Potong biasiswa rakyat tapi beri pinjam kroni – Rafizi

Potong biasiswa rakyat tapi beri pinjam kroni – Rafizi

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggunakan pendekatan memotong perbelanjaan rakyat dalam semakan Bajet 2016 namun meneruskan pembiayaan
projek-projek yang melibatkan kepentingan kroni, ujar Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Rafizi RamliPerdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggunakan pendekatan memotong perbelanjaan rakyat dalam semakan Bajet 2016 namun meneruskan pembiayaan projek-projek yang melibatkan kepentingan kroni, ujar Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Beliau berkata, terdapat banyak projek yang kononnya diswastakan tetapi ditanggung oleh kerajaan melalui pinjaman mudah (soft loan) seperti yang berlaku kepada Ahmad Zaki Resources Berhad (AZRB).

Menurutnya, beliau dimaklumkan bahawa pinjaman mudah kepada AZRB bagi tujuan pembinaan Lebuhraya EKVE adalah bernilai RM900 juta.

“Saya berminat untuk mengetahui sama ada kerajaan akan meneruskan pemberian pinjaman mudah kepada syarikat-syarikat yang telah dianugerahkan konsesi pembinaan lebuhraya-lebuhraya,” katanya dalam blog beliau hari ini.

Mengulas pemberhentian biasiswa pendidikan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi 700 penuntut ijazah pertama, beliau berkata, rakyat hanya mengetahui hal tersebut daripada akhbar berbahasa Cina.

“Maknanya, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak berani berdepan dengan rakyat untuk menerangkan sendiri keputusan-keputusan beliau yang menekan rakyat seperti ini. Masalah kerajaan memotong peruntukan biasiswa dan peruntukan pendidikan ini bukan perkara baru.

“Saya telah mengemukakan soalan-soalan mengenai jumlah biasiswa dan peruntukan pendidikan yang disediakan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) sejak Jun tahun lalu tetapi tidak pernah dijawab di Parlimen,” ujarnya.

Rafizi yang juga Naib Presiden dan Setiausaha Agung PKR juga berkata, ribuan pelajar yang cuba memohon biasiswa atau pinjaman dari Mara telah ditolak sebelum isu pemotongan biasiswa JPA pada masa ini.

“Sehingga kini, saya difahamkan Mara masih belum membuka sistem permohonan penajaan pendidikannya. Saya juga dimaklumkan kini Mara terpaksa menjadi
orang tengah kepada bank-bank yang menawarkan pinjaman kepada pelajar pada kadar komersil,” dedahnya.

Beliau juga berkata, Najib dalam Bajet 2016 memotong peruntukan biasiswa dan dermasiswa kira-kira RM800 juta manakala dana Kumpulan Wang Amanah Pelajar
Miskin (KWAPM) dipotong dari RM200 juta menjadi RM10 juta sahaja.

“Kegilaan itu kini diteruskan dengan pemberhentian penajaan pelajar-pelajar JPA seramai 700 yang akan melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pertama.

“Oleh itu, saya ingin menasihati Dato’ Seri Najib Tun Razak kaedah terbaik mengembalikan pembiayaan biasiswa dan dermasiswa seperti ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, Rafizi menggesa Najib mengarahkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membayar kembali geran kerajaan Persekutuan sebanyak RM1.1
bilion.

Ujarnya, jumlah tersebut yang telah diambil oleh 1MDB bagi kerja pemindahan dan naiktaraf pangkalan tentera berkaitan Bandar Malaysia merupakan tanggung jawab 1MDB dan tidak wajar melibatkan dana rakyat.

“Jumlah RM1.1 bilion ini lebih dari cukup untuk membiayai biasiswa-biasiswa yang saya sebut di atas,” tambah Rafizi lagi.

CATEGORIES
TAGS