Popular dengan watak Hayati, Pevita Pearce sah jadi isteri cucu pengasas Habib Jewels

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon popular Indonesia, Pevita Pearce sah menjadi isteri kepada usahawan yang juga anak kepada Pengerusi Eksekutif Habib Group, Datuk Seri Meer Habib dan Datin Seri Zarida Noordin iaitu Mirzan Meer pada hujung minggu lalu.

Difahamkan, Pevita dan Mirzan diraikan dalam satu majlis resepsi pernikahan yang diadakan secara sederhana dan hanya dihadiri oleh keluarga dan juga sahabat terdekat pasangan dua sejoli itu.

Khabar gembira tersebut dimaklumkan oleh Pevita atau nama sebenarnya Cleo Eileen Pearce menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya, semalam.

“Hari ini, dengan cinta yang damai, dengan kehadiran orang yang tersayang, Kami disatukan,” tulis Pevita dalam satu hantaran di akaun Instagram yang memiliki 18.2 juta pengikut itu.

Sekadar info, Mirzan yang juga cucu kepada pengasas Habib Jewels iaitu Datuk Habib Mohamed itu turut bergelar Pengarah di Time Zone Group yang juga anak syarikat Kumpulan Habib.

Pevita Pearce, 32, juga merupakan selebriti yang cukup dikenali di Malaysia terutamanya menerusi lakonannya sebagai Hayati dalam filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (2013).

Khabar perkahwinan pasangan itu juga dikatakan turut mengejutkan masyarakat Indonesia memandangkan hubungan percintaan antara Pevita dan Mirzan tidak dapat dihidu pihak media.

Rata-rata peminat bagaimanapun tumpang gembira dan membanjiri ruangan komen Instagram milik selebriti itu dengan ucapan tahniah serta kiriman doa buat kedua pasangan mempelai.

“Mendoakan segala keberkatan dan limpahan bahagia untuk keluarga baharu kamu Pev. Sihat, semoga berjaya dan terus berkarya,” kata seorang peminat mendoakan kebahagiaan pasangan itu.

“Untuk kedua kalinya, Zainuddin patah hati.” Kesal pengguna lain dalam nada berseloroh meninggalkan komen mencuit hati di akaun Instagram milik Pevita.

Baca juga: Dulu tak merasa ada majlis, Datuk Red kasihan dekat Adira kalau kali ini nikah sorok-sorok