Malaysia Dateline

Pound melonjak selepas pilihan raya susulan jangkaan pelaksanaan Brexit

Mata wang Britain, pound sterling, meneruskan aliran meningkatnya, naik dua peratus berbanding dolar AS pada Jumaat lepas selepas kemenangan Parti Konservatif dalam pilihan raya umum United Kingdom (UK).

Pound mengukuh susulan pilihan raya itu, diniagakan pada 1.3500, paras tertinggi bagi sasaran bulisnya.

Pakar Strategi Pasaran Asia Pasifik Axi Trader, Stephen Innes berkata kemenangan parti pemerintah itu memberikan petunjuk berakhirnya ketidaktentuan politik dan menghapuskan sebarang risiko politik dalam tempoh terdekat ini yang membelenggu mata wang itu berkaitan dengan perjanjian Brexit.

“Oleh kerana pasaran pertukaran asing kini kembali menumpukan kepada data ekonomi, sebarang peningkatan kecil dalam ekonomi UK akan dilihat sebagai sokongan positif kepada pound, yang boleh meningkat melepasi paras 1.4000 menuju ke suku pertama 2020,” katanya kepada Bernama.

Pound dijangka bergerak dalam jajaran 1.3400-1.3500 minggu depan.

Faktor lain yang membawa kepada kekukuhan pound adalah mata wang itu kini boleh dilihat sebagai aset selamat yang sangat cair apabila ketegangan AS-China meningkat semula selepas fasa penting daripada dua fasa perjanjian perdagangan itu diselesaikan.

“Selain itu, Presiden AS Donald Trump turut menyatakan bahawa AS dan UK kini bebas untuk memeterai perjanjian perdagangan selepas proses Brexit selesai,” katanya.

Sementara itu, rancangan Britain untuk keluar dari Kesatuan Eropah (EU) nampaknya pasti akan berlaku selepas Perdana Menteri Boris Johnson, dalam ucapan meraikan kemenangan pilihan raya pada Jumaat berkata, beliau kini boleh meratifikasikan perjanjian Brexit dengan EU pada 31 Jan, 2020 — 10 bulan lebih awal daripada yang dirancangkan pada awalnya.

“Kita akan memuktamadkan Brexit pada 31 Jan — bukan jika, bukan tetapi, bukan mungkin,” katanya.

Innes berkata ia merupakan satu kemenangan besar kepadar Johnson, yang akan dapat meluluskan perundangan Perjanjian Penarikan Diri dan kini mempunyai fleksibiliti untuk membentuk hubungan masa depan yang lebih membina dengan EU pada 2020.

“Kemungkinan proses UK sekarang — Johnson menyasar mengusulkan Rang Undang-Undang Pengunduran kepada Dewan Rakyat pada Jumaat depan dan kemudiannya berhenti seketika bagi beberapa minggu. Awal Januari akan menyaksikan perundangan selebihnya Brexit diluluskan dengan pengunduran dari EU akan berlaku pada 31 Jan, 2020,” katanya.

Parti Konservatif meraih kemenangan selepas memperoleh 365 kerusi dengan majoriti 80, memperoleh 43.6 peratus undian popular berbanding Parti Buruh pada 32.2 peratus.

Kemenangan parti itu adalah yang terbesar sejak kemenangan Margaret Thatcher pada 1987.– BERNAMA