Malaysia Dateline

Potongan gaji tak sampaipun duit poket Adnan Mansor, kata Kadir

Bekas Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin menyifatkan jumlah terkumpul bulanan potongan gaji Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri adalah berjumlah RM1,738,000 untuk selama dua bulan.

Namun, katanya, ia hanya sedikit sahaja “Tapi tak sampai duit poket Adnan Mansor pun.”

“Jumlah besar RM 1,738,000. Alhamdulillah kira banyak jugalah. Boleh beli 869,000 “face mask”,” kata beliau melalui facebooknya.

Kadir, bekas Ketua Pengarang Kumpulan NST itu mengulas potongan gaji selama dua bulan oleh Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri untuk membantu Covid-19.

Beliau membandingkan jumlah kutipan potongan gaji selama dua bulan itu dengan wang saku bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor sebagaimana yang diberitahu beliau di mahkamah.

“Bekas Menteri Wilayah itu bagi tahu mahkamah awal bulan ini sogokan RM2 juta yang dia terima daripada pemaju hartanah, Chai Kin Kong, tu macam duit poket dia saja. Harta dia RM900 juta,” tulis Kadir.

Pendapatan purata Menteri (gaji pokok, elaun jawatan dan elaun Ahli Parlimen) dianggarkan antara RM50,000 hingga RM60,000 sebulan.

“Jadi baki yang tinggal banyak lagi. Maksudnya mereka tidaklah jatuh miskin dengan buat amal kebajikan itu,” katanya.

Menurut Kadir, ada pembahas tanya pendapat beliau mengenai Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri sumbang dua bulan gaji kepada Tabung Covid-19.

“Reaksi spontan saya ialah bagus sangatlah. Inilah kepimpinan melalui teladan,” katanya.

Katanya, kalau tak silap, gaji PM RM23,000 sebulan tak masuk elaun. Jadi dua bulan PM sumbang RM46,000.

Timbalan Perdana Menteri RM19,000 sebulan. Dua bulan RM38,000. Tapi buat pertama kali dalam sejarah jawatan itu tak diisi. Jadi tolak RM38,000.

Menteri dapat RM15,000 sebulam. Dua bulan RM30,000. Kali 30 orang Menteri bersamaan RM900,000, katanya.

Timbalan Menteri gaji RM11,000 sebulan. Dua bulan RM22,000. Kali 37 orang RM792,000.