Malaysia Dateline

PPSMI : Jangan ulangi kesilapan sama buat kali kedua

Pengumuman pemangku Menteri Pendidikan, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu mengembalikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) disifatkan sebagai menggusarkan.

Setiausaha Pemuda AMANAH Terengganu, Muammar Qaddafi Mohd Nasir, berkata PPSMI yang mula diperkenalkan pada tahun 2003 pada ketika itu ternyata telah memberi kesan yang menyebabkan keputusan skor Matematik dan Sains menurun.

Malah katanya, tahap pendidikan Malaysia juga menjunam jatuh pada era perlaksanaan PPSMI ke tangga 20 untuk Matematik berbanding ranking 10 dan ranking ke 21 dalam Sains.

“Hal yang demikian kerana pelajar terutama luar bandar tidak faham dan tidak manguasai bahasa Inggeris dengan baik sekaligus memustahilkan mereka untuk belajar satu mata pelajaran lain dalam bahasa selain bahasa Melayu.

“Unesco sendiri dalam kajian yang dilakukan membuktikan pembelajaran dalam bahasa ibunda pelajar akan lebih berkesan dan difahami.

“Penggunaan bahasa inggeris akan dibimbangi samada mereka tidak faham langsung atau melahirkan pelajar yang menghafal jawapan dari contoh soalan yang pernah dijawab,” katanya.

Tambah Muammar, pada tahun 1999 sebelum PSMI diperkenalkan, keputusan skor Matematik adalah 519, namun pada tahun 2003 telah menurun 11 mata kepada 508 dan pada 2007 turun 34 mata kepada 2003 kepada 474.

Begitu juga keputusan skor Sains, walaupun naik 18 mata dari 492 pada 1999, namun menurun 40 mata pada tahun 2007.

Jelasnya, penentangan terhadap PPSMI bukan lah sedikit dan ianya cukup menyeluruh pada peringkat awal perlaksanaan sebelum ini yang menyaksikan bantahan dari sasterawan, A Samad Said dan ahli akademik seperti Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Ismail Hussein.

Umno dan Pas ketika itu turut membawa usul berkaitan PPSMI, selain dibantah badan dan agensi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, Gapena, Persatuan Linguistik Malaysia, Persatuan Penterjemah Malaysia, Persatuan Sejarah Malaysia dan beberapa pertubuhan bahasa dan sastera dalam negara.

“Perlaksanaan PPSMI turut memberi kesan kepada Umno dan Bn dalam Pilihan Raya Umum 2008 yang menyaksikan hilang penguasaan 2/3 kerusi sekaligus membawa kepada pengumuman pemansuhan PPSMI oleh Tan Sri Muhyidin Yasin pada 2009.

“Perlaksanaan kembali PPSMI adalah satu perkara yang mengabaikan suara rakyat yang pasti akan memberi kesan besar kepada sokongan rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH) pada PRU 15 akan datang.

“Justeru, Kabinet perlu berperanan bagi mempastikan kesilapan ini tidak pendidikan,” ujarnya.