Malaysia Dateline

‘Potong gaji menteri, penjawat awam masuk dalam akaun bank rakyat susah’

Seorang usahawan muda membantah pengumuman kerajaan untuk kembali melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekiranya kes positif Covid-19 mencecah tiga angka.

Pengerusi Asean Youthpreneur Community (AYPC), Effendy Zulkifly berkata, ura-ura untuk menguatkuasakan semula PKP sangat merisaukan.

Beliau berpendapat pihak kerajaan tidak faham perasaan ramai rakyat marhaen yang kehilangan pekerjaan dan penutupan operasi perniagaan.

“Saya sedar PKP juga suatu jenis ‘syurga’ atau ‘kebahagiaan’ kepada segelintir mereka yang ‘Kebal Ekonomi’ ketika PKP, dan suatu ‘neraka’ dan ‘kesengsaraan’ buat mereka yang ‘Tidak Kebal Ekonomi’ ketika PKP.

“Jika ingin buat juga PKP fasa awal (jenis PKP Rambang tutup ekonomi satu negara) potong separuh juga semua gaji kakitangan kerajaan termasuk pak menteri dan kakitangan GLC,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook beliau.

Menurutnya, langkah tersebut bagi membolehkan penjawat awam, menteri dan kakitangan GLC merasai sendiri perasaan kakitangan swasta yang diberhentikan dan rakyat marhaen yang tidak boleh berniaga.

“Duit gaji yang dipotong itu masukkan kepada akaun bank rakyat-rakyat yang susah ini. Saya cadangkan kaji pula pendekatan negara seperti Korea Selatan, Sweden dan Belanda pula hadapi Covid-19, bagaimana?” tegasnya.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan tiada pilihan melainkan mengembalikan semula PKP sekali gus mengehadkan pergerakan jika kes positif Covid-19 terus meningkat dan mencecah tiga angka.

Ikon ASEAN Elite Forum ini juga buat kerja menghantar ikan dari rumah ke rumah.

PKP jenis gila

Dalam satu hantaran lain, Effendy memperincikan sebab mengapa beliau membantah pelaksanaan PKP buat kali kedua.

Penerima Anugerah Pengiktirafan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Bagi Asia Dan Pasifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (ESCAP) 2016 itu memberitahu beliau terpaksa melakukan pelbagai jenis pekerjaan bagi menyara hidup sepanjang PKP sebelum ini.

Menegaskan dirinya sebagai ‘Bukan Melayu Pemalas’, Effendy berkata, langkah PKP secara rambang dengan menutup aktiviti ekonomi menjejaskan sumber pendapatan harian golongan sepertinya.

 

Berikut luahan penuh suara hati Effendy:

“Sejak PKP diperkenalkan bisnes saya sebelum PKP tidak boleh dijalankan dan ada yang terpaksa ditutup. Apakah saya buat untuk cari income? Saya tulis di bawah rutin hidup saya.

Waktu awal pagi sebelum sarapan saya angkat ikan di pasar borong. Selepas sarapan pagi saya buat pula delivery ikan rumah ke rumah.

Waktu tengahari selepas lunch saya pergi berkebun pula di Vertical Farming saya. Waktu petang saya buat kerja buruh kasar bertukang.

Saya ada TV Show saya sendiri dengan jenama ‘Tech Talk With Effendy Zulkifly’. Jadi, pada waktu malam hari saya buat live FB interview di ‘Tech Talk’ saya dengan Ikon Tech dari seluruh dunia.

Lepas habis interview Ikon Tech tersebut, pada tengah malam saya menulis buku pelbagai genre pula terutamanya tentang teknologi.

Waktu nak dekat raya, saya jual lemang. Sekali sekala saya turun ke laut dalam tangkap ikan. Saya bekerja keras untuk sara hidup.

Kerana pendapatan saya ialah jenis pendapatan harian. Tidak boleh keluar rumah bermaksud tidak boleh jana income.

Jika buat semula PKP seperti PKP Fasa 1 jenis secara rambang tutup ekonomi saya tidak boleh keluar rumah berniaga dan bekerja.

Bagaimana saya mahu teruskan hidup cari rezeki dengan PKP jenis gila tersebut? Saya bukan kakitangan kerajaan atau kakitangan GLC jika ada PKP apa jenis sekalipun gaji tetap jalan.

Apa yang saya ceritakan ini mewakili jutaan rakyat marhaen yang senasib seperti saya.”

Effendy membuktikan dirinya bukan orang Melayu pemalas seperti dimomokkan pihak tertentu apabila aktif dalam bicara tentang teknologi menerusi FB Live.