Malaysia Dateline

PPK Kudat galakkan peladang ceburi industri burung walit

Pertubuhan Peladang Kawasan Kudat, Sabah (PPK Kudat) dibawah Lembaga Pertubuhan Peladang Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menggalakkan para peladang menceburi industri burung walid yang kini sedang mendapat tempat di pasaran tempatan dan juga antarabangsa.

Seramai 50 orang peserta yang yang terdiri daripada Ahli Lembaga Pengarah (ALP) PPK Kudat, Ketua-ketua Unit PPK Kudat dan para usahawan muda peladang daerah Kudat telah mengikuti seminar berkaitan industri itu pada 24 dan 25 September baru-baru ini.

Para peserta Seminar Penternakan Rumah Burung Walit dengan kerjasama Kementerian Perdagangan dan Industri Negeri Sabah didedahkan beberapa aspek teknikal dalam penternakan burung walit oleh penceramah daripada Jabatan Veterinar Negeri Sabah.

Seminar tersebut juga bertujuan memberikan pendedahan kepada para peladang mengenai pembiayaan yang disediakan oleh kerajaan negeri dan persekutuan serta pihak swata dalam mengembangkan industri ini.

Perkongsian daripada usahawan berjaya dalam industri burung walit turut diselitkan sebagai motivasi kepada para peserta untuk menceburi bidang ini.

Kudat merupakan daerah yang sangat berpotensi dalam mengembangkan industri burung walit. Di Pulau Banggi sahaja, terdapat lebih 70 buah rumah sarang burung walit dibina.

Selain permintaan yang tinggi dari negara China, harga yang tinggi dan kaedah penjagaan yang mudah, dilihat dapat membantu mengembangkan ekonomi penduduk khususnya golongan B40.

Pengerusi PPK Kudat Khairuddin Daud berhasrat untuk menjadikan Kudat sebagai pusat pengumpulan sarang burung walit bagi daerah-daerah di Bahagian Utara Sabah.

“Kami merancang untuk menyediakan servis membersih sarang burung walit kepada para peladang sebelum sarang tersebut diproses di kilang, katanya dalam satu kenyataan.

Walau bagaimanapun, katanya, para peladang memerlukan sokongan yang padu daripada kerajaan khususnya dalam menyediakan dana peruntukan yang mencukupi untuk mengembangkan industri ini khususnya di negeri Sabah.

“Diharap menerusi RMK-12, industri ini akan mendapat tempat dan peruntukan yang sewajarnya dapat diberikan sebagai galakan kepada para peladang khususnya Pertubuhan Peladang Kawasan,” katanya.