PPSMI tidak relevan, kata Ahli Dewan Negara

PPSMI tidak relevan, kata Ahli Dewan Negara

Dasar Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dianggap tidak relevan untuk diperkenalkan semula selepas dimansuh pada tahun 2012.

Ahli Dewan Negara, Sen Husain Awang, berkata ini kerana ia memberi kerugian besar terhadap prestasi dan minat murid yang tergolong dalam kategori pencapaian sederhana dan lemah dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Datuk Sen Husain Awang

Katanya, majoriti murid yang tinggal di kawasan luar bandar gagal menguasai Bahasa Inggeris yang menyebabkan tahap pendidikan Malaysia menjunam.

“Oleh itu, kegagalan dasar PPSMI sebelum ini menyebabkan subjek Matematik dan Sains merosot dalam kalangan murid.

“Merujuk laporan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) pencapaian murid Malaysia semakin merosot dengan subjek Matematik berada pada kedudukan ke-26 manakala Sains pada kedudukan ke-32 pada tahun 2011.

“Laporan tersebut juga menyatakan pencapaian matematik dan sains murid yang tinggi adalah kebanyakan negara yang menggunakan bahasa ibunda berbanding murid yang menggunakan Bahasa Inggeris,” katanya.

Beliau berkata, murid tidak harus digunakan sebagai bahan eksperimen kerajaan dan hak murid untuk memahami subjek Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda tidak boleh dinafikan oleh Kerajaan

Katanya, Malaysia boleh mencontohi sedikit sebanyak sistem pendidikan negara Belanda, Belgium dan Switzerland kerana rakyatnya boleh berbahasa Inggeris tanpa mengabaikan bahasa ibunda.

“Sekiranya dasar sebenar kerajaan untuk memperkukuhkan Bahasa Inggeris, kerajaan seharusnya membuat penambahbaikan pembelajaran dan pengajaran subjek Bahasa Inggeris seperti Highly Immersive Programme (HIP) yang bertujuan meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid di seluruh sekolah.

“Kerajaan disarankan agar tidak mencetuskan konflik dan mengulangi kesilapan lalu yang cukup merugikan dalam sistem pendidikan yang sering berubah-ubah tanpa hala tuju yang sebenar,” ujarnya.