contohnya, kebanyakan bandar kecil di utara dan tengah Johor tidak mempunyai pekerjaan untuk anak muda untuk pulang ke tempat asal mereka. Masanya sudah tiba buat kita yang menjadi Ahli Majlis untuk membina semula identiti dan memupuk sikap bangga kepada pekan kecil dengan melipat gandakan usaha mencipta pekerjaan atau peluang perniagaan agar anak muda dapat pulang.

Ahli Majlis juga perlu bekerja kuat dan berfikir tentang persekitaran yang mereka bina dan sokongan sosial untuk membantu warga emas.

Keempat, Agenda Wanita

DAP perlu menjadi parti yang paling progresif di seluruh negara dalam memperjuangkan kesetaraan gender.

Di peringkat pihak berkuasa tempatan, banyak perkara yang boleh dilakukan untuk mempromosikan keterangkuman gender. Contohnya, Ahli Majlis boleh membantu dalam memudahkan penjagaan kanak-kanak dan warga emas dalam komuniti agar wanita boleh terlibat dalam tenaga kerja dalam jangka masa yang lebih panjang.

Ahli Majlis boleh memainkan peranan penting untuk memastikan bandar selamat untuk wanita dan kanak-kanak, dan tentunya untuk semua.

Kelima, Agenda Digital

Terdapat dua bahagian agenda digital. Pertama, infrastruktur dan akses yang sama. Kedua, penggunaan data dalam kehidupan seharian.

Kita perlu memperjuangkan kesaksamaan digital di dalam negara untuk memastikan kanak-kanak daripada keluarga yang kurang bernasib baik untuk mendapat akses digital yang sama dengan mereka yang lain dan kadar internet yang murah, khususnya ketika pembelajaran atas talian dilaksanakan ketika wabak. Ahli Majlis boleh memainkan peranan di sini.

Pengurusan Ahli Majlis perlu menggunakan pendekatan digital bagi menjamin kecekapan dan menghapuskan sikap nafsi-nafsi semampu yang boleh. Ahli Majlis perlu membantu untuk mendigitalisasikan kehidupan rakyat biasa sebaik mungkin.

Sebagai rumusan, kita perlukan sebuah kerajaan mempunyai semangat aktivis, kompeten dan empati di setiap peringkat, yang memberi contoh politik yang baik, sebagai sebahagian dari kerjasama kolektif ke arah perubahan positif. Oleh itu, ahli politik dan Ahli Majlis DAP boleh melakukan perkara yang luar biasa jika kita sentiasa ingat matlamat penyatuan dan melengkapkan diri dengan agenda yang sama demi kepentingan rakyat Malaysia.