Seorang pemuda sanggup berulang alik sejauh 250 kilometer setiap malam dari Batu Pahat ke Johor Bahru demi mencari rezeki sebagai ‘pomen’ jalanan membaiki motosikal.
Muhamad Naqiuddin Abdul Halim, berkata, idea menjadi ‘pomen’ jalanan itu tercetus selepas melihat ramai pekerja Malaysia di Singapura berulang-alik menunggang motosikal menggunakan laluan Tambak Johor dan Second Link.
Malah berkat bantuan rakannya yang dikenali sebagai Apeng yang juga mekanik, dia memulakan langkah menjadi ‘pomen’ jalanan di Johor Bahru pada Ramadan.
“Segalanya bermula pada seminggu sebelum Ramadan, selepas saya sendiri cuba mendapatkan pekerjaan di Singapura, tetapi tidak berjaya.
“Ketika itu, saya sangat buntu fikirkan wang sebab hendak puasa dan raya lagi. Sebelum ini,, saya pernah bekerja kilang di Kuala Lumpur selama sembilan bulan, tetapi tidak dibayar gaji.
“Saya ambil keputusan kembali ke kampung di Peserai, Batu Pahat pada awal bulan lalu,” katanya memetik Sinar Harian.
Sebelum itu, video berdurasi satu minit 46 saat di Tiktok mengenai servis motosikal ditawarkan Muhamad Naqiuddin tular dan mendapat pujian ramai yang kagum dengan kesungguhan anak muda itu mencari rezeki.
Bukan itu sahaja, pemuda berusia 26 tahun itu berkata, dia juga telah membuat hebahan mengenai khidmat ‘pomen’ jalanan yang ditawarkan di Facebook pekerja Malaysia-Singapura, dan ianya mendapat sambutan ramai.
“Alhamdulillah, dapat sambutan.
“Saya bermula dengan tiga pelanggan di Skudai, Gelang Patah dan Larkin. Khidmat diberikan termasuk tukar minyak hitam dan tiada caj perjalanan yang dikenakan,” katanya.
Meskipun upah yang diterima tidak seberapa namun Naqiuddin berasa gembira dan puas kerana dapat membantu orang ramai yang mengalami masalah motosikal di jalanan.
Menurutnya, dia akan terus menawarkan khidmat membaiki motosikal jalanan dan pelanggan boleh menghubunginya di Facebook atau TikTok.
“Saya gerak dari Batu Pahat ke Johor Bahru pada jam 6 petang dan tiba sekitar jam 8 malam. Biasanya Subuh saya akan gerak balik ke Batu Pahat.
“Ramai yang tidak percaya saya ulang-alik Batu Pahat – Johor Bahru setiap hari. Tetapi itulah yang saya lakukan dan seronok dengan pekerjaan ini kerana dapat bantu ramai orang,” katanya.
Baca juga: “Isteri buat perangai setiap kali balik beraya di Borneo, cakap rumah mak aku kotor dan bersepah”