Politikus “Anura” rosakkan negara

Oleh NASUHA RAHMAN

Dalam pada para politikus anura berkonspirasi mengekalkan kuasa atau merampas kuasa, negara semakin hari semakin dipermalukan.

Berita Bloomberg yang saya petik dalam rencana Sinar Harian semalam, antara lain berkata, bon ringgit kini telah ditinggalkan di belakang oleh bon rupiah. Maksudnya, pinjaman yang dibuat melalui surat jaminan rupiah lebih dihargai oleh pelabur berbanding surat jaminan ringgit.

Untuk lebih mudah faham, kita bandingkan ringgit dengan rupiah. Pada 17 Ogos 2018, kalau kita tukar satu ringgit kita dapat 3,551 rupiah tapi pada 1 Ogos tahun lalu kita dapat 3,540 rupiah dan pada 12 Ogos lepas, kita dapat 3,404 saja. Ertinya nilai duit kita jatuh berbanding rupiah.

Menurut analisis Bloomberg, kemerosatan nilai bon ringgit adalah kerana unjuran fiskal kerajaan Malaysia yang semakin buruk dan ditambah pula oleh ketidaktentuan politik.

Selain pemerintahan yang kurang stabil akibat krisis politik, penarafan bon Malaysia juga merosot kerana kerajaan Malaysia berhutang lebih besar daripada Indonesia sejak beberapa tahun terakhir ini.

Dulu kita dengar Indonesia hidup dengan berhutang, termasuk daripada Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF), tetapi sekarang Malaysia yang lebih banyak berhutang berbanding Indonesia.

Tahun lalu, di bawah pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN), hutang kerajaan meningkat kepada 60.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 53 peratus pada 2019. Hutang kerajaan Indonesia pula hanya 38.50 peratus daripada KDNK. Walaupun Ketua Kerajaan telah berubah tapi dasar berhutang secara besar-besaran ini mungkin berterusan.

Di segi pemerintahan puls, maaf cakaplah kalau saya kata bekas Perdana Menteri Malaysia Mahiaddin Md Yasin dan penggantinya, Ismail Sabri Yaakob bukanlah bandingan bagi Presiden Indonesia Joko Widodo, manakala bekas Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bukanlah bandingan kepada Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati.

Kita hanya boleh berharap kerajaan baru pimpinan Naib Presiden Umno ini lebih baik dan diyakini daripada kerajaan yang diterajui oleh Bersatu selama 17 bulan sebelum ini. Mohon baca rencana penuh Sinar Harian yang dipautkan di bawah ini untuk kefahaman yang lebih mendalam.