Malaysia Dateline

Politikus sekular kerap goyah pendirian, dakwa ulama Pas

Terdapat perbezaan yang paling ketara antara politikus berfikrah Islam dengan politikus berfikrah sekular, kata Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Mokhtar Senik.

Dia yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat menerangkan ahli politik Muslim berfikrah Islam meletakkan Islam lebih utama berbanding kepentingan politik.

Sebaliknya, jelas Pemilik Pondok An- Nuur di Kampung Kuala Penor, Kuantan itu, politikus sekular meletakkan agenda politik lebih utama daripada Islam.

“Politukus berfikrah Islam dipandu oleh suluhan rohani. Lalu ia tegas, berkeyakinan, tenang dan tindakannya tepat.

“Politikus sekular sering goyah pendiriannya, teragak-agak, resah dan tindakannya sering tersasar,” kata Mokhtar hari ini.

Dia sebelum ini berpendapat saiz Kabinet XXL yang diterajui Ismail Sabri perlu kerana ramai orang gila di negara ini.

Pas mempunyai tiga menteri dan lima timbalan menteri dengan menyumbang 18 kerusi Dewan Rakyat untuk kerajaan ‘Keluarga Malaysia’.

Hanya berbaki 20 bulan sebelum terbubarnya Parlimen, Presiden Pas juga dilihat sudah mempunyai strategi untuk lonjakan parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).