Malaysia Dateline

Potong gaji Adun 3 bulan, cadang PH Kelantan

Setiausaha Pakatan Harapan Negeri Kelantan Rushdan Mustafa hari ini mencadangkan supaya semua Adun di Kelantan memotong gaji mereka selama tiga bulan dan disumbang ke tabung kebajikan rakyat.

Alasan desakan itu dibuat kerana kerajaan Pas Kelantan hari ini jelas terbukti gagal mentadbir negeri dengan baik, terutama setelah berkali-kali PKP dilaksanakan, namun akhirnya rakyat terus menjadi mangsa.

Mengulas mengenai tindakan tergesa-gesa kerajaan Pas Kelantan yang mengharamkan semua gerai jualan tepi jalan dari terus beroperasi berkuat-kuasa 9 Mei itu, beliau menyifatkan itulah tambahan rekod kegagalan Pas memerintah Kelantan hari ini..

“Sebelum ini kita digemparkan dengan keputusan untuk membatalkan bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri dibuat dua hari sebelum masuk bulan Ramadan, habis susah rakyat kita.

“Kemudian, kita tambah terkejut bila baca berita mendedahkan bahawa kerajaan Pas Kelantan sudah dua kali memohon supaya negeri ini dikenakan perintah berkurung, mujurlah ia ditolak oleh pihak MKN.

“Kali ini, keputusan dibuat pada Sabtu dengan arahan pengharaman gerai jualan tepi jalan dari beroperasi berkuat-kuasa mulai Ahad, kenapa begitu kelam kabut Pas memerintah Kelantan hari ini,” bidas beliau yang juga Naib Pengerusi AMANAH Kelantan.

Katanya, rakyat Kelantan yang berusaha untuk mencari rezeki dalam situasi sukar akibat perlaksanaan PKP yang berterusan dan penguatkuasaan SOP amat menekan,

“Dulu dah dapat RM400 juta, dapat beli kereta mewah Mercedes dan naikkan gaji para Exco dan Adun, rupanya semakin teruk mentadbir negeri, dengan kegagalan mereka yang menyusahkan rakyat ini.

“Seharusnya mereka potong gaji tiga bulan dan sumbangkan kepada rakyat,” desak beliau yang juga merupakan Ketua AMANAH Kawasan Pasir Mas.