Malaysia Dateline

PPMM dakwa pelantikan Latheefa tidak selari manifesto PH

Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) meminta pihak berkuasa tampil menjelaskan isu pelantikan peguam, Latheefa Koya yang didakwa bertentangan dan tidak selari dengan manifesto Pakatan Harapan (PH).
Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mendakwa, pelantikan jawatan penting dalam agensi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu, tidak melibatkan campur tangan Jawatankuasa Khas Pemilihan Parlimen.
Beliau berkata, ia antara lain turut menimbulkan konflik kepentingan berhubung status Latheefa sebagai pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini.
“Walaupun Latheefa sudah meletak jawatan dari PKR, namun secara umumnya masyarakat juga tahu tempoh perjuangan beliau dalam parti itu, malah pernah menjawat jawatan pimpinan pusat sebelum ini.
“Pelantikan bekas pejuang politik itu, boleh memberikan persepsi yang tidak baik terhadap integriti SPRM sama ada dalam atau luar negara sebagai badan bebas yang ditugaskan memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
“Ini semua menjadi tanda tanya. Bermula daripada janji manifesto PH, kemudian pelantikan dilakukan tanpa rundingan atau persetujuan di peringkat kabinet mahupun jawatankuasa khas Parlimen,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Latheefa adalah Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR sebelum beliau mengumumkan perletakkan jawatan setelah dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu pada 4 Jun lepas.
Dalam isu ini, Zainul berkata walaupun pihaknya mengalu-alukan pelantikan Latheefa, namun cara penerimaan masyarakat mungkin berbeza disebabkan kapasiti beliau sebagai bekas ahli politik pada sebelum ini.
“Kami sangat berharap sesuatu akan dapat dilakukan bagi mengelakkan isu ini terus berpanjangan dan kerajaan juga perlu menjelaskannya kepada masyarakat,” katanya.