Posting Najib tentang ibubapanya dapat banyak kecaman dari pujian

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Tidak sampai tempoh 24 jam, status Facebook Najib Razak berkenaan hadiah diterima daripada Perdana Menteri New Zealand mendapat lebih banyak kecaman berbanding sokongan mahupun pujian daripada rakyat Malaysia.

Najib yang juga Presiden Umno itu dalam ‘posting’ pada pukul 4.51 petang, semalam memberitahu John Key menghadiahkannya sebuah buku yang mengandungi keratan gambar dan berita mengenai lawatan ayah dan ibu nya itu ke New Zealand pada tahun 1967 dan 1975.

“Pemberian ini bukan sahaja amat mendalam maknanya kepada saya secara peribadi tetapi juga menunjukan dasar keterbukaan dan hubungan antarabangsa kukuh yang diamalkan Malaysia sejak dahulu lagi dengan New Zealand,” ujar Najib mengulas gambar Tun Razak Husein dan isterinya yang melawat New Zealand.

Walau bagaimanapun, tinjauan Malaysia Dateline pagi tadi mendapati majoriti daripada lebih 400 komentar mengutuk dan menyindir suami Rosmah Mansor itu termasuk mengaitkan dengan isu semasa.

Paling ketara, ulasan netizen yang membandingkan Najib dengan ayahnya yang juga bekas Perdana Menteri kedua, Tun Razak Hussein.

Antaranya, Zakaria Salim yang menulis, “Ayah manusia, anaknya belum tentu,” dengan beberapa tanda ‘like’ daripada pembaca manakala Hamizi Mizy mengecam, “Ayah disegani anak dibenci.”

Nada sama juga dilontarkan oleh Nuri Jazli, “Anak entah apa-apa”, Ct Maria pula menyelar, “anak pelingkup negara” manakala Aminuddin Mohd berkata, “ayah wira, anak entah apa” dengan mendapat tujuh ‘like’.

Sementara itu, Md Zaki berpendapat, “bapak mung baik, bagus, pandai, bijak mung? Harap orang derma saja,” merujuk kepada skandal ‘derma’ ke dalam akaun persendirian Najib sebanyak RM42 juta.

Keterujaan Najib menerima hadiah dari pemimpin salah sebuah negara ahli Perjanjian Perdagangan Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) itu turut menerima respons netizen yang mengaitkan dengan situasi ekonomi semasa.

“Najib mana nak tahu nilai USD dan Ringgit. Pakai sapu saja. Janji sapu apa yang ada. Antara dulu dengan sekarang berbeza. Bawa-bawalah bertaubat. Hidup dalam dunia ini sementara saja,” kata pemilik Facebook dikenali sebagai Mu Handis.

Sementara itu, David Loh pula berkata, “Rakyat frust betul. Apa taknya, RM (Ringgit Malaysia) susut bukan 10 peratus tapi 20 – 30% (peratus),” manakala Razila Hashim secara ringkas tetapi tegas meninggalkan komentar, “No To TPPA”.

Selain ulasan bernada sindiran seperti Zuhdi Mohamad, “mendalam sampai rakyat nak kena buasir dah ni,” dengan beberapa tanda ‘like’ daripada pembaca lain, ramai netizen juga mengulas sebagai “wayang” dan “drama sangat” seperti disebut oleh Farizal Ashaari dan Shahafiz.

TAGS