Malaysia Dateline

Populariti Dr Noor Hisham sedang cuba digugat

Populariti Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah di kalangan rakyat sedang cuba digugat dengan laporan kononnya beliau sedang dipertikaikan oleh pelbagai pihak termasuk perdana menteri dan menteri kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Gugatan itu dibuat melalui satu laporan yang dibuat melalui media yang berpusat di Hong Kong, Asia Sentinel, yang menyenaraikan kenapa Dr Noor Hisham tidak disenangi.

Menurut laporan yang bertajuk “Malaysia’s Health Czar Under Fire” itu, peranan Dr Noor Hisham dipertikaikan kerana kononnya beliau gagal menguruskan dengan baik pendekatan Malaysia dalam melawan Covid-19.

Dalam menguruskan wabak ini, beliau didakwa mengenepikan peranan pihak-pihak lain termasuk Menteri Kesihatan hatta Perdana Menteri Kerajaan Perikatan Nasional.

Menurut media itu, kegagalan utama Dr Noor Hisham adalah apabila membuat ujian hanya kepada 3,515 orang daripada satu juta penduduk berbanding dengan Singapura yang menguji 16,203 untuk satu juta penduduk.

Itulah sebabnya mengapa Singapura kini mengesahkan lebih 1,000 kes baharu sehari berbanding Malaysia yang tidak sampai seratus orang sehari sekarang, dakwa Sentinel.

Menurut Sentinel, populariti Dr Noor Hisham berpunca dari tulisan berlebihan media yang memuji beliau, dilaporkan menerima surat dan hadiah dari kanak-kanak, orang awam membuat sambutan hari jadi untuk beliau bahkan penasihat DAP, Lim Kit Siang mencadangkan beliau dilantik sebagai Menteri Kesihatan.

Media China, CGTN, telah menamakan Dr Noor Hisham bersama dua lagi tokoh iaitu Anthony Fauci dari Amerika dan Dr Ashley Bloomfield dari New Zealand sebagai tiga tokoh utama yang memerangi wabak Covid-19 di dunia.

Menurut Sentinel, ramai menteri hatta perdana menteri dalam kerajaan PN yang mengambil alih kerajaan melalui pintu belakang pada 2 Mac telah dimalukan oleh Dr Noor Hisham.

“Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri Kesihatan dan juga ketua beliau telah diketepi dan dimalukan, yang kebanyakan berpunca dari dia sendiri, telah menyebabkan Noor Hisham berkuasa penuh,” kata Sentinel.

Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dikatakan dipaksa untuk mengumumkan “Semua urusan PKP berkaitan ekonomi perlu melalui Kementerian Kesihatan” yang selama ini ia adalah di bawah bidang kuasa beliau sepenuhnya.

“Bahkan polisi kerajaan yang dibuat Muhyiddin telah disabotaj secara berkesan melalui kenyataan yang dibuat Noor Hisham.

“Selepas perdana menteri membuat pengumuman melalui televisyen bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dikendurkan, Noor Hisham secara terbuka membuat kenyataan sebaliknya,” dakwa Sentinel lagi.