Malaysia Dateline

PPSMI: Unsur Mahathirisme dalam proses pendidikan

Pendidikan, merupakan isu yang amat penting dalam konteks pembangunan negara, apalagi dalam kerangka usaha untuk mencipta tamadun tinggi serta pembinaan budaya berpaksikan pemikiran intelektual. Tamadun tinggi hakikatnya berkait dengan penzahiran budaya yang berakar dan mengakal. Malaysia, hakikatnya telah pun mempunyai sistem pendidikan yang teruji dalam aspek keberkesanan dalam membentuk kemenjadian pelajar.

Biarpun terdapat dakwaan dan kritikan terhadap  sistem pendidikan Malaysia, sebagai sistem pendidikan yang tidak berkualiti, namun sehingga kini tidak ada hujah konkrit yang dapat dijustifikasikan untuk membenarkan  dakwaan tersebut. Sebaliknya sistem pendidikan Malaysia merupakan antara sistem pendidikan yang terbaik, berdasarkan keupayaannya melahirkan profesional dan separa profesional dalam pelbagai bidang dan sektor, membantu pembangunan sosio ekonomi negara. Bahkan terdapat profesional ini yang telah berjaya melebarkan pengaruh mereka merentasi benua dalam agensi-agensi antarabangsa.

Hakikatnya  sistem pendidikan Malaysia telah membuktikan akan kewibawaannya dalam konteks pembinaan masyarakat serta pembentukan struktur sosio ekonomi yang menyumnbang kepada perubahan struktur dan dimensi sosial. Bermakna sistem pendidikan Malaysia sudah berada dalam kerangka yang stabil, namun bersifat dinamik kepada perubahan persekitaran. Lantaran itu meneliti kandungan ucapan Mahathir Mohamad, sebagai pemangku Menteri Pendidikan Malaysia, jelas tidak memperlihatkan penyerapan input baru yang signifikan dalam konteks membina kerangka transformasi  pendidikan. Masih berkisar sekitar kerangka dan pemikiran sedia ada dalam persekitaran revolusi industri 2.0, belum berganjak kepada persekitaran revolusi industri 4.0.

Pengajaran dan Pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bukanlah merupakan perkara baru dalam konteks pendidikan, PPSMI ini boleh dikatakan sebagai mahathrisme dalam pendidikan. Pertama kali diperkenalkan pada tahun 2003. Apabila perkara ini ditimbulkan kembali setelah dimansuhkan pada 2009, maka ia adalah jelas sebagai kehendak dan pemikiran yang terbit daripada alam fikiran Mahathir itu senidiri. Soalnya apakah asas yang membenarkan pelaksanaan PPSMI ini pada 2003?

Sebenarnya isu pelaksanaan PPSMI ini, terbit daripada alasan yang pelbagai, alasan yang  boleh sahaja diadakan untuk menjustifikasikan kehendak, biar pun tanpa adanya keperluan yang signifikan. Pertama kali diperkenalkan, alasan yang dicanangkan adalah untuk membolehkan pelajar menguasai bahasa Inggeris bagi memenuhi pasaran kerja, kerana dikatakan pengangguran dalam kalangan siswazah adalah berpunca daripada kegagalan pelajar menguasai bahasa Inggeris.

Kemudian alasannya berubah, dikatakan buku-buku sains dan matematik banyak ditulis dalam bahasa Inggeris, maka dikatakan agak sukar untuk menyerap perkembangan ilmu sains dan matematik terkini, memandangkan perkembangan ilmu sains dan matematik berlaku begitu pantas dan hanya dengan menggunakan bahasa Inggeris sahaja, menjadikan rakyat Malaysia lebih pantas terdedah kepada pemikiran sains dan matematik yang dikatakan dapat mempercepatkan pembangunan dan kemajuan Malaysia.

Justifikasi yang diberikan adalah  proses penterjemahan mengambil masa yang agak lama, sedangkan ilmu sains dan matematik berkembang begitu pesat. Keadaan ini dikatakan akan menyebabkan rakyat Malaysia terus ketinggalan dalam bidang sains dan matematik, sekiranya diajar dalam bahasa Melayu, disebabkan wujudnya jurang masa antara kemunculan ilmu (sumber) asal dengan realisasi penterjemahan kepada bahasa Melayu, keadaan ini akan menyebabkan penyebaran ilmu menjadi perlahan, bahkan tersekat. Itu teorinya bagi pihak yang tegar memperjuangkan PPSMI, namun ini juga merupakan konteks intipati kepada mahathirisme yang menjadi faktor kepada penjelmaan  pelaksanaan PPSMI dalam proses pendidikan.

Wal hal, hakikatnya bangsa yang gemilang tamdunnya adalah bangsa yang begitu aktif memperkasa budaya penterjemahan, memandangkan ilmu itu bukan hanya datang daripada satu  bahasa sumber, begitu juga sains dan matematik, bukan terbatas kepada bahasa Inggeris semata-mata, tradisi sains dan matematik bukan mutlak daripada bahasa Inggeris, Ibnu Sina melahirkan “Al-Qanun fi’t-Tibb” bukan dalam bahasa Inggeris sebaliknya dalam bahasa Arab, selaras dengan perkembangan tamadun Islam yang memperkaya dan memperteguh pelbagai disiplin ilmu, membangunkan manusia. Tradisi  ilmu Islam ini, akhirnya telah mempengaruhi dunia intelektual barat sehingga mereka berjaya membangunkan tradisi keilmuan mereka. Tanpa sumbangan ilmu Islam, bahasa Inggeris juga tidak mampu berkembang.

Kemudiannya hasil kerja Ibnu Sina ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dinamakan “The Canon of Medicine” oleh para sarjana Inggeris yang akhirnya memperkayakan teradisi sains perubatan Barat. Begitu juga Al-Khawarizmi, hasil kerja agungnya, “Al-Jabr Wal’ Muqibla” telah diterjemahkan ke dalam bahasa Greek dan Latin yang mereka namakan “So said Algorizmi” ini telah memperkaya tradisi keilmuan Barat dalam bidang matematik, sekali gus mempopularkan perkataan “algebra” dan “algorithm.”

Bukankah ini bermakna barat (Inggeris) memperkayakan bahasa mereka, tradisi ilmu mereka dan budaya sains dan matetamtik mereka melalui pembinaan bahasa mereka sendiri. Kemajuan, pembangunan dan kelestarian sesuatu bangsa itu  adalah berlangsung di atas kekemasan dan kemajuan bahasa mereka. Inilah yang dipolopori barat, hakikatnya inilah metodologi ilmu dalam konteks pemindahan ilmu dalam mengilmukan tamadun sesuatu bangsa.

Maknanya ilmu yang berakarkan dalam bahasa Arab telah berjaya pindahkan ke dalam khazanah barat melalui tradisi penterjemahan, Barat berusaha menyebarkan ilmu yang diperolehi daripada bahasa Arab dengan menggunakan bahasa mereka sendiri, khususnya bahasa Inggeris, tidak pula mereka menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar sains perubatan mereka, atau pun bahasa pengantar dalam tradisi sains dan matematik mereka.

Praktis sains dan matematik juga terdapat dalam pelbagai bahasa lain, selain daripada bahasa Inggeris, antaranya; Jepun, Korea, Perancis, Jerman dan Vietnam juga menggunakan bahasa Vietnam dalam usaha untuk memperkukuh tradisi sains dan matematik mereka.

Bahkan  banyak negara dunia yang berjaya menghasilkan penyelidikan sains dan matematik dengan menggunakan bahasa ibunda mereka, terdapat antaranya yang mampu meneroka angksa lepas, bukan dirangsang oleh penggunan bahasa Inggeris dalam proses pengajaran sains dan matematik. Harus diingat, kegemilangan serta kemasyhuran tamadun Islam, khususnya dalam penyebaran ilmu, hakikatnya disumbangkan oleh keaktifan tradisi penterjemahan.

Alasan lain dikatakan sains dan matematik sampai kepada rakyat Malaysia dalam bahasa Inggeris, ini menyebabkan penularan ilmu itu perlu dilakukan dalam bahasa Inggeris, kerana dikaitkan dengan peristilahan dan metedologinya. Realitinya bukan sahaja sains dan matematik yang penyebarannya dalam konteks ilmu di Malaysia dikembangkan dalam bahasa Inggeris, bidang sains sosial, juga hampir kesemua sampai kepada rakyat Malaysia melalui perantara bahasa Inggeris, kalau itu hujahnya, semua disiplin ilmu sains sosial juga perlu diajar dalam bahasa Inggeris, namun tidak pula diajukan supaya semua subjek sains sosial diajar dalam bahasa Inggeris. Bahkan, penguasaan bahasa Inggeris lebih praktikal dalam subjek-subjek sains sosial.

Dikatakan  juga bahawa sains dan matematik berkembang begitu pantas, ini memerlukan kemahiran bahasa Inggeris supaya rakyat Melaysia tidak ketinggalan, hujahnya disini adalah soal penguasaan bahasa Inggeris, bemakna apa yang perlu diperbaiki adalah pedagogi bahasa Inggeris, bukannya pedagogi bahasa Inggeris dalam sains dan matematik, sains dan matematik tidak mempunyai bahasa yang khusus. Perkara pokok lain, bukan sahaja sains dan matematik yang berkembang begitu pantas dan  pesat, bidang-bidang disiplin ilmu lain juga  sentiasa dinamik dengan teori-teori baru, berdepan dengan pelbagai penemuan baru, ilmu yang tidak terdedah kepada penemuan baru adalah ilmu yang mati.

Bahkan, daripada aspek penggunaan bahasa komunikasi secara aktif, maka subjek sejarah lebih luas liputan penggunaan bahasanya atas sifatnya yang lebih bercorak dialektik (berhujah, membahas, membuat hipotesis, membuat generalisasi, membanding, menapis, menepis dan juga membina landasan teori baru yang mana segala aktivitinya menggunakan bahasa secara aktif khususnya dalam proses komunikasi dan perdebatan).

Maknanya sejarah lebih mantap penggunaan bahasanya dalam aspek proses komunikasi, pemikiran, penulisan dan penyampian makna ilmu, berbanding penggunaan bahasa dalam sains dan matematik, maka untuk menjadikan rakyat “pandai berbahasa Inggeris” maka adalah lebih sesuai subjek sejarah itu diajar dalam bahasa Inggeris, wujudkan PPSI (Pengajaran dan Pembelajaran sejarah dalam Bahasa Inggeris), kalau itu hasratnya menjadikan rakyat Malaysia berkemahiran tinggi dalam penguasaan bahasa Inggeris, setinggi penutur jatinya.

Hakikatnya isu PPSMI bukanlah merupakan isu penguasaan bahasa Inggeris, penguaasaan bahasa, mana-mana bahasa pun adalah melalui pengajaran dan pembelajaran bahasa itu sendiri, bukannya melalui subjek lain. Bermakna untuk pandai dalam bahasa Inggeris, maka kepandaian itu boleh diperolehi melalui pedagogi bahasa Inggeris, bukannya melalui pedagogi sains dan matematik. Bukanlah menjadi kesalahan untuk mengajar sains dan matematik dalam bahasa apa pun, karana bahasa adalah untuk komunikasi dan proses berfikir, namun sepatutnya mempunyai asas yang kukuh yang boleh dirasional melampaui sistem logik.

Pelaksanaan PPSMI, amnya akan berada diluar logik sekiranya dihubungkan dengan premis untuk membolehkan berlakunya (dalam kalangan pelajar) penguasaan bahasa Inggeris, sebagaimana hebohkan selama ini. Apa yang jelas penguasa sesuatu bahasa perlu melalui pedagogi bahasa, hal ini begitu jelas dengan mengambil contoh, program penghantaran pelajar untuk mengikuti pengajian profesional dalam bidang-bidang  perubatan, kerjuruteraan atau pun teknikal  di Jerman, Perancais, Sepanyol dan Jepun umpamanya, mereka ini akan dihantar untuk mengikuti program persediaan mempelajari bahasa Jerman, Perancis, Jepun dan juga Sepanyol, bukannya mengikuti kelas persediaan sains dan matematik dalam bahasa-bahasa tersebut. Maknanya para pelajar ini akan mengikuti program pengajian bahasa negara sasaran, bertujuan untuk membolehkan pelajar memahami sosio budaya negara-negara terbabit.

Alasan-alasan yang digunakan untuk “menghalalkan” pelaksanaan PPSMI itu hakikatnya adalah kabur dan tidak berpaksikan pemikiran tuntas, satu alasan yang bercorak spekulatif. Mahathir Mohamad, sewaktu membentangkan laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran 1974, yang cetakan terakhirnya 1988, tidak pula mengutarakan cadangan bagi membolehkan sains dan matematik diajar dalam bahasa Inggeris.

Walhal sepatutnya pada waktu itu merupakan waktu yang sesuai untuk meneruskan kesinambungan pembelajaran sains dan matematik diajar dalam bahasa Inggeris, memandangkan pada waktu tersebut sistem pendidikan sedang dalam perubahan bahasa pengantar daripada pengantar bahasa Inggeris kepada pengantar bahasa Melayu, bermakna subjek sains dan matematik boleh terus diajar dalam bahasa Inggeris manakala subjek-subjek lain ditukar medium pengajarannya kepada bahasa Melayu, atau pun mengekalkan terus sistem pendidikan berpengantarkan bahasa Ingggeris.

Walau pun wujudnya gelombang untuk mempraktiskan dasar pendidikan kebangsaan dengan berpengantarkan bahasa Melayu. Namun Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran 1974 perlu bertindak lebih awal untuk mengekalkan bahasa pengantar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, sekirangnya dianggap bahawa sains dan matematik itu sumbernya adalah daripada bahasa Inggeris dan tentunya dapat memandaikan pelajar.

Sebaliknya Jawatankuasa terbabit tidak berbuat demikian. Bermakna laporan tersebut mengambil sikap untuk tidak menentang arus peralihan daripada pengatar bahasa Inggeris kepada pegantar bahasa bahasa Melayu. Apakah ini bererti selepas 46 tahun berlangsung sistem pendidikan berpengantar bahasa Melayu, khususnya dalam pembelajaran sains dan matematik, mendapati bahawa keputusan menukar bahasa pengantar sistem pendidikan daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu itu dianggap satu kesilapan?

Maka  ini menjadi penyebab tersirat untuk diusulkan kembali sekurang-kurangnya sains dan matematik diajar dalam bahasa Inggeris? Kalau tidak pun menjadikan bahasa Inggeris itu sebagai bahasa pengantar penuh dalam sistem pendidikan. Apakah disini timbul kekesalan dalam mempraktiskan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam proses penyampaian ilmu dalam sistem pendidikan?

 

*Kplumni adalah Pensyarah di Fakulti Pengurusan dan Ekonomi Universiti Pendidikan Sultan Idris