PPSMI: Perlu laksana berhati-hati elak kegagalan berulang

Oleh MALAYSIADATELINE

Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah satu dasar yang baik bagi memastikan anak bangsa Malaysia lebih ramai berdaya saing di persada dunia.

Namun PPSMI perlu dilaksanakan dengan berhati-hati bagi mengelakkan sejarah kegagalan lepas 2003-2012 berulang.

Demikian Demikian dinyatakan oleh Pengarah Komunikasi AMANAH Negeri Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria.

“Perlu dikaji kelemahan-kelemahan pelaksanaannya sebelum ini dan harus diatasi dengan penambahbaikan yang sewajarnya, ” jelasnya.

Kata beliau, Dual Language Program (DLP) yang diperkenalkan sejak 2016 hingga kini, yang menggantikan PPSMI mempunyai kejayaan memberangsangkan.

Namun begitu kata Dr Zaidi, kini kerajaan berhasrat untuk mencuba kaedah DLP maupun PPSMI.

“Sebagai contoh di Sarawak, 1048 buah sekolah berjaya melaksanakan DLP dan hasilnya telah berjaya mencapai objektifnya, penguasaan Bahasa Inggeris yang baik.

“Mengembangkan DLP kepada PPSMI merupakan satu langkah yang wajar dan baik.

“Sejarah juga membuktikan dahulu, kerajaan menghantar pelajar-pelajar ke luar negara khususnya England bagi melahirkan anak bangsa yang berdaya saing di persada dunia,” tegasnya.

Tambahnya, hujah untuk menguasai Bahasa Inggeris dengan baik adalah wajib.

“Realitinya, sekolah-sekolah atau guru-guru senantiasa berusaha memperkasakan pendidikan Bahasa Inggeris.

“Walau bagaimana pun, realitinya juga ramai pelajar-pelajar, kemungkinan majoriti malu untuk berbahasa Inggeris kerana lemah berbahasa tersebut setelah kurangnya penggunaan Bahasa Inggeris.

“Sedangkan penggunaannya pula hanya terhad semasa waktu belajar subjek Bahasa Inggeris sahaja,” kata beliau.

Dr Zaidi yang juga merupakan Naib Pengerusi AMANAH Negeri Pulau Pinang turut berkata, langkah PPSMI dalam Bahasa Inggeris memperluaskan penggunaan bahasa tersebut dikalangan pelajar-pelajar dan memantapkan lagi pembelajaran wajib Bahasa Inggeris.

Malah saran beliau, lama kelamaan ia akan menjadi suatu rutin dan kebiasaan sehinggalah pelajar-pelajar tidak lagi malu untuk berbahasa Inggeris.

Rentetan itu katanya, matlamat sebenar PPSMI bukan bererti untuk merendah-rendahkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, sebaliknya ia merupakan suatu usaha untuk mendaulatkan Bahasa Malaysia ke persada dunia.