Malaysia Dateline

PPSMI: Usah diundang lagi masalah kepada Pakatan Harapan

Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) isu lama yang dibangkitkan semula oleh orang yang sama mencetuskan idea ini sejak sekian lama. Mengapa perlu dibangkitkan lagi?

Kajian yang dibuat oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 2009 merekodkan kemerosotan sehingga 80 peratus di Sekolah Kebangsaan dan di Sekolah Menengah sehingga program PPSMI dibatalkan pada 2010.

Ternyata dasar ini sudah pincang dan tidak dipersetujui hampir seluruh rakyat negara ini. Banyak modal dihabiskan begitu sahaja semata-mata untuk dasar ini, akhirnya gagal.

Para cendekiawan sudah menyatakan bantahan mereka malah berdemonstrasi pada 7 Mac 2009 lalu. Peristiwa bersejarah itu dirasai. Apa tidaknya mereka disembur ‘water canon’, dikejar FRU malah ada yang ditangkap.

Walaupun lebih 10 tahun peristiwa itu berlalu, kegagalan PPSMI masih dirasai oleh generasi pada hari ini terutama mereka menjadi mangsanya.

Ramai pihak menyatakan tidak bersetuju dengan kenyataan pemangku Menteri Pendidikan Tun Dr Mahathir Mohamad apabila menyatakan bahasa Inggeris akan digunakan semula untuk pengajaran Sains dan Matematik di sekolah.

Beliau berkata penggunaan dan penguasaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan perlu terus digalakkan terutama dalam pembelajaran Sains dan Matematik.

Baginya penguasaan bahasa Inggeris sangat penting dalam sistem pendidikan kita, jadi perlu beri masa untuk pembelajaran bahasa Inggeris, khususnya dalam pembelajaran Sains dan Matematik.

Rata-rata rakyat negara ini terus tersentak dengan pengumuman Tun Mahathir itu seolah-olah ianya satu mimpi ngeri kembali menghantui mereka. Apatah lagi mereka yang pernah menjadi mangsa PPSMI sehingga kini masih gagal menguasai bahasa Inggeris.

Bahasa Melayu lebih dekat di hati kita. Jika anak-anak kurang faham, mereka dapat lagi suarakan keraguan dan persoalan dalam benak fikiran sewaktu proses pembelajaran. Dengan menukar bahasa pengantar, mereka akan diam, hilang fokus dan akhirnya lupus minatnya. Ditambah pula soalan-soalan Matematik anak-anak sekarang banyak dipengaruhi elemen Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang melampau.

Bagi sesetengah pimpinan Pakatan Harapan, cetusan Tun Mahathir tidak perlu dihangatkan lagi kerana ia disifatkan sebagai kenyataan peribadi.

Pimpinan AMANAH pula tidak berganjak tentang PPSMI daripada zaman Pakatan Rakyat lagi. Malah mereka tegaskan dalam mesyuarat parti masing- masing bahawa keputusan parti akan dibawa semua menteri yang berada dalam Kabinet.

Kerajaan PH disaran agar tidak lagi memikirkan soal PPSMI sebaliknya, menumpukan usaha pemulihan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan, bukannya menambahkan kemarahan rakyat.

Rakyat turut mengingatkan kerajaan mungkin akan menghadapi gelombang huru-hara yang lebih hebat jika bertegas juga mahu PPSMI dilaksanakan.

Sebarang perubahan yang ingin dilakukan dalam sistem pendidikan negara harus berdasarkan kajian dan data bukan emosi dan ego mana-mana penguasa.

Antaranya, perlu menyediakan tenaga pengajar yang betul-betul mahir dalam penguasaan bahasa Inggeris. Malangnya hari ini tenaga pengajar yang mengajar PPSMI sendiri tidak boleh menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Oleh itu, adalah wajar kerajaan meneruskan pelan yang dirancang iaitu Pelan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dan sepatutnya kekal kepada landasan itu.

Pelan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dirangka oleh pakar-pakar pendidikan bukannya mengikut nafsu politik mana-mana individu.

Janganlah diundang lagi masalah kepada Pakatan Harapan. Cukup-cukuplah dengan isu yang sedia ada.

Ingatkan Malaysia Baharu kini tidak lagi pandang ke belakang, tidak lagi ulangi kesilapan lalu. Rupanya tidak. Malaysia Baharu kini di alam media sosial, sepatah silap cakap, beribu kecaman yang dapat.

Justeru, kerajaan PH perlu menerapkan konsep ‘engagement’ dengan rakyat sebelum mencetuskan atau menggubal sebarang undang-undang yang akan memberikan kesan kepada rakyat.