Malaysia Dateline

PPE: Hanya cukup untuk 2 minggu, VVIP pula guna untuk buat lawatan

Pengumuman Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bahawa peralatan perlindungan diri (PPE) sebenarnya hanya bertahan untuk tempoh dua minggu sahaja mengejutkan banyak pihak.

Tambah-tambah lagi apabila mereka membaca mesej seorang doktor bagaimana para VVIP (golongan ternama) menggunakan peralatan itu semata-mata untuk melawat makmal perubatan Covid-19 sahaja, sedangkan mencukupi sekadar mereka memakai topeng muka dan hidung serta kekalkan jarak sahaja.

Bagi Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi, ia juga mengejutkan kerana rakyat Malaysia terus membantu menghasilkan PPE untuk petugas barisan hadapan terutamanya selepas ada yang terpaksa menggunakan plastik sampah sebagai perlindungan diri mereka.

WONG SHU QI

Malah, Shu Qi mempersoalkan adakah kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini sedang berusaha yang terbaik bagi mendapatkan segala bahan dan peralatan yang mencukupi untuk petugas kesihatan yang memerlukan.

“Kita semua tahu, kemelut menangani ancaman wabak Covid-19 ini tak akan berakhir dengan perintah PKP. Bekalan perubatan adalah yang paling penting untuk kita perolehi.

“Sektor swasta dan rakyat biasa sedang berhadapan impak ekonomi yang teruk. Namun, amat menyedihkan apabila kita masih perlu meminta derma orang ramai bagi menyediakan peralatan perlindungan diri untuk petugas barisan hadapan kita.

“Sekiranya kerajaan melakukan pembelian secara besar-besaran dengan telus, integriti dan bebas dari unsur-unsur korupsi, harganya pasti jauh lebih murah daripada bergantung pada usaha derma orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Ahli Parlimen DAP itu lagi, ramai pihak mula meletakkan harapan bahawa fasa huru-hara akan berlalu dengan cepat dan stok PPE yang mencukupi akan sampai ke hospital di setiap daerah.

Namun sebaliknya berlaku, beliau berkata ketika negara memasuki fasa ketiga iaitu minggu kelima PKP, rakyat masih diminta untuk membantu mendapatkan PPE untuk barisan hadapan.

VVIP gunakan PPE

Sementara itu, melihat pada satu siri twitter seorang doktor yang menggunakan nama Beni Rusani, beliau berkata, VVIP dan delegasi yang melawat makmal ujian Covid-19 juga tidak seharusnya menggunakan ‘gown’ PPE.

“Mungkin cukup dengan topeng biasa dan kekalkan (jarak) enam kaki. Bukankah lebih elok dikhaskan PPE itu pada frontliner yang merawat pesakit,” tulisnya.

Pada masa sama, pengguna Roman Akramovich membalas hantaran twitter tersebut, berkata: “Kita ada 71 Menteri dan Timbalan (termasuk seorang duta acah-acah Menteri).

“Mereka ini kalau melawat bukan datang seorang tapi satu rombongan. Bayangkan berapa banyak PPE yang dibazirkan untuk mereka ini? Belum kira waktu yang terpaksa dibazirkan untuk melayan kerenah mereka,” tulisnya.