PPR Kerinchi: Lif terhempas berpunca komponen brek rosak

PPR Kerinchi: Lif terhempas berpunca komponen brek rosak

Punca utama kejadian lif terhempas di Projek Perumahan Rakyat (PPR), Kerinchi pada 2 Ogos lalu dikenal pasti akibat kerosakan komponen dalam sistem brek.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad berkata, siasatan forensik oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah berjaya mengesan kerosakan tersebut.

Beliau menjelaskan, hasil siasatan JKKP, satu daripada dua komponen dikenali sebagai ‘plunger’ mengalami kerosakan dan tersekat sekali gus menyebabkan sistem brek gagal berfungsi.

“Bagaimanapun, komponen lain yang terdapat dalam lif itu tidak mengalami sebarang masalah dan berfungsi dengan baik.

“Lif berusia 12 tahun dari Korea itu diselenggara mengikut jadual dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Selepas ini pihak JKKP akan mendapatkan maklumat berhubung status komponen daripada pembuat lif tersebut,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika mengumumkan hasil siasatan insiden lif di PPR Kerinchi yang terhempas dan mengakibatkan lapan orang cedera di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.

Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Hisham Ahmad Dahlan, Ketua Pengarah JKKP, Omar Mat Piah dan Pengarah Bahagian Forensik JKKP, Salina Tukimin.

Dalam sidang media berkenaan, Khalid turut menjelaskan secara terperinci tentang kadar kelajuan lif yang terhempas 2 Ogos lalu.

”Lif itu terhempas pada kadar kelajuan 2.13 meter sesaat yang menjadi antara faktor menyebabkan sistem brek kecemasan lif berkenaan tidak dapat berfungsi ketika kejadian berlaku.

“Lif berkenaan memiliki dua sistem brek. Satu brek mekanikal dan satu lagi brek kecemasan. Brek kecemasan hanya akan berfungsi sekiranya lif itu terhempas pada kelajuan 2.18 meter sesaat.

“Kita juga akan mengkaji semula SOP dan menyemak penyelenggaraan lif bagi mengelak kejadian sama berulang,” kata Khalid yang juga merupakan Pengarah Komunikasi AMANAH.

Dalam kejadian 2 Ogos lalu, lapan orang cedera apabila lif yang dinaiki terhempas dari tingkat lima, dipercayai akibat sistem brek tidak berfungsi dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang.

Sebelum kejadian, difahamkan 10 penghuni PPR itu menaiki lif berkenaan dari aras bawah dan berhenti di tingkat lima. Apabila seorang daripada mereka keluar, lif itu tiba-tiba gagal berfungsi dan terhempas.