Malaysia Dateline

PPSMI: Kerajaan perlu timbang semula, belajar dari kesilapan

Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad menyeru kerajaan mempertimbangkan semula pengumuman pemangku Menteri Pendidikan, Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan hasrat untuk memperkenalkan semula Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Beliau berkata, sekiranya kerajaan kembali memperkenalkan semula PPSMI akan memberi impak yang besar kepada keberkesanan pendidikan setelah ia dimansuhkan tahun 2012.

Katanya penggunaan Bahasa Inggeris dalam subjek Matematik dan Sains telah menyebabkan pelajar yang rendah penguasaan Bahasa Inggeris menghadapi kesukaran untuk memahami kedua-dua subjek penting ini.

Akhirnya minat kumpulan pelajar ini terhadap dua subjek tersebut menurun, dan mereka menjadi ‘generasi hilang’.

Guru-guru pula menghadapi kekangan untuk mengajar dalam Bahasa Inggeris kerana ada segelintir pelajar yang belum mampu memahami pembelajaran yang dijalankan sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris.

Kita juga berhadapan dengan isu guru Sains dan Matematik yang lemah penguasaan Bahasa Inggerisnya dan tidak boleh dihasilkan segera atau digantikan dengan mudah.

Nik Nazmi Ahmad
Nik Nazmi AHmad

Katanya lagi, kerajaan mesti jelas apa matlamat sebenarnya.

“Jika kita benar-benar mahu memperkasakan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar, kita harus memperkemaskan mutu dan silibus subjek Bahasa Inggeris.

“Ini pendekatan lebih berkesan berbanding menambah Bahasa Inggeris dalam subjek lain bukanlah solusi yang terbaik.

Tambahan lagi, kita telah memiliki Program Dwibahasa atau Dual Language Programme (DLP) yang dimulakan sejak tahun 2016.

“Program ini memberi ruang kepada sekolah untuk memilih pembelajaran menggunakan Bahasa Melayu atau Inggeris mengikut kemampuan pelajar dan pilihan ibu bapa.

“Saya pasti ibu bapa dan sekolah lebih memahami kemampuan pelajar dan guru mereka berbanding pendekatan pukul rata.

Saya merupakan bapa anak yang berada di sekolah kebangsaan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Nik Nazmi yang juga Ahli Majlis Pimpinan PKR Pusat berkata, seharusnya kerajaan memastikan sistem sedia ada berjalan dengan baik, bukannya mengubah sistem pendidikan berkali-kali.

“Kita harus mengelakkan perubahan polisi pendidikan yang terlalu kerap kerana ia akan memberi kesan secara langsung kepada guru dan pelajar. Ramai di antara mereka akan terbeban.

“Kita patut mengambil semangat Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 yang dikeluarkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjadi Menteri Pendidikan. Pelan ini sepatutnya dijadikan kiblat dalam kita
merangka polisi pendidikan.

Apa yang kita patut fokus adalah memastikan semua rakyat mempunyai akses kepada pendidikan dan menambah pelaburan ke arah pendidikan.

“Usaha untuk memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) harus diteruskan, dan persediaan pendidikan ke arah Revolusi Industri 4.0 wajib diperkemaskan.

Sekali lagi kita perlukan perundingan, perancangan dan kesabaran,” ujarnya.

pengumuman dibuat Dr Mahathir bahawa Bahasa Inggeris akan digunakan semula untuk pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah bagi menggalakkan penggunaan bahasa antarabangsa itu.

Pemangku Menteri Pendidikan itu berkata Sains dan Matematik adalah berbeza dengan mata pelajaran lain seperti Sejarah dan Geografi, kerana ia bukan bidang ilmu yang diolah dari negara ini.

Namun Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Ahad menjelaskan langkah untuk melaksanakan penggunaan bahasa Inggeris yang diumum perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini juga belum lagi dimuktamadkan.