Potret perjuangan politik Fadzil Mohd Noor (Siri 1)

Potret perjuangan politik Fadzil Mohd Noor (Siri 1)

Satu Analisis Daripada Pandangan Tun Dr. Mahathir Mohamad

MUKADIMAH

Senja tanggal 22 Jun 2002, Mahathir Muhamad menangis bersama ribuan pengikutnya di Perhimpunan Agung Umno di Putra World Trade Centre kerana sedih mendengar Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Presiden parti. Para pimpinan dan penyokongnya berasa kepimpinannya masih diperlukan. Perletakan jawatan di hadapan majlis kebesaran parti adalah suatu yang tidak seharusnya berlaku.

Tidak sampai sehari selepas babak yang menyedihkan bagi parti Melayu terbesar itu berlaku, dunia dikejutkan dengan pemergian ke rahmatulah seteru politiknya, Fadzil Mohd Noor yang memimpin Pas. Fadzil Mohd Noor menghembus nafas terakhir di HUKM setelah dua minggu terlantar di katil akibat kompilasi selepas pembedahan pintas jantungnya.

Lautan manusia turut serta mengiringi pemergiaan Ustaz Fadzil Mohd Noor ke pusara di Muasasah Darul Ulum, Pokok Sena. Itulah perjalanan terakhir buat almarhum. Dunia politik tanahair waktu itu hening, kosong dan sugul. Saat itu Mahathir Mohamad sudah pergi meninggalkan negeri, mencari ketenangan dan damai di hati. Manakala Fadzil Mohd Noor pergi ke alam baru meninggalkan alam dunia.

Beberapa minggu sebelum itu, Fadzil Mohd Noor melambai-lambai ke arah Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda Pas Pusat yang berada di atas pentas utama semasa meninjau perjalanan muktamar di PUTIK, Kelantan. Beliau diiringi Setiausaha Agung Pas ketika itu, Nasarudin Mat Isa. Saat itu saya berada di atas pentas membalas lambaiannya. Rupa-rupanya itulah lambaian terakhir buat angkatan pemuda partinya yang akan mewarisi perjuangannya nanti.

Subky Abd. Latif dalam bukunya ‘Fadzil Mohd. Noor Dia Guru… Dia Kawan’, merakamkan detik terakhir Fadzil Mohd Noor semasa ucapan pengulungan di muktamar, ‘beliau menjadualkan berucap pendek untuk memudahkan perwakilan dari jauh, dari seluruh negara, boleh pulan segera kerana Asar sudah lewat. Tetapi beliau bercakap panjang dan menyebut mengapa susah baginya hendak berhenti berucap kali itu.

Beliau teringatkan kepada dialog ketika Nabi Musa bermunajat di Bukit Tursina. Allah bertanya kepada Nabi Musa apakah yang ada di tangannya. Nabi Musa boleh menjawab, ‘Tongkat’. Tetapi sengaja Nabi Musa menggunakan ayat-ayat yang panjang-panjang bagi menggambarkan objek di tangannya itu adalah tongkat, kerana rasul itu terlalu kasih dan cintanya kepada Allah. Payah baginya hendak berpisah dengan pihak yang dikasihinya. Begitu juga’ katanya ‘payah saya hendak berpisah dengan orang – perwakilan Pas – saya kasihi’.

Penulis bersama Dr. Mahathir Mohamad

Mengambil dua putera besar kelahiran Kedah Darul Aman yang dalam sejarah perseteruan politik mereka yang panjang sebagai mauduk perbincangan menuntut bukan sekadar melalui analisa tekstual sahaja. Ia perlu melihat daripada aspek konteks semasa dan juga tafsiran masa kini.

Kedua-dua putera bangsa ini adalah milik negara. Sejarah, perjalanan politik mereka adalah episod pembinaan negara bangsa yang mempunyai kemajmukan samada dari segi kaum, agama, bahasa dan kebudayaan. Perseteruan, persefahaman dan keputusan mereka adalah rencam yang mewarnai watak dan perwatakan kepimpinan negara pada masa sekarang dan akan datang.

Kajian ini berasaskan interview saya dengan Mahathir Mohamad pada 17 Julai 2008 di Menara KLCC. Sesi temubual itu adalah bagi memenuhi data bagi keperluan menyiapkan kajian PhD saya yang bertajuk ‘The Transformational Leadership Approach in the Pan Malaysian Islamic Party (Pas): A Case Study of Fadzil Mohd. Noor’s Political Leadership’ di University of Wales Trinity St. David, United Kingdom.

Sesi temubual ini dibuat ketika Mahathir Mohamad menjadi pengkritik kepimpinan Perdana Menteri Abdullah Badawi yang dianggapkan sebagai lemah dan tidak memenuhi harapan beliau sewaktu memilih Abdullah sebagai penggantinya. Dari segi politiknya, Mahathir Muhamad kekal mempunyai pandangan yang kritis terhadap PAS.

Hubungan politik kontradik antara Mahathir Mohamad dengan Fadzil Mohd. Noor dapat dilihat bermula dengan pembentangan Kertas Putih tentang isu kafir mengkafir (1983), tangkapan ISA (1984, 1985, 1987 dan 1989), peristiwa berdarah Lubuk Merbau (1985), Peristiwa Memali (1985), rampasan tanah Muassasah Darul Ulum (1987), tekanan Kerajaan Kelantan (semenjak 1990), hukum hudud (1994), Ops Kriket (1997), menyekat pengeluaran Harakah (2000) dan menafikan royalti minyak Terengganu (2000). Peristiwa belum diambil kira tentang halangan berceramah, laporan media yang tidak adil, penghinaan ke atas hukum-hakum Islam, sunnah Nabi, ulama dan sebagainya.

Kerajaan BN di bawah pimpinan Mahathir Mohamad telah melakukan pelbagai penindasan ke atas rakyat seperti Skandal BMF (1985), provokasi perkauman (1987), pemecatan Ketua Hakim Negara (1988), penghinaan ke atas institusi raja (1992), rampasan tanah di Kerpan (1995) dan Pantai Tanah Merah (1995), Menteri Besar melarikan 1.8 kg wang (1997), kaitan Ketua Menteri dengan kes rogol pelajar sekolah (1997) dan konspirasi politik ke atas Anwar Ibrahim (1998).

Catatan tersebut menjelaskan wujudnya pertentangan politik yang jelas antara kedua-dua tokoh politik tersebut. Artikel ini cuba menganalisa pandangan Mahathir Mohamad terhadap musuh politiknya secara tuntas. Dalam hal ini, perlu difahami perbezaan-perbezaan yang wujud itu masih dapat menyumbangkan pembinaan negara bangsa yang lebih kukuh dan sejahtera.

PERJUANGAN PALESTIN

Salah satu kemuncak kombinasi kepimpinan kedua-dua tokoh ini apabila mereka bersetuju untuk berada pada satu pentas. Majlis Syarahan Perdana itu anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Fadzil Mohd. Noor memberi persetujuan untuk hadir dalam pidato tersebut tanpa mendapat persetujuan atau memaklumkan kepada Jawatankuasa PAS Pusat. Ekoran persetujuan tersebut, terdapat suara-suara dalam Pas yang mengkritik keputusan Fadzil Mohd. Noor. Fadzil Mohd. Noor menggunakan kuasa prerogative beliau sebagai pemimpin utama parti itu membuat keputusan.

Pendirian dan pendekatan Mahathir Mohamad tentang perjuangan rakyat Palestin sangat tegas di peringkat antarabangsa. Mahathir Mohamad menggunakan platform antarabangsa seperti PBB, Commonwealth, ASEAN menyuarakan persoalan Palestin. Di bawah kepimpinan beliaulah, Palestin diberikan status kedutaan di Kuala Lumpur. Bantuan kemanusiaan dan sumbangan sokongan politik terhadap Palestin juga dibuat oleh kerajaan Malaysia.

Manakala Fadzil Mohd Noor sentiasa membawa isu Palestin dalam kerangka hubungan politik antarabangsa. Contohnya dalam ucapan Muktamar Pas Kali 48 yang berlangsung PUTIK, Kota Bharu beliau menegaskan ‘ulama Islam secara jumhurnya menganggap bahawa perjuangan rakyat Palestin adalah sebenar-benar jihad fi sabillilah untuk mempertahankan maruah agama, bangsa dan tanahair mereka.’

Pendirian Pas tentang perjuangan rakyat Palestin bermula sejak awal lagi. Fadzil Mohd Noor meneruskan pendirian dan pendekatan parti itu dalam memberi sokongan kepada perjuangan mereka. Pendekatan Umno sebagai sebuah parti pemerintah tentulah berbeza dengan pendekatan PAS sebagai parti pembangkang. Ini dinyatakan oleh Mahathir Muhamad dalam temubual tersebut.

Katanya, ‘Saya berpendapat bahawa ada perkara yang common dalam perjuangan kita. Soal Palestin yang diminati oleh Umno dan juga Pas. Jesteru itu, kita harus bincang pendekatan-pendekatan apakah yang patut dibuat oleh Umno sebagai parti kerajaan dan Pas sebagai parti pembangkang. Itulah sebabnya kita adakah perbahasan ini’.

Pendekatan parti politik pembangkang biasanya memberi desakan melalui memorandum, perbahasan di parlimen, demonstrasi secara besar-besaran bagi meraih sokongan masyarakat. Tekanan dalaman penting dalam mengurus tekanan luar yang melangkau garis politik. Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Mahathir Mohamad telah mengeluarkan visa khas kepada pasukan kriket Israel bagi menyertai satu kejohanan di peringkat antarabangsa di Kuala Lumpur. Langkah kerajaan Malaysia itu dianggap sebagai satu percabulan dan pengkhianatan Malaysia terhadap perjuangan Palestin.

Dewan Pemuda Pas yang diketuai Mahfuz Omar, Salahuddin Ayu telah membuat demostrasi di Masjid al Rahman, Universiti Malaya pada 4 April 1977 sehingga menyebabkan 270 penyokong Pas ditangkap. Manakala Mahfuz Omar, Salahuddin Ayub dan Jamaluddin dijatuhi hukum penjara sebulan. Pendekatan-pendekatan yang saling bertentangan adalah suatu pendekatan politik hubungan antarabangsa yang sangat kompleks.

* Penulis adalah Naib Pengerusi 1 AMANAH Perak. Beliau adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat sesi 2012/2015. Pernah diamanahkan sebagai Setiausaha Perhubungan Pas Perak 2005/2006 dan 2011 – 2015. Pengerusi Lujnah Kebudayaan Pas Pusat selain menjadi kolumnis Harakah dan Siasah. Sekarang kolumnis Malaysiakini.com, Malaysiadateline.com serta menulis di Dewan Masyarakat. Email.: [email protected]