Malaysia Dateline

Penubuhan RCI bukan momokan serang musuh politik, kata Anwar

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata, amat mengalukan kesediaan kerajaan menubuhkan RCI yang akan dipengerusikan oleh Tan Sri Mohamed Sidek Hassan (Gambar kiri) yang kini memegang jawatan sebagai Pengerusi Petronas itu.

“Selaku Menteri Kewangan yang meredakan masalah tersebut dan menerima perletakan jawatan pegawai yang bertanggungjawab iaitu Tan Sri Nor Mohamed Yakcop serta Gabenor Bank Negara pada ketika itu, Tan Sri Jaafar Hussein, saya akan memberikan kerjasama penuh kepada RCI ini.

“Peringatan saya agar jangan ia dijadikan momok politik untuk menyerang musuh tertentu, khususnya Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya akan memberikan semua fakta secara telus tetapi tidak akan diheret untuk diperalatkan dalam gelanggang politik,” ujarnya.

Pada Jun lalu Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing, disambut baik oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Kabinet kemudiannya bersetuju terhadap cadangan Pasukan Petugas Khas supaya diwujudkan RCI, bagi membolehkan siasatan dibuat terhadap kerugian urus niaga wang asing oleh BNM pada sekitar tahun 1980-an dan 1990-an itu.

Semalam YDP Agong Sultan Muhammad V perkenan untuk  penubuhan RCI itu.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan semalam juga dipetik berkata penubuhan itu selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) dan penubuhan suruhanjaya siasatan itu berkuat kuasa 15 Julai 2017.

Selaras dengan peruntukan Akta 119, Seri Paduka turut memperkenankan keanggotaan suruhanjaya dengan Pengerusi Petronas Tan Sri Mohd Sidek Hassan dilantik menjadi pengerusi suruhanjaya.