Malaysia Dateline

Portal E-Pilah dilancar, bantu promosi pelancongan

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith hari ini melancarkan sebuah portal yang dinamakan E-Pilah yang bertujuan sebagai medium dalam mempromosikan daerah itu sebagai destinasi pelancongan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah berkata ini kerana daerah berkenaan mempunyai pelbagai daya penarik baik dari segi makanan, budaya, adat dan juga tempat pelancongan.

“Kami lancar satu portal E-Pilah bagi mempromosikan Kuala Pilah dan untuk mempersembahkan segala daya tarikan yang ada pada Kuala Pilah untuk dilihat secara terus dan langsung kepada seluruh rakyat Malaysia dan seluruh dunia,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Kembara Digital Malaysia (KDM) Parlimen Kuala Pilah di sini, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha kementerian Datuk Suriani Ahmad.

Selain itu, portal berkenaan yang akan menjadi medium kepada penduduk Kuala Pilah mendapat perkembangan yang berlaku di sekitar daerah itu, akan turut diisi dengan cerita sejarah serta kejayaan yang ditempa anak kelahiran Kuala Pilah.

“Kami akan membawa unsur-unsur budaya dan perkara berkaitan sejarah untuk kita mengenang pejuang dahulu dan menyumbang kepada semua bidang dan anak Kuala Pilah yang telah berjaya untuk kita masukkan dalam portal E-Pilah ini supaya mereka ini dikenali sama ada dalam bidang politik, sains, ekonomi dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu, Eddin Syazlee dalam ucapan ketika merasmikan program itu berkata portal berkenaan akan menjadi pusat sehenti untuk sebarang aktiviti kemasyarakatan bagi penduduk warga Kuala Pilah sekali gus melestari dan menaik taraf sosioekonomi penduduk melalui peluang perniagaan dan seterusnya menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara.

“Saya percaya portal ini juga dapat memampankan pembangunan sumber manusia yang boleh memacu perkembangan kawasan ini. Jadi sama-samalah kita menjadi sebahagian daripada komuniti digital ini dan bergerak selari dengan perkembangan semasa,” katanya.

— BERNAMA