Malaysia Dateline

PPB peruntuk perbelanjaan modal RM831 juta bagi tempoh 4 tahun akan datang

PPB Group Bhd, konglomerat kepelbagaian Malaysia, memperuntukkan RM831 juta bagi perbelanjaan modal untuk tempoh empat tahun akan datang bagi pelan pengembangannya di peringkat tempatan dan antarabangsa dalam semua segmen.

Pengarah Urusan Lim Soon Huat berkata pelan pengembangan itu termasuk penambahan sembilan pawagam baharu di peringkat tempatan dan satu di Kemboja dalam tempoh tersebut, selain menaik taraf pawagam sedia ada di bawah segmen pameran dan pengedaran filem sebanyak RM373 juta.

“Kumpulan akan turut memperuntukkan sebanyak RM401 juta untuk segmen bijirin dan perniagaan tani, yang akan digunakan bagi pelaburan dalam kilang tepung China dan pembinaan kilang tepung 500 tan sehari di Vietnam serta RM3 juta bagi segmen hartanah untuk terus menaik taraf pusat beli-belah kami yang sedia ada.

“Bagi segmen produk pengguna, kami akan memperuntukkan RM16 juta untuk pembinaan kemudahan pengeluaran baharu dan pembelian kilang, jentera dan aset tak ketara, RM5 juta bagi kejuruteraan alam sekitar dan utiliti untuk pembelian peralatan dan pengubahsuaian pejabat, serta RM33 juta bagi segmen lain untuk membeli kilang dan jentera,” katanya pada taklimat media mengenai prospek syarikat itu bagi tahun ini di sini hari ini.

Di bawah segmen kejuruteraan alam sekitar dan utiliti, katanya kumpulan memperoleh dua projek air di Sarawak bernilai RM88 juta, dan kini membida projek di Semenanjung Malaysia dan Sarawak dengan nilai RM350 juta.

Lim berkata semua tender akan diumumkan secara berperingkat dengan yang terkini dijangka diumumkan pada Mei tahun ini.

“Mengenai masa depan, segmen bijirin dan perniagaan tani dijangka terus kompetitif dengan pasaran komoditi yang tidak menentu dan ia akan terus menumpukan kepada pertumbuhan dan mengekalkan standard kualiti produk kami yang baik.

“Prestasi segmen produk pengguna dijangka terus stabil, disokong oleh rangkaian produk yang luas dan pengenalan produk baharu dalam pasaran baharu,” katanya.

Bahagian hartanah, katanya akan menumpukan kepada menyiapkan projek Megah Rise di Petaling Jaya selain terus mengekalkan dan meningkatkan kecemerlangan operasi pusat beli-belah sedia ada dan perniagaan pengurusan hartanah.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2018, perolehan segmen bijirin dan perniagaan tani naik 5.0 peratus kepada RM3.15 bilion susulan jualan yang lebih tinggi daripada semua kilang tepung.

Perolehan daripada segmen pameran dan pengedaran filem meningkat 12 peratus kepada RM538 juta, disebabkan prestasi filem Melayu yang kukuh dan sumbangan daripada pawagam yang dibuka pada 2017.

Segmen kejuruteraan alam sekitar dan utiliti turut mencatatkan perolehan yang lebih tinggi sebanyak RM205 juta bagi tahun itu, naik 57 peratus berbanding tahun sebelumnya, manakala perolehan segmen hartanah meningkat 11 peratus kepada RM53 juta.

— BERNAMA