Malaysia Dateline

Potong kadar tol 18% mampu jimat wang rakyat setengah bilion setiap tahun

Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Muhammad Faiz Fadzil berkata, penstrukturan semula konsesi PLUS Malaysia Berhad yang telah dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mempunyai dua kesan positif jangka panjang yang penting untuk rakyat Malaysia dan negara.

Kata beliau, usaha ini secara anggaran kasar akan memulangkan lebih daripada setengah bilion ringgit kepada rakyat setiap tahun dan ia akan membantu mengurangkan beban perbelanjaan rakyat tanpa menjejaskan kemampuan fiskal kerajaan.

“Melihat trend tahun-tahun sebelum ini, lebih kurang 75-80% hasil PLUS setiap tahun datang daripada kutipan tol. Berdasarkan laporan TheEdge baru-baru ini, PLUS telah mencatatkan hasil sebanyak RM3.83 bilion pada tahun 2018.

“Jika 75% daripada angka ini disumbangkan oleh kutipan tol, ini bermaksud rakyat telah membayar RM2.9 bilion untuk tol-tol PLUS hanya untuk tahun 2018.

“Dengan usaha Kerajaan PH memotong kadar tol PLUS sebanyak 18%, ini bermakna rakyat akan dapat menjimatkan lebih RM500 juta setiap tahun bermula 2020 jika diambil kira 18% daripada RM2.9 bilion kutipan tol pada tahun 2018 yang berjumlah RM522 juta,” kata Adun Permatang Pasir itu.

Tambah beliau, penstrukturan semula konsesi PLUS ini juga akan membaiki kelemahan dalam kontrak konsesi PLUS yang telah disemak pada tahun 2011 di bawah Kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Najib Razak.

Jelasnya, pada tahun 2011, Najib telah membenarkan PLUS menaikkan bayaran tol sebanyak 5% setiap tiga tahun sekali bermula 2016. Sebelum semakan tersebut, kadar tol PLUS boleh ditingkatkan sebanyak 10%.

“Walaupun ada sedikit pengurangan kadar baru iaitu 10% ke 5%, PLUS masih boleh menaikkan bayaran tol pada tahun-tahun akan datang jika masih berkuasa. Untuk mengelakkan kritikan daripada rakyat, BN telah menyerap kenaikan bayaran tol untuk tahun-tahun sebelum ini dan membayar pampasan pemegang konsesi seperti PLUS.

“Ini memberikan gambaran kononnya rakyat tidak lagi menanggung kenaikan kadar tol. Hakikatnya, rakyat membayar pampasan kepada pemegang konsesi secara tidak langsung menerusi duit cukai, yang sepatutnya dapat digunakan untuk projek-projek pembangunan lain. Pampasan ini boleh juga dianggap dibayar rakyat menerusi bayaran cukai GST dan pemansuhan subsidi seperti subsidi gula, petrol dan diesel,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya, kontrak konsesi PLUS baharu ini di bawah Kerajaan PH tidak lagi memerlukan bayaran pampasan kepada PLUS.

“Bukan itu sahaja, kadar tol juga tidak dinaikkan sama sekali. Langkah ini menunjukkan komitmen Kerajaan PH menunaikan janji mengangkat kemakmuran negara dan kesejahteraan hidup rakyat,” katanya.