Malaysia Dateline

Post mortem yang serius dan terperinci akan dilakukan ekoran kekalahan di Tajung Piai

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir berkata, satu post mortem terperinci, serius dan jujur di semua peringkat akan dilakukan oleh PH berhubung kekalahan PH dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai Sabtu lalu.

Beliau berkata, beliau menerima keputusan yang dibuat rakyat Tanjung Piai walaupun beliau sebelum ini sudah menjangkakan majoriti akan beralih ke arah pihak lawan.

“Jangkaan saya majoriti kekalahan ini tidak lebih daripada 2,000 undi. Namun keputusan rasmi majoriti kekalahan ialah sebanyak 15,086 undi,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Perdana Menteri itu turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang bekerja keras sepanjang PRK tersebut.

Dalam PRK yang berlangsung Sabtu lalu, Barisan Nasional (BN) membuat kejutan besar apabila merampas semula kerusi Parlimen P.165 Tanjung Piai dengan majoriti 15,086 undi.

Calon BN Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng yang juga Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai itu meraih 25,466 undi.

Ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal bermula 2008 itu menewaskan pencabar utamanya, Karmaine Sardini dari PH yang memperoleh 10,380 undi.

Sementara calon Gerakan yang diwakili Wendy Subramaniam mendapat 1,707 undi; calon Berjasa, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (850 undi) serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock (380 undi) dan Faridah Aryani Abd Ghaffar dengan 32 undi.